Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


Mengapa saya kata Umno parti militan - Nik Aziz

KOTA BHARU, 1 Okt (Hrkh) - "Sebenarnya Umno adalah parti militan. Tengok sahaja pada lambangnya, keris telanjang. Berbanding dengan PAS, simbulnya adalah bulan purnama," kata Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz.

Oleh itu, katanya, sebarang usaha untuk mengaitkan PAS dengan militan adalah niat tidak baik dan akan ditolak oleh mana-mana pihak yang bersifat rasional.

Nik Aziz berkata demikian ketika dihubungi berhubung dengan usaha Umno untuk mengaitkan PAS dengan kegiatan militan di negara ini.

Katanya, penahanan anak beliau, Nik Adli di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan dikaitkan dengan Kumpulan Mujahidin Malaysia (KMM) dan kemudiannya menjadi Kumpulan Militan Malaysia (KMM) adalah satu usaha ke arah itu.

"Nik Adli memang pergi berjuang menentang Komunis Rusia di Afghanistan. Selepas keluarnya Rusia, dan berlakunya perang saudara di kalangan mujahidin, dia tidak lagi berada di sana," katanya.

"Sebagai Muslim, menjadi kewajipan kepada kita membantu saudara seIslam kita di mana sahaja mereka berada. Tetapi sebaik sahaja perang saudara meletus di kalangan pembagai kumpulan mujahidin, Nik Adli tidak ada apa-apa lagi hendak dibuat di sana," katanya.

Nik Aziz juga berkata, tuduhan Presiden Umno yang juga Perdana Menteri, Dato' Seri Dr Mahathir Mohamad bahawa PAS tidak percayakan demokrasi, beliau berkata, sebenarnya Umno dan Barisan Nasionallah anti demokrasi.

"Tahanan tanpa bicara dengan menggunakan ISA dan sekatan ke atas kebebasan parti pembangkang untuk menyebarkan pandangannya (sekatan ceramah) adalah contohnya," kata beliau.

"Kerajaan yang memainkan peranan kesemuanya. Dialah hakim, dialah pendakwaraya, dia juri dan dialah yang menjatuhkan hukuman. Orang yang menuduh juga menjatuhkan hukuman. Adakah ini demokrasi dan boleh diterima," katanya.

Oleh itu, beliau tidak boleh menerima anaknya, Nik Adli, bersalah dan kerajaan patut membawanya ke mahkamah untuk dibicarakan.

"Saya tidak pergi berjumpa dengan Nik Adli ketika diberi peluang. Kenapa? Ini adalah protes saya," katanya.

Nik Adli telah dihantar ke Kem Tahanan Kemunting mulai 25 September lepas setelah surat tahanannya telah ditandatangani oleh Menteri Dalam Negeri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi yang juga Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden Umno.

Sementara itu, Nik Abdul Aziz meminta rakyat negara ini bertanya kepada Timbalan Pengerusi DAP, Karpal Singh apakah negara ini negara Islam atau tidak kerana dia telah berkata banyak kali mengenainya.

"Malaysia adalah negara sekular. Kamu boleh sahkan perkara ini dengan Karpal Singh," kata Nik Aziz.






        
Ke atas    Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 2 Oktober 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://clik.to/tranung dan Email : tranung2000@yahoo.com