Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite AMERIKA,
BRITAIN & YAHUDI
'SYAITAN DUNIA'!

UMNO PEROMPAK WANG RAKYAT !


Pengistiharan Malaysia sebagai negara Islam oleh Dr. Mahathir II

Pengistiharan Malaysia sebagai negara Islam oleh Mahathir yang dibuat semasa perhimpunan parti gerakan baru-baru ini adalah bagi menyenangkan hati parti tersebut, dan parti-parti yang sebantal dengannya yang selama inipun sama-sama berkongsi busuk hati dan celupar mulut terhadap kesyumulan Islam sebenarnya. Mahathir dan Umnonya sudah lama mengiktiraf Malaysia sebagai sebuah negara Islam mengikut petuanya dan para pengikutnya baik dari kalangan cerdik pandai dan ahli agama turut menjadi jurubicara baik yang ditonjol atau sengaja menonjol cuba menegak kebenaran kata-kata tuannya. Sindrom dan fenomena ini sudah lama berakar umbi serta subur dalam budaya kehidupan masyarakat cari makan dan cari nama. Tidak mustahil sekiranya Mahathir mengatakan 2 + 2 = 3, maka akan ada juga manusia mempertahankan kebenaran kata-katanya itu walau secara mana sekalipun teori dan logiknya. Keadaan tersebut dikatakan tidak mustahil kerana telah banyak logik-logik yang diutara dan digunapakai Mahathir selama ini menunjukkan jauh dari kebenaran dan ilmu, sebaliknya lebih cenderung mengikut jejak langkah pak pandir. Logik pandir ini disahut pula oleh kalangan berkepentingan untuk mempromosikan diri sebagai hamba yang taat meskipun terbabas dari landasan ilmu dan fakta sebenar. Banyak contoh yang dapat disebut namun tulisan ini hanya dibuat sepintas lalu maka ruangan dan ketika ini tidaklah perlu dihuraikan.

Cuma sedikit tumpuan perlu diberi kepada apa yang disebut dan diistiharkan Malaysia sebagai negara Islam oleh Mahathir adalah saling tak tumpah sepertilah mengatakan tidak bertemu dalam kitab suci Alquran ayat yang mengharamkan judi !. Begitulah jauhnya kesesatan kata-kata dari hakikat dan fakta. Belum lagi merujuk kepada nas dan syariat, apa yang berlaku dan diperlakukan hanya mengambarkan Malaysia setakat boleh digelar negara yang majoriti penduduknya beragama Islam sahaja, tidak lebih dari itu. Negara Islam mana yang pemimpin-pemimpinnya sendiri tergamak dan sewenang-wenangnya menghina Islam, menghina Pembawa RisalahNya, ulama-ulama dan ilmu Islam itu sendiri. Dan apabila umat Islam dan rakyat merasa terhina dan marah akan maruah agama dan nabinya di permainkan, maka label ektremis dan fundamentalis dikenakan kepada pihak dan rakyat yang mendokong dan menjiwai kemuliannya. Terdapat banyak peringkat dan tahap imam seseorang, ada orang yang tidak merasai apa-apapun bila penghinaan dibuat ke atas agama dan nabinya, ada pula yang acuh tidak acuh mengenainya dan ada juga yang merasa turut terhina dan tercabar. Adakah pihak ketiga itu boleh dipanggil sebagai pelampau dan ektremis?. Adakah agama menghendaki sikap toleran di dalam mempertahankan maruah dan kesucian yang tercemar dan tergadai ?. Sejarah memperlihatkan betapa khalifah Islam dahulu tidak mendiamkan diri hatta walau seseorang Islam diperhina dan dipermainkan maruahnya melainkan dengan mengerakkan bala tentera mengajar si pelakunya supaya agama Allah tetap mulia dan terpelihara.

Sebaliknya bumi Malaysia adalah tapak dan pengkalan yang subur bagi menghambur kata-kata dan tindakan merendah-rendahkan martabat dan maruah agama Islam. Barangkali ada pemimpin-pemimpin barat sendiri tidak tergamak menghina Islam sebagaimana pemimpin Malaysia lakukan. Dan negara Islam jenis apa pembantah-pembantah terhadap kedatangan pasukan kriket yahudi ke sini tidak lama dahulu telah ditahan dan didakwa sebaliknya tetamu-tetamu yahudi itu ditatang penuh kebaikan dan keselamatan ?.Inilah dasar talam dua muka atau munafik yang berlaku selama ini dan seperti pepatah kata kera di hutan disusukan , anak dikendungan keciciran!. Mungkin alasan yang diberikan ialah kerana pembantah-pembantah ini telah melanggar undang-undang negara yang melarang berhimpun, tunjuk perasaan dan sebagainya. Namun di sini jelas betapa undang-undang dalam kontek tersebut lebih sekular dari sekular dan dasar negara yang pro yahudi. Bukankah juga penasihat ekonomi negara terdiri dari bangsa dan syarikat yahudi ?, seterusnya pendekatan dan tindakan pemimpin Malaysia di dalam menyekat suara dan kebebasan rakyat lebih-lebih lagi dalam urusan agama adalah bertepatan dengan inspirasi yahudi.

Selain situasi yang berlaku ke atas protes kedatangan yahudi ke sini ditangani sebegitu rupa oleh "pemimpin dan negara Islam Malaysia" juga turut memperlihatkan bagaimana proses undang-undang berjalan tonggang terbalik. Betapa terdapat pelapor kes-kes penyelewengan, rasuah dan salahguna kuasa dan sebagainya dikenakan tindakan dan hukuman sebaliknya pihak-pihak pelaku terus bebas dan selamat, begitu juga dalam kes-kes lain yang mengaibkan, pelapor dan pembela diambil tindakan manakala pelaku terbela dan selamat sejahtera. Proses tindakan dan hukuman terpaksa dilihat menerusi kanta pembesar dimana yang kecil jelas nampak dan kelihatan manakala yang besar-besar tidak dapat dijangkau oleh kanta berkenaan.

Tidak lupa juga sejenis mana negara Islam Malaysia yang masih menatang undang-undang ISA sebagai didakwa adalah undang-undang dan langkah pencegahan?. Sedangkan terbukti ISA adalah sebaliknya kerana ia secara langsung sudah merupakan satu bentuk hukuman dan deraan dari segi kemanusian kerana hanya dengan dakwaan dan tuduhan-tuduhan semata tanpa perlu kepada pembuktian dan saksi-saksi, mangsa-mangsa ISA telah dikenakan tahanan dalam sel, melalui proses soalsiasat dan kemudian diarah memasuki Kemunting selama dua tahun. Tidakkah mekanisma tersebut sudahpun menjadi satu hukuman. Namun tetap ada sesetengah pendapat ala pandir yang mengatakan ISA adalah selari dengan Islam. Sewajarnya setelah pihak yang menjalankan penyiasatan ( selama dua bulan ! ) maka kemukakanlah kes ke mahkamah supaya dapat dibuktikan kesalahan dan ancaman yang dibawa oleh mangsa. Sekiranya perkara sebegini senang sedangkan banyak kes-kes rumit dan berat dapat ditangani tidak juga dapat diikuti maka selama itulah ISA dipandang sebagai jentera dan alat yang dikuasai pemimpin kerajaan untuk menahan sewenang-wenangnya masyarakat. Ia hanya merupakan suatu pertuduhan semata di mana pihak kerajaan sendiri samar serta ragu-ragu tentang bukti kebenaran dan seterusnya kemenangan pihaknya di mahkamah terbuka.

Persoalan berkaitan negara Islam seperti yang diistiharkan sememangnya mudah ditutur terutama di hadapan pendengar-pendengar melayu yang mudah lupa atau bukan melayu yang pobia Islam kerana acuan dan kerangkanya bersesuaian dengan naluri dan nafsu mereka.

Nonama






        
Ke atas    Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 15 Oktober 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://clik.to/tranung dan Email : tranung2000@yahoo.com