Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


Petikan dari tulisan Dr. Yusuf Al - Qardawy sebagai renungan

Untuk menambahkan ilmu dan menjadikan ISLAM sebagai pegangan hidup didunia dan akhirat maka saya ingin berkongsi ilmu bersama-sama semua umat manusia. Saya akan memetik sedikit daripada hasil tulisan seorang ulamak yang Insya-Allah boleh kita jadikan sebagai guru kita. Dr. Yusuf Al-Qardawy banyak menulis buku-buku ilmiah ISLAM dan kali ini saya petik dari buku beliau bertajuk Fiqah Daulah dalam perspektif Al-Quran & Sunnah. Petikan ini semestinya dapat membuka matahati kita dengan situasi kehidupan di Malaysia hari ini. Kita dapat memahami dari keterangan-keterangan Al-Quran dan As-Sunnah. Terpulanglah sama ada kita dapat menghayati ayat-ayat Allah s.w.t dan rsaulNya untuk kita teruskan perjuangan menegakkan ISLAM di bumi Allah s.w.t ini. Petikan ini diambil dari tajuk Merubah Kemungkaran Merupakan Kewajipan dalam mukasurat 140-143.

Pengungkapan Al-Quran dan Sunnah tentang orang-orang yang hanya diam tatkala menghadapi kemungkaran dan bersikap pasif menghadapi para pelakunya, merupakan pengungkapan yang mampu menggetarkan hati sesiapa pun yang memiliki iman sekalipun hanya seberat biji sawi :

( Terjemahan) : " Telah dilaknati orang-orang kafir dari Bani Israel dengan lisan Daud dan Isa putera Maryam. Yang demikian itu disebabkan mereka derhaka dan selalu melampaui batas. Mereka satu sama lain selalu tidak melarang tindakan mungkar yang mereka perbuat. Sesungguhnya amat buruklah apa yang selalu mereka perbuat itu ". ( Al-Maidah : 78-79 ).

Rasulullah s.a.w. bersabda : " Barangsiapa di antara kalian melihat suatu kemungkaran, maka hendaklah dia merubahnya dengan tangannya. Jika tidak mampu, hendaklah dengan lidahnya. Jika tidak mampu, hendaklah dengan hatinya, namun yang demikian itu adalah selemah-lemah iman ". ( Riwayat Muslim ).

Salah besar jika ada anggapan bahawa kemungkaran ini hanya berkisar pada masalah zina, minum khamar atau hal-hal lain yang semakna.

Mengabaikan kehormatan rakyat merupakan kemungkaran yang amat mungkar. Memanipulasi hasil pilihanraya merupakan kemungkaran yang amat mungkar. tidak mahu memberi kesaksian terhadap hasil pilihanraya merupakan kemungkaran yang amat mungkar, kerana hal ini termasuk menyembunyikan kesaksian. Menyerahkan urusan kepada orang yang bukan ahlinya merupakan kemungkaran yang amat mungkar. Mencuri kekayaan milik rakyat merupakan kemungkaran yang amat mungkar. Menimbun barang yang diperlukan rakyat kerana kepentingan peribadi atau golongan tertentu merupakan kemungkaran yang amat mungkar. Menzalimi manusia dengan cara-cara yang jahat tanpa melalui prosedur mahkamah yang adil merupakan kemungkaran yang amat mungkar. Menyeksa manusia di penjara dan tahanan merupakan kemungkaran yang amat mungkar. Menyerahkan wang rasuah, menerimanya dan menghantarkannya merupakan kemungkaran yang amat mungkar. Mencari muka dihadapan pemimpin dengan cara yang batil dan mengipas-ngipaskan asap dihadapannya merupakan kemungkaran yang amat mungkar.

Begitulah kita mendapatkan cakupan kemungkaran yang amat luas dan semakin luas, meliputi hal-hal yang dianggap manusia sebagai masalah politik.

Maka apakah orang Muslim yang masih memiliki ghirah terhadap agamanya dan menghendaki keredaan Rabb masih tetap akan diam mematung saja? Ataukah justeru dia menghindar dari medan, melarikan diri menghadapi pelbagai kemungkaran ini, kerana takut atau mementingkan keselamatan diri sendiri? Apabila roh seperti ini menyebar di tengah umat, maka habislah sudah risalahnya dan sudah boleh dipastikan, umat itu akan binasa, kerana ia akan menjadi santapan bangsa lain, bukan bangsa yang disifati Allah : ( Terjemahan )

" Kalian adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang ma'ruf dan mencegah dari mungkar dan beriman kepada Allah " ( Al-Imran : 110 )

Tidak hairan jika kita mendengar peringatan yang disampaikan Rasullulah s.a.w kepada umat kerana munculnya sikap seperti itu:

" Jika kulihat umatku gentar berkata kepada orang zalim, ' Hai orang zalim', maka mereka tidak layak lagi untuk hidup ". ( Diriwayatkan Ahmad ).

Dengan sebab imannya orang Muslim dituntut agar tidak bersikap pasif dalam menghadapi kemungkaran, apapun bentuknya, baik politik, ekonomi, sosial atau peradaban. Dia mesti meluruskan dan merubahnya dengan menggunakan tangan jika memang sanggup. Jika tidak sanggup merubah dengan lidah, dia mesti beralih ke cara yang paling rendah iaitu merubah dengan hatinya dan inilah yang disifati dalam hadis sebagai selemah-lemahnya iman.

Rasullulah s.a.w. menyebutnya " merubah dengan hati " kerana ianya merupakan beban perasaan dan kejiwaan dalam melawan kemungkaran dan para pelakunya. Beban ini bukan hanya sekadar sesuatu yang mengandungi erti negatif seperti anggapan orang. Sebab jika begini, tentunya tidak disebut dengan kata-kata merubah di dalam hadis ini.

Beban perasaan dan kejiwaan ini akan terus mengekori dan suatu saat akan menyemburkan nafas dalam suatu tindakan yang positif, boleh berupa revolusi yang melibatkan orang ramai atau ledakan yang sukar dibayangkan. Jika ada tekanan, tentu akan diikuti dengan ledakan. Ini merupakan sunnatullah yang berlaku di alam ini.

Jika hadis di atas menyebut sikap ini dengan istilah " merubah dengan hati ", maka dalam hadis lain disebutkan dengan istilah " Jihad hati ", yang merupakan tingkatan jihad terakhir, sebagaimana ia merupakan tingkatan iman yang terakhir dan paling lemah. Muslim meriwayatkan dari Ibnu Masu'ud secara marfu' :

" Tidak ada seorang nabipun yang diutus Allah di suatu umat sebelumku, melainkan dia mempunyai para sahabat-sahabat setia dan rakan-rakan yang melaksanakan sunnahnya dan mengikuti perintahnya. Kemudian datang sesudah mereka orang-orang yang mengatakan apa yang tidak dikatakan para nabi, melakukan apa yang tidak diperintahkan para nabi itu. Barangsiapa memerangi mereka dengan tangannya, maka dia adalah orang Mukmin. Barangsiapa memerangi mereka denbgan lidahnya, maka dia adalah orang Mukmin dan barangsiapa memerangi mereka dengan hatinya maka dia adalah orang Mukmin. Setelah itu tidak ada lagi iman sekalipun hanya sebiji sawi".

Tulisan : H.M. SUBUH






        
Ke atas    Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 5 Oktober 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://clik.to/tranung dan Email : tranung2000@yahoo.com