Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


Bila Agong diumumkan meninggal...

Oleh Penulis Harakah

KUALA LUMPUR, 3 Okt (Hrkh) - Sukar sebenarnya untuk menjadi media yang paling ke depan dan paling terkini serta sensasi. Ini kerana, cita-cita besar itu penuh dengan ujian hasil dari keghairahan untuk mencapai yang terkini dan tersensasi tersebut.

Itulah yang berlaku kepada saluran radio paling popular di negara ini, Era. Kesungguhan stesen ini untuk tidak menyiarkan berita yang bercorak partisan dalam negeri ini telah memberikan hasil yang lumayan. Semua pihak mendengar dan mendapat maklumat terkini melalui stesen ini.

Tetapi, keghairahan telah menyebabkannya melakukan kesilapan. Dan ia adalah kesilapan yang sangat besar. Malam tadi, kira-kira jam 8.45 malam, Era menyiarkan pengumuman kemangkatan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Salahudin Abdul Aziz Shah.

Selepas pengumuman itu, Era menyiarkan bacaan ayat-ayat suci Al Quran, suatu yang tidak pernah disiarkan oleh radio Era. Untuk mengesahkan berita yang menggemparkan ini, penulis telah mengalih siaran ke stesen radio yang lain.

Antaranya Ikim.fm, Radio Kuala Lumpur dan sebagainya. Masing-masing sibuk dengan muzik hatta radio IKIM.fm kekal dengan "menyanyilah aahai...menarilah aaahainya".

Takkanlah stesen ini jauh tertinggal di belakang Era. Takkanlah berita yang sesensitif ini tidak diketahui oleh mereka.

Jadi benarkah berita itu? Sangat mencurigakan. Untuk mengesahkannya, penulis membuka radio Era sekali lagi. Waktu itu kira-kira jam 9.05 malam. Bacaan al-Quran telah tidak ada. Yang ada, sebagaimana radio IKIM.fm "menyanyilah aahai...menarilah aaahai".

Malam tadi kebetulan penulis menyertai mesyuarat yang sepatutnya bermula jam 9.00 malam. Kerana, kawan-kawan yang lain lambat sampai, kami sembang-sembang dahulu.

"Ehh kelakar betullah radio Era. Dia kata Agung mati. Pasang bacaan al-Quran. Lepas tu minta maaf. Kata penyampainya, Yang Dipertuan Agung belum mati lagi. Era memohon maaf," kata seorang rakan penulis.

Jadi, sahlah berita itu tidak tepat. Bernama pula melaporkan, mereka menerima panggilan bertalu-talu mengenainya.

Setiausaha sulit kepada Seri Paduka, Datuk Raja Hydar Raja Iskandar berkata Sultan Salahuddin berada dalam keadaan stabil dan kini sedang menjalani pemeriksaan kedua sebelum menjalani pembedahan kecil Sabtu ini.

"Tuanku sihat dan berada dalam keadaan yang stabil dan rakyat tidak perlu risau mengenai keadaan baginda," katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini malam ini.

Sebelum ini, seorang pendengar Era juga membuat pengumuman melalui radio tersebut. Hari itu hari terakhir Sukan Sea 2001. Malamnya majlis penutup Sukan Sea.

"Besok kita cuti...yahooo," kata pendengar Era tersebut. Deejay Era yang bertugas cuba mengawalnya..."jangan dulu..belum confirm."

"Ehh apa tidak, semua orang sudah kata kita cuti besok. Kita menang besar di sukan Sea. PM akan umumkan malam ini," kata pendengar tersebut.

Penulis turut menjadi mangsa 'pengumuman' pendengar tersebut melalui radio Era. Ini kerana, di pejabat, telah diumumkan, kalau PM umum cuti esok, kita semua akan cuti walaupun bukan jabatan kerajaan, pesan bos penulis di pejabat.

Esoknya, ketika jam 8.30 pagi, penulis bersama isteri relax di halaman rumah sambil menyiram pokok-pokok bunga. Tiba-tiba jiran menegur, "tak kerja ke hari ini?"

"Ehh kan Mahathir bagi cuti hari ini,"

"Tak ade lahh. Tak cuti. Hari Sabtu nanti baru cuti," kata jiran tersebut.

"Cis...mana saya tahu. Semalam Era dah umum cuti," kata saya kepada jiran tersebut sambil bergegas masuk untuk bersiap ke pejabat.

Inilah dilema media kita kalau mahu cepat dan sensasi. Kesilapan begini akan berlaku.

Persoalannya, wajarkah ini diterima sebagai satu kewajaran sahaja dan tidak disengajakan. Atau ia perlu dihukum.

Saya rasa, kalau dihukum berat, hilanglah kreativiti rakyat kita. Tetapi kalau tidak diberi hukuman, melalut-lalutlah ia. Sama-sama kita fikir dan tunggu apa reaksi pihak pemerintah kita.






        
Ke atas    Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 5 Oktober 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://clik.to/tranung dan Email : tranung2000@yahoo.com