Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


BN yang anti demokrasi - Presiden PAS

KUALA LUMPUR, 2 Okt (Hrkh) - Presiden PAS, Dato' Fadzil Mohd Noor hari ini menegaskan komitmen PAS terhadap sistem demokrasi dan menolak keras tuduhan Perdana Menteri, Dato' Seri Dr Mahathir Mohamad bahawa parti itu anti demokrasi.

"Kami adalah pendokong demokrasi dan mengambil bahagian yang aktif dalam mengembangkan demokrasi di negara ini.

"Trek rekod PAS yang menyertai lebih dari 10 pilihan raya umum membuktikan kita sangat setuju dengan sistem demokrasi," kata beliau di hadapan sembilan orang anggota Senat Thailand bersama rombongan mereka yang mengunjungi Pejabat Agung PAS pagi tadi.

Sembilan orang anggota Senat itu diketuai oleh Pengerusinya, Kraisak Choonhavan adalah dalam rangka lawatan ke Malaysia dan bertemu dengan pelbagai pihak di negara ini termasuk PAS.

Presiden PAS ditemani oleh tiga Naib Presiden PAS, Ustaz Hassan Shukri, Dato' Mustafa Ali dan Dr Hassan Ali serta anggota-anggota Parlimen PAS berbincang lebih setengah jam dengan rombongan itu di Dewan Mesyuarat Pejabat Agung PAS.

Menurut Ustaz Fadzil, yang jelas melanggar prinsip-prinsip demokrasi di negara ini adalah Umno sendiri yang dipimpin oleh Dr Mahathir sebagaimana yang berlaku di Kelantan dan Terengganu selepas PAS menguasai parti itu.

"Adanya Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) adalah contoh lain perlanggaran secara nyata oleh kerajaan BN terhadap demokrasi di negara ini," katanya ketika memberikan ucapan aluan kepada tetamu yang hadir itu.

PAS, katanya bersama lain-lain pemimpin pertubuhan bukan kerajaan sedang giat berkempen untuk menghapuskan ISA ini.

"Kita telah mendapat sokongan 80 buah NGO sehingga kini untuk menghapuskan ISA," kata beliau di majlis itu.

Sebelum itu, ketika berucap, ketua delegasi Thailand, Kraisak Choonhavan berkata, mulai tahun 1990, Thailand telah meletakkan dasar melalui perlembagaannya untuk menjadi sebuah negara yang paling demokratik di dunia.

Beliau bersetuju dengan pandangan seorang pemimpin PAS, Dr Hatta Ramli dalam majlis itu bahawa ketika Thailand bergerak ke arah demokrasi, Malaysia pula semakin berundur ke belakang.

Antara ciri demokrasi Thailand, katanya, adalah pilihan raya di tiga peringkat negara itu, mempunyai sebuah Dewan Senat yang berkuasa penuh mengawal kerajaan serta kebebasan media.

"Kebebasan media adalah antara pilar (tiang) yang menguatkan demokrasi di Thailand," kata Kraisak.

Dalam majlis yang dipengerusikan oleh Pengerusi Lajnah Antarabangsa yang juga Naib Presiden PAS, Dato' Mustafa Ali itu, tiga pemimpin PAS telah memberikan gambaran yang jelas tentang politik Malaysia.

Dr Hassan Ali memberikan gambaran tentang politik Dr Mahathir, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi tentang sikap politik Dr Mahathir yang cuba memencilkan PAS dengan menakutkan orang terhadap PAS manakala Dr Mariah Mahmud memberikan gambaran tentang sikap PAS terhadap wanita.

Kraisak ketika memberikan ucapan alu-aluan berkata, gambaran Malaysia di mata dunia luar sangat baik dan hebat. Tetapi, beliau tidak pasti apakah ini juga dikongsi oleh semua rakyat negara ini.

"Ketika kami sampai di KLIA, kami sangat kagum dengan lapangan terbangnya begitu besar bahkan lebih besar dari mana-mana lapangan terbang di dunia.

"Kemudian kami di bawa ke Putrajaya, pejabat Perdana Menteri. Sangat hebat, besar dan mewah sekali.

"Tetapi apabila kami berjalan di luar sedikit, ehhh sama sahaja macam Thailand," kata Kraisak.

"Kalau tuan pergi jauh lagi ke dalam, ianya lebih buruk lagi," kata Dr Hatta yang memecahkan gelak ketawa di kalangan hadirin majlis tersebut.






        
Ke atas    Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 2 Oktober 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://clik.to/tranung dan Email : tranung2000@yahoo.com