Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite AMERIKA,
BRITAIN & YAHUDI
'SYAITAN DUNIA'!

UMNO PEROMPAK WANG RAKYAT !


'Ceramah pembangkang aman, kecuali ada provokasi'

Oleh Nur Abdul Rahman

KUALA LUMPUR, 15 Okt (Hrkh) - Dewan Rakyat hari ini menyaksikan gelagat `kurang sopan' barisan Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) apabila sering mengganggu ucapan Ketua Pembangkang, Dato' Fadzil Noor.

Ketika Dato' Fadzil mengemukakan soalan tambahan kepada Timbalan Menteri Dalam Negeri, Dato' Chor Chee Heung, beliau mencabar kerajaan membuktikan dakwaan kononnya ceramah anjuran parti pembangkang berakhir dengan kacau bilau.

Dato' Haji Fadzil turut meminta kerajaan menjelaskan berapa jumlah ceramah BA yang dikatakan mengancam keselamatan negara.

Persoalan itu sememang tidak menyenangkan barisan kerajaan, apatah lagi soalan seumpama itu seringkali ditimbulkan di parlimen.

Dua ahli parlimen BN sering mengganggu ucapan wakil pembangkang di Dewan Rakyat, Mohammad Aziz (BN- Sri Gading), Mohd Zain Mohamed (BN-Shah Alam).

Mohammad dengan lagaknya memuji-muji kepimpinan Perdana Menteri kerana menyekat semua ceramah pembangkang.

Dewan menjadi semakin panas apabila Mohammad mengaitkan keganasan dengan perhimpunan aman dan solat hajat menentang serangan Amerika ke atas Afghanistan di depan Kedutaan Amerika di Jalan Tun Razak, Jumaat lalu.

Dr Syed Azman (PAS-Kuala Terengganu) bangun dan berteriak beberapa kali "YB berbohong di dalam dewan ini, YB berbohong!".

Timbalan Speaker, Dato' Haji Muhammad Bin Abdullah bagaimanapun cuba mententeramkan dewan sambil meminta Mohammad menamatkan ucapannya dengan menjurus kepada soalan.

Bagaimanapun, Mohammad (BN- Sri Gading) tidak faham apa yang dikatakan `soalan' apabila mengakhiri ucapannya dengan ucapan `tahniah' kepada KDN yang berjaya menyekat semua larangan ceramah pembangkang.

Sebelum dewan menjadi hangat tadi, Dato' Fadzil dalam ucapannya berkata, "Seluruh ceramah anjuran pembangkang berjalan dengan aman dan berakhir dengan aman, kecuali apabila polis campurtangan menggunakan kekerasan,".

Beliau turut mempertikai beberapa kenyataan pemimpin Umno dan BN yang berelaru ketika mengulas mengenai kedudukan ceramah pembangkang.

"Dalam tempoh terakhir dua bulan kebelakangan ini, terdapat kecelaruan dalam kenyataan pemimpin kerajaan, ada yang menyatakan ceramah tidak dibenarkan.

"Menteri Dalam Negerui pernah berkata, ceramah politik dibenarkan tetapi boleh diadakan di dalam kawasan tertutup seperti di markas, rumah, dewan.

"Tetapi apa yang berlaku, polis juga menembak gas dan air ke dalam markas dan ini adalah tindakan ganas," katanya tegas.

Beliau menegaskan, kekacauan dalam ceramah pembangkang hanya bermula jika ada tindakan ganas pihak keselamatan.

"Saya minta kerajaan menjelaskan apakah pendirian sebenar, apakah tidak benarkan sama sekali ceramah diadakan, ataupun membenarkan ceramah diadakan ditempat tertutup?

"Ini kadang-kadang, kita buat perjumpaan dalam hotelpun, mereka ganggu lagi. Inilah yang mengelirukan dan saya menafikan ada berlaku keganasan dan kekacauan dalam ceramah pembangkang," katanya.

Seperti yang dijangkakan, jawapan yang sudahpun diketahui umum diberikan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Dato' Chor Chee Heung.

Menurut beliau, ceramah pembangkang mengandungi unsur provokatif dan menghasut dan ia boleh membangkitkan sentimen negatif supaya rakyat benci dan menentang kerajaan.

Katanya, sejak larangan dikuatkuasakan September tahun ini, enam majlis ceramah berlaku insiden, iaitu di Kedah (3 kes), Johor (2) dan Negeri Sembilan (1).

Beliau mendakwa, insiden tersebut mengikut laporan polis terdapat tindakan membaling batu dan mencederakan anggota polis.

Bagaimanapun, beliau tidak mengemukakan secara terperinci tempat, tarikh dan masa insiden itu berlaku.






        
Ke atas    Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 18 Oktober 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://clik.to/tranung dan Email : tranung2000@yahoo.com