Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


Baru Seorang Osama ben Laden Gempar Seantero Dunia

Osama bin Laden adalah seorang Islam yang beriman dan taat beragama serta berbangsa Arab. Dan setelah peristiwa petaka yang meruntuhkan bangunan kebanggaan Amerika dan dunia World Trade Centre di Washington itu punah, tiba-tiba nama Osama bin Laden menjadi fokus dunia dan menjadi manusia tunggal yang diburu dan dikehendaki oleh Amerika, benar-benar seorang bernama Osama ben Laden jutawan Islam berbangsa Arab itu telah mengemparkan dunia ini. Dan Osama dituduh buta-tuli tanpa satu bukti, malah tidak diberikan peluang keadilan yang seadil-adilnya oleh pemburunya, Amerika bersama sekutu-sekutu baratnya yang lain. Presiden Amerika George W. Bush mahukan Osama ditangkap berkeadaan sama ada dia hidup atau mati. Betapa dendamnya seorang pemimpin bertaraf dunia itu kepada seorang manusia yang belum ditentukan salahnya oleh mana-mana mahkamah di dunia ini.

Itu baru seorang Osama ben Laden, Amerika dan sekutu-sekutunya di barat menjadi gelabah, hilang kewarasan dan tidak mampu berfikir secara rasional lagi. Melainkan semuanya berbaur dendam kesumat, emosi, perasaan dan diruntun hawa nafsu jahat yang menggila. Wajarkah kerana seorang manusia bernama Osama ben Laden, Amerika menjadi hilang akal untuk lebih bijak, teliti dan cukup cermat dalam mencari jalan, pendekatan dan penyelesaian paling baik, mulia dan manusiawi. Kalau benar Osama itu ketua pengganas, mana buktinya. Kenapa tidak disiasat secara profesional. Apa guna ada mahkamah dunia dan mahkamah di negara-negara di seluruh dunia boleh mengadili Osama. Dan kenapa keganasan Amerika di Vietnam, Iraq, Iran dan sebagainya, Israel mengganas di Palestin, Serbia mengganas di Bosnia Herzegovina dan keganasan dilain-lain negara di seluruh dunia yang terkena terhadap batang tubuh, harta dan jiwa umat Islam dihalalkan atau tidak dianggap sebagai tindakan ganas oleh Amerika dan dunia barat.

Umat Islam tentu masih teringat sejarah kemunculan seorang hamba Allah di zaman Rasulullah SAW dahulu yang juga disegani kawan dan digeruni musuh, iaitu seorang pemuda yang bernama Usamah bin Zaid yang telah mendapat kepercayaan Rasulullah SAW untuk mengetuai sepasukan tentera Islam atau dilantik sebagai Panglima Tentera untuk memerangi golongan musyrikin Rom yang menentang Islam dan umat Islam. Usamah bin Zaid amat digeruni oleh musuh Islam waktu itu, walaupun dia hanya seorang pemuda Islam. Kehebatan Usamah adalah kerana iman, ketaqwaan, pemuda soleh, tawaduk, berwatak baik, berwibawa dan berakhlak mulia yang menghiasi peribadi dan kehidupannya.

Seorang sahabat penulis melontarkan pandangannya, katanya itu baru seorang Osama bayangkan kalau ada sepuluh orang Osama di dunia ini. Lagi kecut perut Amerika yang menjadi kuda tunggangan Yahudi itu. Dulu perang Teluk Amerika teramat dendamnya terhadap seorang Saddam Hussien seluruh dunia Amerika heret untuk serang Iraq. Sebab Iraq memasuki/menawan negara Kuwait yang ada kepentingan Amerika di sana. Kini, Amerika mengheret dunia pula untuk memburu Osama ben Laden yang dikhabarkan berada di Afghanistan. Berita terbaru Osama sudah menghilangkan diri dari Afghanistan. Apakah Amerika mahu terus mengganas di Afghanistan sedangkan Osama sudah melarikan diri. Kalau benar Amerika hanya ingin menangkap seorang Osama kenapa menyusahkan negara lain dan diugut hendak menyerang Afghanistan bersama sekutu-sekutunya.

Demikianlah, Allah menurunkan atau menganugerahkan kehebatan kepada para hamba-hamba-Nya yang beriman bagi mengerunkan musuh-musuh Allah, musuh Islam dan musuh orang-orang beriman. Begitulah dunia ini, akan muncul dari zaman ke zaman hamba-Nya yang digeruni oleh musuh. Ketika Nabi SAW tampil membawa Islam, kebaikan Islam dan kebenaran Islam, Nabi SAW diburu oleh golongan musyrikin Makkah, Nabi SAW digeruni musuh yang takut hilang pengaruh, hilang budaya tradisi yang menjadi amalan. Di Mesir lahir Syed Qutb, Hasan al-Banna, di Turki muncul Erbakan, di Algeria muncul kumpulan Islam FIS, di Indonesia muncul kumpulan MASUMI dan begitu juga di Malaysia telah muncul organisasi Islam yang dicemburui dan juga individu-individu yang berpegang kuat dengan ajaran Islam yang ditakuti oleh musuh-musuh yang memusuhi Islam dan umat Islam yang beramal dengan ajaran Islam.

Sebenarnya itulah kehebatan dan keistimewaan orang-orang yang beriman, bertaqwa dan cintanya kepada Allah, rasul-Nya dan Islam melebih segala yang lain. Cuma satu individu boleh mengerunkan Amerika yang menjadi kuasa besar dunia hari ini. Itupun Amerika masih takut untuk menghadapi seorang Osama secara satu lawan satu. Tetapi Amerika heret semua sekutu baratnya untuk mengganyang seorang bernama Osama di mana saja dia berada. Amerika sanggup musnahkan sebuah negara seperti Afghanistan demi untuk memburu seorang Osama. Apakah tindakan itu suatu tindakan tepat dan bijak bagi Amerika dan sekutu baratnya.

Sebagai umat Islam, kita benar-benar kecewa terhadap sikap Amerika dan sekutu baratnya dengan mencop setiap keganasan mesti dilakukan oleh orang Islam atau orang Arab Islam. Amerika tidak pernah melihat dirinya yang banyak bertindak ganas ke atas orang lain dengan mengajak dan mengheret semua sekutu baratnya menyerang secara ganas ke atas Iraq dulu, kerana dendamnya ke atas Saddam Hussien seorang, seluruh Iraq musnah, rakyat Iraq anak-anak kecil, wanita dan orang tua yang tidak berdosa terkorban akibat serangan dendam yang ganas oleh Amerika.

Amerika dan sekutu baratnya atau siapa juga yang berniat memusuhi Islam perlu tahu, bahawa Islam selamanya tidak pernah menghalalkan sebarang keganasan terhadap sesiapa juga. Inilah ajaran Islam sebenar. Tetapi, apabila Islam dan umatnya diserang atau diganasi Islam mengharuskan peperangan demi untuk mempertahankan diri dan memelihara kemaslahatan umum dan dunia ini seluruhnya. Kerana Islam datang untuk keselamatan, keamanan, kebaikan dan untuk menyelamatkan manusia di dunia dan juga di akhirat.

Ibn Sabah,
1.10.2001M.






        
Ke atas    Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 5 Oktober 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://clik.to/tranung dan Email : tranung2000@yahoo.com