Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite AMERIKA,
BRITAIN & YAHUDI
'SYAITAN DUNIA'!

UMNO PEROMPAK WANG RAKYAT !


Laporan polis ke atas Khir Toyo

SABAK BERNAM, 12 Okt (Hrkh) - Satu laporan polis dibuat ke atas Menteri Besar, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo berikutan laporan sebuah akhbar mingguan, Cabaran, tentang kemungkinan berlaku salahguna kuasa dan amalan rasuah dalam kelulusan dua projek jalan raya dekat sini.

Mohd Azam Mektar, 21 tahun, dari Shah Alam, membuat laporan itu di Balai Polis Sabak Bernam, jam 3.00 petang, 11 Oktober.

Beliau menggesa pihak polis menyiasat rencana khas dalam Cabaran itu kerana menurutnya, beliau syak berlakunya amalan rasuah yang ketara, yang membabitkan wang rakyat yang begitu banyak.

Projek yang dimaksudkan ialah pembinaan jalan di Sungai Panjang, dari Taliair 4, Sekinchan hingga Parit 4, Sungai Haji Dorani, yang panjangnya hanya 20.5 kilometer, tetapi berharga RM92.5 juta.

Ia diluluskan secara rundingan terus, bukannya melalui tender terbuka. Khir adalah Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Panjang.

Projek yang memakan belanja RM4.5 juta bagi satu kilometer jalan ini diberikan kepada Meram Holding Sdn Bhd.

Projek yang kedua ialah membina jalan dari Sekinchan ke Ulu Bernam, bernilai RM32.5 juta, sepanjang 9.3 kilometer.

Ia juga diberikan secara rundingan terus kepada Radzah Engineering Sdn Bhd.

Menjawab pertanyaan pemberita, Azam memberitahu, motif utamanya membuat laporan polis itu adalah untuk memastikan setiap projek yang diluluskan atas nama kepentingan rakyat setempat tidak diekspoit untuk kepentingan pihak tertentu, dengan menaikkan kos sebenar kepada harga yang berlipat kali ganda.

"Saya, dan saya pasti orang di sekitar SUngai Panjang, tidak menolak pembangunan, malah mengalu-alukannya. Orang kampung memang perlukan pembelaan. Tetapi dalam projek ini, seperti dilaporkan Cabaran, kosnya tidak munasabah langsung, iaitu hampir tiga kali ganda daripada taksiran kos sebenar oleh Jabatan Kerja Raya," tambah Azam ketika ditemui selepas membuat laporan polis itu.

"Lagi pula, ia diberikan kepada sebuah syarikat kontraktor bermasalah, yang tiga projeknya telah ditamatkan kerja. Masakan Menteri Besar yang meluluskan projek ini kepada Meram Holding tidak menyelidik latar belakang syarikat berkenaan.

"Masih banyak lagi syarikat kontraktor Bumiputera yang layak untuk dianugerahkan projek bernilai tinggi itu, yang mempunyai rekod baik," tambahnya lagi.

Azam memberitahu, pihak polis ada mempersoalkan mengapa beliau membuat laporan polis itu, apatah lagi bila ia membabitkan nama baik Menteri Besar Selangor, sedangkan dia sendiri tidak mengalami apa-apa kerugian peribadi.

"Ini bukan masalah peribadi saya, tetapi ia membabitkan wang rakyat. Malaysia sudah banyak kali menghadapi skandal kewangan yang membabitkan ribuan juta wang rakyat.

Jadi, saya tak mahu duit rakyat itu dibazirkan dengan begitu senang sekali," ujarnya lagi. Berikut adalah laporan polis yang dibuat Azzam:

LAPORAN POLIS

Saya merujuk laporan akhbar Cabaran, Bil. 23 (dilampirkan), mukasurat 16, 17, dalam ruangan Liputan Eksklusif, bertajuk “Bayangkan, 1km ‘jalan bendang’ RM4.5 juta”.

Dalam laporan itu, terdapat beberapa perenggan, yang bagi saya, boleh mendatangkan syak bahawa berlaku amalan rasuah ataupun unsur-unsur penyalahgunaan kuasa membabitkan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohd Khir bin Toyo.

Antara perenggan itu ialah:
“Cuba bayangkan, projek cadangan pembinaan jalan Cross Ban 4, Sungai Panjang, yang lokasinya dari Taliair 4, Sekinchan hingga Parit 4, Sungai Haji Dorani (sebelah ban JPS sedia ada), yang panjangnya hanya 20.5 kilometer berharga RM92.5 juta.

“Ini bermakna kos jalan membelah kawasan bendang padi itu lebih RM4.5 juta untuk satu kilometer. Angka ini cukup menakjubkan dan tidak boleh diterima akal,” kata seorang pembekal kepada sub-kontraktor yang menjalankan projek tersebut, Wan Construction dan Harta Jaya Sdn Bhd.”

Laporan Cabaran itu juga mendakwa bahawa kontraktor yang diberikan projek itu, Meram Holding Sdn Bhd adalah syarikat yang bermasalah kerana tiga projek yang dikendalikannya sebelum ini telah ditamatkan kerja, iaitu dua klinik kesihatan di Negeri Sembilan dan satu lagi di Sekolah Menengah Bandar Sultan Sulaiman, Pelabuhan Kelang.

Dalam tulisan itu juga dikatakan, jika menurut cadangan JKR, yakni dengan menaiktaraf jalan PLB sedia ada, kosnya tidak melebih RM30 juta, iaitu hanya satu pertiga saja dari kos yang diluluskan kerajaan negeri.

Akhbar itu seterusnya membangkitkan satu lagi projek jalan yang menimbulkan persoalan sama, iaitu nilainya yang dianggap tidak munasabah. Projek yang dimaksudkan ialah cadangan membina dan menyiapkan jalan dari Sekinchan ke Ulu Bernam, bernilai RM32.5 juta, sepanjang 9.3 kilometer. Ini bermakna kos pembinaannya ialah RM3.5 juta untuk satu kilometer.

Lokasinya dari Parit 4, Sungai Haji Dorani, melalui gambut Parit 5 – Parit 13 hingga Kampung Sungai Panjang. Kontraktor projek ini ialah Radzah Engineering Sdn Bhd. Laporan itu mendakwa, menurut taksiran Jabatan Kerja Raya, nilai projek ini sebenarnya dalam lingkungan RM10 juta sahaja, jauh lebih rendah daripada RM32.5 juta.

Dengan itu, saya membuat laporan polis ini supaya kedua-dua projek tersebut disiasat bagi memastikan tiada amalan rasuah atau korupsi di dalamnya, terutama apabila ia membabitkan wang rakyat yang cukup banyak. Tumpuan siasatan mungkin kepada nilai projek yang terlalu tinggi dan mengapa syarikat bermasalah, seperti Meram Holding Sdn Bhd diberikan kontrak ini. Sekian.






        
Ke atas    Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 13 Oktober 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://clik.to/tranung dan Email : tranung2000@yahoo.com