KUALA LUMPUR, 11 Okt (Hrkh) - Khabar angin yang mengatakan bahawa Exco Pemuda keADILan Malaysia saudara Dr Badrul Amin Bahron yang kini ditahan di pusat tahanan ISA di Kamunting telah meninggal dunia adalah tidak benar.
Dalam suatu kenyatan media yang difakskan ke pejabat Harakah hari ini oleh Parti keADILan Nasional, telah menafikan khabar angin tersebut.
Menurut Muhammad Zahid Md Arip, Setiausaha Pemuda keADILan, pihaknya telah menghubungi keluarga Dr Badrul Amin dan Kem Tahanan Kamunting dan telah mendapat pengesahan Dr Badrol Amin berada di dalam keadaan sihat.
Menurutnya lagi, Pemuda keADILan kesal dengan penyebaran berita ini. Sebenarnya yang meninggal ialah kakak sepupu Dr Badrul Amin yang berada di Melaka.
Pihak Harakah juga telah dihubungi oleh orang ramai sejak semalam, ekoran daripada khabar angin itu. Harakah telah menghubungi isteri Dr Badrul Amin, Puan Zumrah Husni bagi mendapatkan kepastian mengenai khabar angin itu. Beliau telah mengesahkan bahawa suaminya dalam keadaan sihat.