Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite AMERIKA,
BRITAIN & YAHUDI
'SYAITAN DUNIA'!

UMNO PEROMPAK WANG RAKYAT !


SIASAT SEGERA TUDUHAN RASUAH MB SELANGOR

PRM menggesa sekeras-kerasnya supaya Badan Pencegah Rasuah (BPR) menyiasat dengan segera tuduhan-tuduhan salah laku pentadbiran oleh Menteri Besar Selangor yang dianggap telah membawa kepada amalan rasuah sangat serius. Dalam pada masa yang sama, kami menyeru supaya, sementara BPR menjalankan penyiasatan, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo melepaskan jawatannya sebagai MB, sehingga keputusan yang muktamad tercapai.

Dalam beberapa bulan yang lalu, banyak tuduhan serta cerita mengenai amalan korupsi telah dikaitkan dengan Khir Toyo dalam laman-laman internet. Sekarang keadaan sudah berubah. Satu laporan rasmi telah dikemukakan mengenainya oleh penulis politik terkenal, Ahmad Lutfi Othman, kepada pihak BPR. Saya lihat laporan itu merujuk kepada data dan dokumen yang sungguh lengkap serta bertanggungjawab (http://detik.daily.tripod.com/okta/23okt_6.htm) Saya mengucapkan syabas kepada Sdr Lutfi.

BPR tidak harus melengah-lengahkan tindakannya. Setelah siasatan rapi segera dilakukan, dan apabila sudah nyata asas untuk mengambil tindakan undang-undang, maka tindakan itu hendaklah terus diambil. Pihak pemerintah sudah selalu benar bercakap tentang rasuah dan berikrar untuk memeranginya. Sekiranya pihak BPR melengah-lengahkan perkara ini, maka ia akan hanya menguatkan lagi rasa tidak percaya rakyat terhadap kewibawaan BPR.

Sekira benarlah segala kandungan laporan yang dikemukakan kepada BPR itu, maka ini akan membuktikan bahawa setiap MB Selangor tidak pernah belajar daripada sejarah jelik MB sebelumnya. Seolah-olah amalan rasuah menjadi penyakit yang diwarisi dari satu MB kepada MB yang lain. Mungkin rasuah di peringkat pimpinan negeri hanya mencerminkan keadaan buruk rasuah yang sudah bersarang di peringkat pucuk pimpinan negara. Oleh itu seruan dan ikrar mereka yang konon hendak memerangi barah masyarakat ini cuma merupakan omong kosong belaka.

Setakat ini Khir Toyo belum membuat apa-apa jawapan kepada tuduhan-tuduhan yang dibuat berkali-kali terhadapnya melalui internet. Kami memahami sikap beliau ini kerana biasanya tuduhan dibuat secara umum dan tanpa nama penuduhnya. Akan tetapi beliau sering menyatakan ada golongan Melayu yang dengki cuba hendak menjatuhkan pemimpin Melayu sendiri. Cara menggunakan nama Melayu untuk mempertahankan diri, memang sudah lama digunakan oleh para pemimpin UMNO untuk menyembunyikan segala pekong politik dan mempertahankan kedudukan.

Kini lapran dibuat secara terbuka. Khir Toyo seorang pemimpin yang muda, berilmu, dan sering disebut sebagai seorang yang kuat berpegang kepada agama. Sepatutnya beliau menjadi contoh kepada orang lain, sama ada pemimpin politik ataupun pentadbir, sebagai seorang yang bersih daripada najis korupsi. Sungguh-sungguh mengecewakan sekiranya tuduhan-tuduhan terhadapnya mempunyai unsur kebenaran.

Dr Syed Husin Ali
Presiden PRM
24hb November 2001






        
Ke atas    Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 25 Oktober 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://clik.to/tranung dan Email : tranung2000@yahoo.com