Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


Selangor belanjakan RM4.5 juta untuk bina 1km jalan bendang

Oleh Ahmad Lutfi Othman

TANJUNG KARANG, 3 Okt (Hrkh) - Dilihat isu-isu kontroversi yang kini dihalakan kepada Dato' Seri Dr Mohd Khir Toyo, nyata sekali kerusi Menteri Besar Selangor sememangnya panas sekali.

Kejatuhan MB terdahulu, Muhammad Muhd Taib dan yang paling tragis, Abu Hassan Omar sepatutnya mengingatkan penyandang jawatan itu agar berhati-hati memikul amanah.

Perdana Menteri sendiri pernah mengingatkan Khir ketika mula-mula dilantik MB agar menjauhi dua perkara, iaitu skandal seks dan gejala politik wang.

Sesungguhnya Selangor adalah lubuk emas yang boleh menyeret menteri besarnya ke dalam kancah salahguna kuasa terutama berkaitan kelulusan tanah yang cukup tinggi nilainya.

Khir boleh dianggap MB era reformasi, apa lagi usianya belum mencecah 40 tahun, dan menjadi harapan anak-anak muda untuk melihat pentadbiran kerajaan negeri yang telus, bertanggungjawab dan paling penting, menghindari korupsi.

"Dengan meluluskan permohonan tanah kepada kroni, seseorang MB Selangor boleh mengaut bukan saja belasan juta, tetapi ratusan juta ringgit. Ini belum dikira projek lain lagi, yang anggaran perbelanjaannya boleh meningkat berlipat kali ganda dari taksiran JKR, hanya untuk memenuhkan kantung tokoh-tokoh politik," kata seorang ahli perniagaan, yang mendakwa rapat dengan semua MB Selangor, dari Muhd Taib hinggalah kepada Khir Toyo.

Ramai mengharapkan Khir tidak membawa imej buruk itu, apatah lagi melihat kepetahannya menuturkan ayat-ayat Quran dan ucapannya yang sarat dengan unsur-unsur agama.

Khir dikira tokoh berwibawa untuk melumpuhkan kubu kuat PAS Selangor di sekitar kawasannya, iaitu Tanjung Karang dan Sabak Bernam.

"Tapi rakyat tak mudah tertipu dengan hal-hal luaran. Islam menuntut pemimpin atasan bersikap jujur, tidak menyeleweng, menghindari amalan pilih kasih, menolak budaya rasuah," kata seorang aktivis PAS Tanjung Karang.

"Tembelang Khir terdedah tidak lama selepas dilantik MB. Ramai orang di sini mula bercakap soal penasihat di kiri kanannya yang rambang mata dengan tanah dan projek. Mereka tidak sabar-sabar lagi untuk mengagihkan kekayaan Selangor sesama sendiri," tambahnya.

"Pendekatannya cukup keras dengan pembangkang. Lihat saja sikapnya terhadap Tok Guru Nik Aziz yang dilarang memberi kuliah agama di Selangor. Mana slogan mesra rakyatnya yang terpampang di papan tanda besar sekitar kawasan strategik. Bukan kami tak tahu, projek menaikkan papan tanda yang mempamerkan nama-nama ADUN dan Ahli Parlimen itu sendiri membazirkan wang rakyat dan mengkayakan kroninya," dakwa seorang bekas calon PAS dalam pilihan raya lalu.

"Apa pun, tindakan Khir itu memberi kelebihan kepada PAS. Kami cukup selesa kalau Khir mengetuai BN Selangor dalam pilihan raya akan datang," ujarnya lagi, tersenyum.

Meneliti laman-laman internet, khususnya detik.daily.tripod.com Khir adalah antara tokoh Umno yang banyak didakwa melakukan salahguna kuasa, dari isu-isu kecil seperti membahagikan telur ayam kepada pengguna jalan dari Kuala Selangor ke Sungai Besar hinggalah kepada pinjaman perumahannya yang dilunasi sepenuhnya selepas lapan bulan menjadi MB.

Bagaimanapun, isu terkini yang heboh diperkatakan ialah apabila Khir meluluskan dua projek pembinaan jalan di tengah-tengah kawasan sawah di dalam kawasan DUN Sungai Panjang yang diwakilinya.

"Selepas orang ramai bercakap tentang begitu banyak tanah yang diluluskannya, maka dialihkan pula kepada projek-projek jalan raya, yang mana kos pembinaannya boleh ditingkatkan berkali ganda daripada anggaran kos sebenar," dakwa seorang kontraktor Melayu di Shah Alam.

Siasatan kami ke tapak projek menjelaskan lagi keadaan. Cuba bayangkan, projek cadangan pembinaan jalan Cross Ban 4, Sungai Panjang, yang lokasinya dari Taliair 4, Sekinchan hingga Parit 4, Sungai Haji Dorani (sebelah ban JPS sedia ada), yang panjangnya hanya 20.5 kilometer berharga RM92.5 juta.

"Ini bermakna kos jalan membelah kawasan bendang padi itu lebih RM4.5 juta untuk satu kilometer. Angka ini cukup menakjubkan dan tidak boleh diterima akal," kata seorang pembekal kepada sub-kontraktor yang menjalankan projek tersebut, Wah Construction dan Harta Jaya Sdn Bhd.

"Bertambah pelik lagi bila JKR mencadangkan jalan yang sepatutnya dibina, bagi mengurangkan kos ialah dengan menaiktaraf jalan PLB sedia ada, bukannya membina jalan baru. Tapi Khir tak bersetuju, sebab apa tak tahulah," kata seorang penduduk tempatan yang kami temui berdekatan tapak cadangan projek.

"Paling tinggi pun, jika menurut cadangan JKR itu, kosnya tidak melebihi RM30 juta," tambahnya.

Selepas merujuk dengan sumber di JKR negeri, didapati kontraktor yang dianugerahkan ‘projek mewah’ itu ialah sebuah syarikat bermasalah, iaitu Meram Holding Sdn Bhd.

Sekurang-kurangnya tiga projek yang diberikan kepadanya sebelum ini, iaitu dua klinik kesihatan di Negeri Sembilan dan satu lagi di Sekolah Menengah Bandar Sultan Sulaiman, Pelabuhan Kelang telah tergendala dan diberikan notis tamat kerja.

Misalnya untuk projek sekolah di Kelang, notis diberi pada 22 Jun lalu, kerana baru 43 peratus projek dapat disiapkan sedangkan sepatutnya keseluruhan projek patut dibereskan ketika itu.

Difahamkan, melalui seorang kontraktor kecil yang pernah berurusan dengan Meram, syarikat yang berpejabat di United Garden itu mengalami masalah kewangan.

"Saya hairan mengapa syarikat seumpama itu boleh dianugerahkan lombong emas kalau tidak ada sesuatu yang berlaku di belakang tabir. Tanyalah kepada pegawai JKR mana sekalipun, jika satu projek ditamatkan kerja, pasti tiada tawaran kerja lain. Sedangkan Meram sudah tiga projek ditamatkan.

"Saya tak bercakap hal sub-kontraktor lain yang semuanya susah untuk mendapatkan wang dari Meram. Saya sendiri, baru RM20,000, telefon ke pejabatnya pun tidak ada orang angkat telefon. Tiba-tiba dapat projek hampir RM100 juta, melalui tender rundingan pula tu.

"Saya syak Menteri Besar sendiri terbabit dalam kong-kalikong ini sebab Khir Toyo yang menandatangani surat setuju terima tender," dakwanya lagi.

Beberapa penduduk setempat memberitahu, banyak khabar angin disebarkan tentang projek yang menelan belanja yang tidak munasabah.

"Saya pun tak percaya dengan tuduhan Khir sendiri ada kepentingan dalam projek ini. Ramai mendakwa ia ada hubungan dengan seorang taukeh papan Cina yang pernah menyewa rumah kepada Khir. Hingga disebut orang sampai RM20 juta yang diminta Khir. Tapi kalau tak ada bukti saya anggap tuduhan itu tidak berasas dan tak perlu dilayan," kata seorang jamaah solat Zuhur ketika kami singgah di sebuah masjid berdekatan.

Satu lagi projek kontroversi ialah cadangan membina dan menyiapkan jalan dari Sekinchan ke Ulu Bernam, yang bernilai RM32.5 juta, sepanjang 9.3 kilometer. Lokasinya dari Parit 4, Sungai Haji Dorani melalui gambut Parit 5, Parit 13 hingga Kampung Sungai Panjang.

Kontraktor terbabit ialah Radzah Engineering Sdn Bhd. Ini bermakna kos pembinaan jalan merentasi bendang itu ialah RM3.5 juta satu kilometer.

"Ini satu lagi angka tidak munasabah. Taksiran awal JKR pun lebih kurang RM10 juta sahaja," dakwa bekas pimpinan Umno Tanjung Karang.

"Saya harap BPR dapat mengurangkan kebingungan saya terhadap pelbagai isu yang menimpa bekas kawan karib saya itu, Khir Toyo," tambahnya.

Kedua-dua projek itu sepatutnya bermula 28 Mei lalu. Tinjauan kami mendapati projek di bawah Radzah sedang giat dijalankan. Banyak lori tanah kelihatan keluar masuk. Bagaimanapun bagi projek yang mencecah belanja RM100 juta, hanya dua orang pekerja yang membuat kerja-kerja ukur kelihatan.

"Mengapa projek jalan cross ban itu lambat?" tanya bekas pimpinan Umno tadi.

"Sub-kontraktor dikatakan sukar mencari wang panas yang diminta kerana jumlahnya begitu besar," jawabnya sendiri, sambil ketawa kecil.

Pelbagai cerita dibawa, pelbagai isu dikemukakan, pelbagai kes dilontar; semuanya ada kaitan dengan tuduhan salahguna kuasa. Kami sendiri sukar mempercayainya.

"Masakan Khir dan orang sekelilingnya setamak dan serakus itu."

Jawapan terhadap keluhan ini terus tergantung.

Bagaimanapun seorang teman memberi idea: "Lutfi, apa nak dihairankan. Khir bimbang, takut-takut apa jadi pada Mahathir, dia sendiri problem. Sebabnya, yang nak Khir hanya PM seorang. Tanyalah kepada ketua-ketua bahagian Umno di Selangor, semuanya tunggu masa nak pijak Khir kalau dia jatuh. Jadi, sebelum apa-apa yang buruk berlaku, cepat-cepatlah kebas sebanyak mungkin.

"Yang kedua, Khir bimbang, bukan kerana beliau tidak akan disambung selepas pilihan raya 2004, tapi takut BN Selangor sendiri tumbang. BA pula memerintah. Jadi, sekali lagi, sebelum musibah menimpa, sebanyak mungkin, sama ada berbentuk tanah-tanah murah yang sebenarnya nilai beratus kali ganda dan projek-projek yang boleh ditingkatkan nilainya, semuanya mahu dibaham."

Ikuti siri selepas ini.






        
Ke atas    Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 5 Oktober 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://clik.to/tranung dan Email : tranung2000@yahoo.com