Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


Bicara guru: Pelajar kata ada orang cuba rosakkan sistem kehakiman

KUALA TERENGGANU, 2 Okt (Hrkh) - Seorang pelajar Sekolah Menengah Tengku Lela Segara Marang, Mohd Saiful Adnan, 15, bersetuju dengan pendapat peguam Zamani Mohamad bahawa beliau sayangkan sistem kehakiman negara.

Bagaimanapun beliau melahirkan kebimbangan sistem kehakiman negara akan dirosakkan oleh orang-orang tertentu.

Saiful menyatakan demikian ketika disoal oleh peguam Zamani dalam perbicaraan guru sekolah berkenaan, Shamsukamal Abu Bakar, 33, yang dituduh mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Hasutan 1948 (Akta 15) kerana menyediakan soalan ujian Bahasa Melayu untuk pelajar tingkatan dua pada September tahun lalu.

Soalan yang berbunyi: 'Anda telah terpilih untuk menyertai satu pertandingan syarahan yang bertajuk Keadilan Semakin Hilang dan Tandus Dalam Sistem Kehakiman di Malaysia. Sediakan syarahan tersebut', itu dikatakan mempunyai kecenderungan bagi mendatangkan kebencian atau penghinaan kepada sistem kehakiman negara ini.

Jika sabit kesalahan, Shamsukamal boleh didenda sehingga RM5,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Tertuduh dibela oleh peguam Zamani Mohamad yang dibantu oleh peguam Saifudin Othman, Ahmad Lutfi Awang dan Fariz Irwan Mustafa manakala pendakwaan dijalankan oleh Timbalan pendakwaraya Osman Abdullah dan Yaacob Chik.

Hakim Ahmad Zaidi Ibrahim yang mendengar kes itu menetapkan perbicaraan bermula semalam hingga 4 Oktober yang melibatkan 16 orang saksi pendakwa.

Mohd Saiful juga bersetuju dengan pendapat peguam itu bahawa sistem kehakiman negara tidak boleh dipersalahkan.

"Setuju dengan saya jika saya kata sistem kehakiman negara tidak boleh dipersalahkan?" tanya Zamani. "Ya," jawab Saiful.

"Setuju atau tidak jika dikatakan ada individu atau orang tertentu yang cuba merosakkan sistem itu?" tanya peguam. "Betul," jawabnya.

"Setuju atau tidak jika saya katakan kamu sayang kepada sistem kehakiman negara dan bimbang ia dirosakkan oleh orang tertentu," tanya peguam.

"Betul," jawabnya. Zamani mengemukakan soalan itu berdasarkan kepada kertas jawaban Saiful yang menjawab soalan pendakwaraya yang dijadikan bahan bukti di mahkamah.

Sebelum itu, ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwaraya, Osman Abdullah, Saiful memberitahu mahkamah dia memilih menjawab soalan ujian itu kerana berbentuk syarahan.

Turut menjadi saksi pada hari ini ialah Ketua Polis Daerah Marang, DSP Syed Abdul Wahab Abdul Majid, Ketua Cawangan Khas di Ibupejabat Polis Daerah, ASP Mohd Rosli Abd Razak, jurugambar polis, Koperal Mustafa Mohd Noor dan penyelia petang sekolah berkenaan, Mohd Nasir Mohd Yusof.






        
Ke atas    Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 2 Oktober 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://clik.to/tranung dan Email : tranung2000@yahoo.com