Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite AMERIKA,
BRITAIN & YAHUDI
'SYAITAN DUNIA'!

UMNO PEROMPAK WANG RAKYAT !


PAS hadapi cabaran baru (Bhg 1)

Oleh : Lee Ban Chen

Selama ini, Barisan Nasional (BN) sedaya upaya cuba menonjolkan imej PAS sebagai parti Islam yang militan dan pelampau untuk memomokkan mereka yang masih was-was terhadap parti itu, terutamanya masyarakat bukan Melayu.

Bagaimanapun, nampaknya usaha itu tidak begitu berjaya. Namun, ekoran serangan ke atas Amerika Syarikat pada 11 September lalu, senario politik negara kita bertukar dengan cepat sekali.

Antaranya DAP meninggalkan pakatan Barisan Alternatif (BA), pengumuman Dr Mahathir Mohamad bahawa Malaysia sebuah negara Islam de facto, dan seruan PAS supaya umat Islam di negara ini berjihad menentang serangan balas Amerika Syarikat dan Britain ke atas Afghanistan.

Tindakan itu seolah-olah menunjukkan PAS sendiri sudah tidak mengindahkan sama ada ia dipandang sebagai militan, pelampau atau tidak.

Malah dalam BA sendiri, PAS mengumumkan pendiriannya melaksanakan pemerintahan negara Islam sekiranya ia berkuasa, walaupun ia terpesong daripada matlamat utama Manifesto Bersama BA untuk memperjuangan satu kerajaan alternatif yang adil dan demokratik.

Punca utama

Dan ini merupakan punca utama pergeseran antara parti itu dengan DAP yang akhirnya mendorongkan DAP bertindak keluar daripada BA sebelum berlangsungkan pilihanraya negeri Sarawak baru-baru ini.

PAS, DAP dan parti komponen lain BA, juga gagal mencari formula penyelesaian untuk mengelakkan DAP meninggalkan BA. Akibatnya, usaha BA mempelopori senario baru politik di negara ini turut terjejas dan kemungkinan ia berundur kembali kepada politik lama yang menitikberatkan sentimen kaum dan agama.

Tidak dapat dinafikan PAS dan DAP memang berhak (tetapi tidak semestinya bijaksana) untuk memperjuangkan idealisme masing-masing mengenai negara Islam dan negara sekular.

Namun, dalam konteks BA, berselisih, sama ada satu undi untuk BA adalah satu undi untuk negara Islam atau satu undi untuk negara sekular, sudah tentu membawa kedua-dua parti itu ke jalan buntu, lalu menjejaskan perpaduan pakatan BA sepertimana yang telah berlaku.

Bagi penyokong PAS, menyokong BA tidak harus ditafsirkan sebagai menjejaskan sokongannya terhadap negara Islam sebagai idealisme jangka panjang. Dan bagi penyokong DAP pula, mengundi BA juga tidak bercanggah dengan sokongannya terhadap sebuah negara sekular.

Oleh itu, berkeras supaya PAS bersetuju bahawa satu undi untuk BA bukan satu undi untuk negara Islam, adalah sama saja dengan berkeras supaya DAP bersetuju bahawa satu undi untuk BA bukan satu undi untuk negara sekular!

Dari segi strateginya - daripada bergaduh mengenai apa yang tidak dapat dipersetujui pada masa ini -- tentu lebih bijaksana menekankan apa yang boleh dan telah disetujui oleh semua parti komponen, iaitu Manifesto Bersama BA.

Dengan lain perkataan, dalam konteks BA, menekankan secara unilateral konsep negara Islam atau negara sekular adalah tidak menguntungkan dari segi stategi.

Sekiranya Lim Kit Siang atau Kapal Singh berkeras hendak mengetahui ‘satu undi untuk BA adalah satu undi untuk apa sebenarnya?

Jawapannya mudah saja: Satu undi untuk BA merupakan satu undi untuk kerajaan alternatif yang adil, demokratik, beretika, tanpa rasuah, nepotisme dan sebagainya.

Satu pukulan

Akibat tindakan DAP daripada pakatan BA merupakan satu pukulan terhadap politik baru yang cuba dipelopori oleh BA, iaitu politik yang lebih sihat dan seimbang dari segi hubungan kaum dan agama dalam masyarakat berbilang kaum di negara ini.

Setelah penarikan DAP daripada pakatan BA, polarisasi kaum dan agama mungkin menjadi lebih buruk lagi. Bagi DAP, penekanan yang keterlaluan kepada sekularisme tentu akan menjauhinya daripada mereka yang beragama, terutamanya umat Islam yang mulai menerimanya.

Manakala sokongan yang diharap-harapkan oleh DAP daripada pengundi bukan-Melayu juga tidak pasti akan bertambah. Di kalangan masyarakat bukan-Islam, tindakan DAP meninggalkan BA mungkin ditafsirkan sebagai bukti bahawa PAS adalah parti yang bersifat dogmatik dan tidak sudi berkompromi dalam menangani isu negara Islam yang terlalu sensitif itu.

Bagi BA, tanpa DAP, isu negara Islam masih wujud dan jika tidak dapat ditangani dengan saksama, ia mungkin menimbulkan krisis baru pada masa yang akan datang, atau BA terjelma menjadi pakatan Barisan Islam (BI) yang tentunya tidak mampu memainkan peranan Barisan Alternatif seperti tujuan asal pembentukannya.

.................................
Malaysiakini






        
Ke atas    Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 22 Oktober 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://clik.to/tranung dan Email : tranung2000@yahoo.com