Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite AMERIKA,
BRITAIN & YAHUDI
'SYAITAN DUNIA'!

UMNO PEROMPAK WANG RAKYAT !


Khir Toyo: Ahmad Lutfi serah laporan kepada BPR

Oleh Salmiyah Harun

PUTRAJAYA, 23 Okt (Hrkh) - Bekas Ketua Pengarang majalah Detik yang diharamkan Ahmad Lutfi Othman meminta Badan Pencegah Rasuah (BPR) hari ini menyiasat Menteri Besar Selangor, Dato' Seri Dr Mohd Khir Toyo yang dipercayainya menyalahgunakan kuasa serta mengamalkan rasuah.

Menurutnya, laporan yang dikemukakan kepada BPR merangkumi empat isu yang melibatkan Dato' Khir Toyo dan beliau yakin maklumat yang diperolehi berdasarkan bukti yang kukuh.

Di antara isu yang didedahkan kepada Ibu Pejabat BPR di Putrajaya pada hari ini, projek Pembinaan Jalan Sungai Panjang (B44), Sekinchan sepanjang 20.5 kilometer yang menelan belanja hampir RM100 juta yang dianugerahkan kepada syarikat yang bermasalah iaitu Meram Holding.

"Carian saya menunjukkan sekurang-kurangnya ada tiga projek Meram yang terbengkalai, dua projek klinik di Negeri Sembilan bernilai RM14 juta dan sebuah sekolah menengah di Pelabuhan Kelang," katanya yang menyerahkan maklumat tersebut kepada Penolong Pengarah BPR, Kamaruddin Baharom di Ibu Pejabat BPR, hari ini.

Tambahnya, pada Disember 2000 dalam satu mesyuarat Exco, Dr Khir Toyo sebagai pengerusi mesyuarat berkenaan telah meluluskan tanah di Bukit Cerakah daerah Petaling kepada empat syarikat yang berbeza yang mana satu syarikat mendapat 100 ekar tanah.

"Malah empat syarikat yang berbeza ini mempunyai alamat daftar dan alamat perniagaan yang sama. Ini menunjukkan Menteri Besar Selangor (MB) memberi kelulusan kepada hanya satu orang untuk 400 ekar tanah,"ujarnya.

Sebelum ini katanya, semenjak Khir Toyo memegang jawatan MB hampir 70 peratus kerja-kerjanya adalah untuk memproses permohonan projek dan permohonan tanah tambah-tambah lagi di Selangor banyak tanah yang berharga tinggi.

Menurutnya lagi, dalam satu mesyuarat exco pada 4 julai 2001, telah diluluskan tanah di Mukim Tanjung Dua Belas Daerah Kuala Langat juga dianugerahkan kepada empat syarikat dan setiap syarikat mendapat 50 ekar tanah yang mana lembaga pengarahnya berumur antara 20 hingga 22 tahun.

"Di sini timbul persoalan bahawa tarikh lantikan anak-anak muda ini mengambil proses tidak sampai 50 hari dan selepas itu terus mendapat tanah yang bernilai tinggi," tegasnya.

Menurutnya, isu yang keempat di mana pemohon yang sama boleh mendapat tanah lebih dari sekali ini bermakna tanah tidak ada merit untuk pemohon, malah MB berkuasa mutlak untuk meluluskannya.

Beliau juga berani mengetangahkan isu yang menjadi cakap-cakap mulut iaitu Khir Toyo telah membayar baki pinjaman perumahannya sebanyak RM150,000 secara tunai kepada BBMB Kajang dalam masa lebih kurang 15 hari daripada pertengahan Mac 2001 hingga akhir Mac 2001.

"Perhatikan jumlah wang tunai yang begitu besar berbanding gaji MB yang baru memegang jawatan pada Ogos 2000,"katanya.

Menurutnya, tujuan aduan ini untuk memastikan setiap wang rakyat dan khazanah negara tidak dibolot oleh mana-mana pihak secara tidak bertanggungjawab begitu juga amalan korupsi, pilih kasih, nepotisme, mementingkan diri dan kelompok mesti disekat dan dibanteras

Tambahnya, amat tidak wajar seorang MB berkuasa mutlak menentukannya dan begitu juga dengan prosedur meluluskan projek-projek pembinaan di bawah kerajaan negeri, kuasa mutlak MB harus dimansuhkan segera.






        
Ke atas    Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 24 Oktober 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://clik.to/tranung dan Email : tranung2000@yahoo.com