Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


ADUN PAS terkejut amalan salahguna kuasa Khir Toyo

Oleh Ahmad Lutfi Othman

SABAK BERNAM, 10 Okt (Hrkh) - "Kalau benar perkara yang didedahkan tentang penyelewengan yang dilakukan Menteri Besar Selangor, Dr Khir Toyo, mengenai projek membina jalan raya di Sekinchan yang menelan belanja yang cukup besar, ia amat memalukan sekali," kata Ustaz Sollehin Mokhyi, Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Besar.

Beliau mengulas laporan yang mendakwa ada amalan rasuah dalam pemberian projek tersebut kepada kontraktor bermasalah, Meram Holding Sdn Bhd dengan kos yang terlalu mahal, iaitu RM4.5 juta bagi satu kilometer jalan.

Khir pada bulan Mei lalu telah meluluskan projek cadangan pembinaan Jalan Cross Ban 4, Sungai Panjang, yang lokasinya dari Taliair 4, Sekinchan sehingga Parit 4, Sungai Haji Dorani (sebelah ban JPS sedia ada), yang panjangnya hanya 20.5 kilometer berharga RM92.5 juta.

Menurut sumber JKR, taksiran awal pihaknya, jika projek itu dibina di atas jalan PLB sedia ada, kosnya tidak melebihi RM30 juta .

"Kos sebanyak hampir RM100 juta bagi jalan sepanjang lebihkurang 20km tidak munasabah langsung. Ia membazirkan wang rakyat," tambahnya.

Kata Sollehin, isu ‘projek mewah’ itu mula heboh diperkatakan penduduk setempat.

Ramai syak ada unsur rasuah yang ketara di sebaliknya, selain amalan biasa pemimpin BN mengagihkan kekayaan Selangor kepada kroni masing-masing.

"Walaupun Khir petah menuturkan ayat-ayat al-Quran dalam ucapannya, tetapi jika benar dakwaan itu, ia tidak lari dari imej Menteri Besar Selangor sebelum ini. Dan diiharap rakyat tidak tertipu dengan paparan zahirnya itu," kata ADUN Sungai Besar itu.

Di peringkat awal Khir dilantik MB, katanya, beliau sendiri turut bergembira apabila kerajaan negeri bertekad untuk membanteras pembaziran seperti dikemukakan dalam belanjawan.

"Malangnya, apa yang dikata tidak dikota. Wang rakyat terus dibazirkan, dengan jumlah yang cukup besar dan dahsyat sekali," tegas Sollehin.

Ditanya kontroversi pembinaan projek Universiti Selangor, bernilai RM600 juta yang diusahakan oleh Talam Holding, yang khabarnya diberi imbuhan tanah melebihi 1,000 ekar, yang ada antara tanah itu milik Yayasan Selangor, katanya, beliau sendiri ada maklumat dan dokumen mengenainya, termasuk salinan cek.

Melalui laman Detik.daily baru-baru ini pihak Khir dituduh menerima habuan wang tunai RM8 juta daripada pihak Talam Holding.

Pihak yang mendedahkan perkara itu ialah anak seorang kenamaan Umno di Kedah, yang khabarnya rapat dengan Dr Mahathir sendiri.

Anak tokoh Umno itu ialah bekas akauntan di syarikat hartanah terkemuka itu.

Dalam pada itu, isu lain yang hangat diperkatakan juga ialah mengenai kelulusan tanah seluas 400 ekar, dalam satu mesyuarat Exco kerajaan negeri, pada 20 Disember 2000, kepada empat syarikat berbeza, tetapi mempunyai seorang pengarah yang sama untuk keempat-empat syarikat tersebut.

Lokasi tanah tersebut adalah di Bukit Cherakah, Mukim Bukit Raja, Daerah Petaling, Selangor.

Menurut surat kelulusan, bagi tanah pertanian seluas 100 ekar (40.47 hektar) itu, premium yang sepatutnya dibayar ialah RM1,300 sehektar, bagi tempoh pajakan 99 tahun.

Hasil carian kami dengan Pendaftar Syarikat Malaysia, keempat-empat syarikat berkenaan mempunyai alamat daftar dan alamat perniagaan yang sama iaitu: No. 8, Tingkat 1, Jalan PS ˝, Bandar Pinggiran Subang, Seksyen 1, Shah Alam, Selangor.

Walaupun jika pengarah yang membolot 400 ekar tanah bernilai tinggi di Shah Alam itu tidak mempunyai kaitan secara langsung dengan Menteri Besar, ramai hairan bagaimana Dr Khir boleh meluluskannya tanpa usul periksa.

"Masakan Dr Khir tidak tahu bahawa keempat-empat syarikat itu mempunyai pengarah yang sama.

Bukankah dia sendiri yang meluluskan permohonan tanah itu? Bukan dia tidak tahu bahawa untuk sebidang tanah seumpama itu beratus-ratus orang yang memohonnya, kata seorang ahli perniagaan yang juga turut memohon tanah di situ.

"Pemberian tanah hanya berdasarkan siapa yang disukai Menteri Besar. Tiada ciri lain yang diambil kira.

Soal merit tidak timbul. Ia hanya anugerah bernilai beratus juta ringgit kepada sesiapa yang dikehendaki MB," tambahnya.

Beliau menyarankan Badan Pencegah Rasuah meneliti kes kelulusan tanah itu, yang baginya, disyakki mempunyai unsur rasuah yang amat ketara sekali.






        
Ke atas    Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 12 Oktober 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://clik.to/tranung dan Email : tranung2000@yahoo.com