Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


Tulah Osu Sukam, Nasib Musa Aman

Nasib politik DSP Osu Haji Sukam seperti orang jatuh ditimpa tangga. Mungkin itulah yang dapat orang perkatakan tentang untung nasib dan masa depan politik Osu Sukam. Dia tidak senasib seperti rakan sejawatnya di negeri jiran terdekat Sabah, KM Sarawak Tan Sri Taib Mahmud yang terus bertahan berpuluh-puluh tahun berada dikerusi empuk dan berpuaka jawatan ketua menteri setelah dia meninggalkan jawatan menteri di Kuala Lumpur dulu. Orang Sabah kata Osu Sukam terkena 'tulah' atau 'ketulahan'. Biasa orang yang 'tulah' adalah kerana dia melanggar pantang larang atau tidak dengar nasihat orang tua. Berbeza dengan orang yang 'kempunan'. Walaupun, istilah 'kempunan' itu hanya satu kebetulan. Tetapi menjadi adat yang sukar ditanggalkan dalam otak pemikiran masyarakat kita. Konon tradisi datuk nenek dulu-dulu lagi. Dalam agama 'kempunan' adalah satu khurafat yang bercanggah dengan rukun iman yang berkaitan dengan beriman kepada qada dan qadar Allah Ta'ala.

Dan Osu tidak 'kempunan' lagi, malah segala jenis jawatan sudah dia rasakan sama ada di dalam kerajaan negeri atau di peringkat kerajaan pusatpun sudah diperolehinya. Belum lagi bab projek, pangkat, kedudukan, nama, pengaruh dan kemewahan hidup. Tetapi dia terkena 'tulah' akibat dari kerja politiknya selama ini. Selama menjawat kerusi KM Sabah. Sepatutnya, selepas kemenangan BN dalam pilihanraya Umum negeri 1999, KM Sabah waktu itu masih giliran bumiputera bukan muslim. Tapi Osu mengambil alih giliran itu atas arahan Dr Mahathir. Kalau ikut janji ialah dua-dua tahun. Itulah janji dalam sistem penggiliran KM yang disyorkan atau dijanjikan oleh Dr Mahathir dalam kempennya membantu BN di Sabah dalam pilihanraya umum negeri tahun 1994 di Beaufort. Sekalipun sistem penggiliran itu bercanggah dengan Perlembagaan Negeri Sabah, kerana kepimpinan BN Sabah semuanya berminda 'subsidi', budaya 'ampu sana ampu sini' dan budaya 'yes man'. Tidak mampu untuk memimpin tanpa 'campur tangan' oleh otak nyanyuk Mahathir. Sehingga mengakibatkan Osu yang terkena 'tulah' akibat merampas giliran KM Sabah kepunyaan atau turn bumiputera bukan muslim. Kata orang manusia dipegang pada janjinya, kerbau dipegang talinya.

Yang patut terkena 'tulah' itu ialah Dr Mahathir sebab dialah puncanya yang putuskan siapa bakal KM Sabah ketika itu dengan cara mungkir janji kepada bumiputera bukan muslim. Disebabkan Mahathir ada ilmu kebal penahan dari 'tulah', Osu yang menjadi kroni keras Mahathir dan dia tiada ilmu penahan 'tulah' akhirnya Osu jadi mangsa 'ketulahan' angkara ketidaktelusannya dalam berpolitik dan ikut telunjuk 'buruk' Mahathir.

Berbeza dengan untung nasib politik Datuk Musa Aman dari jawatan politik sebagai bendahari UMNO Sabah dan sekarang setingkat lagi melonjak sebagai pengerusi perhubungan UMNO Sabah menggantikan DSP Osu Sukam yang sudahpun jatuh dari kerusi KM ditimpa tangga lagi dengan hilang jawatan politiknya sebagai pengerusi UMNO negeri. Musa Aman terus dengan nasib menyebelahinya waktu ini dengan bermula jawatan menteri di Jabatan Ketua Menteri dalam kabinet negeri yang diketuai Osu Sukam dan sekarang dibawah KM Sabah, Datuk Chong Kah Kiat benar-benar nasib Musa Aman ada 'hong' kata orang Cina iaitu, dengan menjawat jawatan Menteri Kewangan Negeri Sabah. Tugas berat menjaga amanah dari segi harta kerajaan dan harta rakyat. Bukan harta peribadi, bukan juga harta mak bapak, bukan juga harta syarikat sendirian berhad. Harap Musa Aman akan menjadi menteri kewangan Sabah paling cemerlang, amanah dan telus dalam menguruskan harta rakyat dan kerajaan Sabah. Jangan sampai seperti beruk atau monyet yang menjadi pengurus besar estet pisang sudahlah.

Satu lagi, sinar untung nasib atau masa depan politik Musa Aman. Kalau sudah berada atau di atas duduk kerusi tertinggi politik UMNO Sabah sebagai pengerusi perhubungan UMNO negeri. Andai ajal atau umur politik BN Sabah masih dipanjangkan, adalah suatu yang hampir pasti jawatan KM Sabah akan datang kalau ia dari kem UMNO Sabah nama Musa Aman mesti dalam ranking paling atas, mungkin baru diekori oleh Datuk Lajim Haji Okin yang sekarang adalah antara tiga orang Timbalan KM Sabah (bagi kuota bumiputera muslim).

Yang kesian nasib politik Osu Sukam juga yang menjadi perhatian orang politik di Sabah. Apakah Osu Sukam boleh bernasib baik macam bekas-bekas KM dalam sistem giliran seperti Tun Sakaran, Datuk Salleh Tun Said, Datuk Yong Teck Lee dan Tan Sri Bernad Dompok sekarang. Sekiranya Osu Sukam tidak nampak apa-apapun bayangan tentang untung nasib seperti yang dirasai oleh 4 orang bekas KM Sabah dalam sistem giliran idea 'nyanyuk' Dr Mahathir itu. Benar, bahawa DSP Osu Sukam bekas KM Sabah yang kelima dalam sistem giliran itu terkena 'tulah'. Di antara sebab musabab kenapa Osu 'ketulahan' dari pemerhatian penulis ialah:

1. Semasa Datuk Salleh Tun Said jadi KM Sabah, Osu Sukam adalah antara orang yang kuat memberi sokongan agar sistem penggiliran diteruskan. Walaupun, ketika itu ada suara-suara sebahagian kepimpinan dan ahli UMNO mahukan Datuk Salleh terus jadi KM dan sistem penggiliran itu dikaji atau dimansuhkan.

2. Merampas turn KM Sabah daripada bumiputera bukan muslim selepas pilihanraya umum negeri 1999.

3. Memegang dua jawatan penting sekaligus dalam kerajaan negeri, iaitu jawatan KM dan Menteri Kewangan Negeri.

4. Terlibat dengan beberapa skandal yang mengaibkan sebagai seorang Islam.

5. Terlalu mengikut telunjuk 'buruk' Mahathir dalam membuat keputusan politik dan pentadbiran negeri. Padahal, Osu boleh merujuk kabinet negeri bagi memutuskan apa juga urusan kerajaan terlebih dulu. Dan di peringkat politik boleh rujuk dalam BN negeri atau badan perhubungan UMNO negeri itu sendiri.

6. Dan tindakan-tindakan politiknya yang tidak demokratik, tidak bijak dan lebih berbau kepentingan kroni dan sebagainya.

Demikianlah, nasib seorang pemimpin yang terkena 'tulah' dan untung nasib seorang pemimpin yang mempunyai kebijaksanaan. Mudah-mudahan DSP Osu Sukam akan dapat menilai semula kepimpinannya selama ini, di mana kelebihan dan juga kelemahan serta kekurangannya. Begitu juga kepada Musa Aman jangan merasa besar diri dengan pangkat atau kedudukan yang dipegang. Kerana semua itu tidak akan kekal selamanya.

Ibn Sabah,
4.10.2001M.






        
Ke atas    Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 5 Oktober 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://clik.to/tranung dan Email : tranung2000@yahoo.com