Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite AMERIKA,
BRITAIN & YAHUDI
'SYAITAN DUNIA'!

UMNO PEROMPAK WANG RAKYAT !


KM Sabah Meminta Kementerian Teliti Kes Sewa Kereta RM12,800 Sebulan

Akhbar tempatan di Kota Kinabalu seperti Daily Express, The Borneo Post dan New Sabah Times hari Ahad 14.10.2001 telah menyiarkan berita yang sememangnya ditunggu-tunggu oleh semua rakyat yang cintakan amalan ketelusan dan amanah, sejak sekian lama dari mulut atau satu kenyataan rasmi pemimpin tertinggi politik negeri, Ketua Menteri Sabah, Datuk Chong Kah Kiat tentang beberapa isu pentadbiran, pembaziran dan pengurusan kewangan yang tidak munasabah dengan meminta Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang berketuakan Datuk Salleh Tun Said yang juga mantan KM dalam sistem giliran itu agar mengkaji dan meneliti semula beberapa komitmen dan perjanjian-perjanjian yang dibuat bagi pihak kerajaan negeri dengan mana-mana syarikat atau agensi atau pihak swasta. Kenyataan KM itu, menarik untuk diulas oleh semua rakyat yang cintakan amalan ketelusan, keadilan dan menjunjung peraturan/prosedur atau undang-undang dalam kerajaan. Namun, ia tetap menjadi seperti satu 'pukulan' penumbuk sulong atau ibarat 'duri dalam daging' kepada mereka yang terbiasa dengan mengamalkan budaya tidak telus, amalan rasuah, menyeleweng dan salahguna kuasa yang umum diketahui berlaku dikebanyakan agensi/jabatan kerajaan yang dicengkam oleh tangan orang politik 'elit' yang angkuh lagi terlalu berkuasa. Jangan ulangi kepimpinan zaman Berjaya/BN yang berketuakan Datuk Harris Salleh. Dengan adanya sikap kepimpinan seperti Datuk Chong sebagai KM Sabah, sekurang-kurang para pegawai tinggi kerajaan yang terbiasa, termanja dan terbudaya dengan amalan salahguna kuasa, tidak amanah, rasuah dan tidah mengikut prosedur akan dapat ditangani, sekalipun terpaksa memakan masa lama. Kerana, budaya atau amalan kebiasaan yang bertentangan dengan nilai-nilai telus, adil dan baik itu sudah lama berakar umbi dalam minda dan jiwa segelintir pegawai tinggi dan juga pegawai/kakitangan kerajaan.

Kepimpinan telus dan pentadbiran cermat dan bertanggungjawab yang cuba ditonjolkan oleh KM Sabah, Datuk Chong Kah Kiat dalam kepimpinannya terhadap beberapa perkara utama yang melibatkan rakyat dan kewangan negeri adalah suatu yang tepat masanya. Dengan amalan boros, pengurusan kewangan tidak telus, tidak cekap dan tidak profesional yang berlaku silih berganti antara seorang KM kepada KM yang lain seperti menjadi budaya yang teramat sukar untuk ditanggalkan oleh ketua-ketua menteri terdahulu dan pelbagai lagi amalan pentadbiran yang tidak mengikut prosedur, kerana lebih banyak dipengaruhi elemen berkepentingan orang-orang politik 'elit' dan amalan kronisme yang nampaknya payah untuk dikikis dikalangan orang politik 'elit' itu di Sabah. Mereka beranggapan apabila kuasa politik sudah berada dalam genggaman tangan, maka saat itulah peluang yang tidak boleh dilepaskan lagi. Pada mereka (golongan 'penguasa politik') yang rakus, tamak dan gila-gila seperti sebilangan kepimpinan UMNO/BN di Sabah, patang mereka nampak 'kuasa', pangkat dan kedudukan, pasti liur dan nafsu mereka bertambah 'ghairah' dan berselera cukup 'luar biasa'.

Mata dan akal para pemimpin UMNO/BN Sabah menjadi kabur. Tidak lagi nampak erti amanah rakyat, tanggungjawab mentadbir negeri secara telus, amanah serta cekap, dan hilang kebijaksanaan dalam mengagihkan harta rakyat kepada mereka yang benar-benar memerlukan. Malah mereka juga lupa tentang dosa dan pahala.

Ketelusan, pendekatan pentadbiran cermat, tidak membazir dan juga sikap keprihatinan KM Sabah, Datuk Chong yang meminta Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang diketuai oleh Datuk Salleh Tun Said, supaya membuat kajian semula terhadap beberapa perkara seperti komitmen dan perjanjian-perjanjian yang telah dibuat yang sebenarnya tidak munasabah, seperti dalam kes penyewaan kenderaan dengan jumlah sewaan RM12,800 sebulan bagi sebuah kereta Mercedes Benz yang digunakan oleh pegawai tinggi kerajaan negeri, adalah jelas merupakan satu amalan yang boros. Rakyat menyoal, peraturan apakah yang dipergunakan sehingga terjadi sedemikian. Sudah tentu ada unsur-unsur tidak sihat dan tidak betul dalam perjanjian sewaan atau wujudnya kepentingan diri sesetengah pegawai tinggi kerajaan atas nama 'penyalahgunaan kuasa' atau penyelewengan yang dirancang sebegitu rupa.

Manakala dalam kes lain, ialah projek pembangunan Teluk Likas yang disifatkan aneh oleh Datuk Chong, kerana telahpun mendapat kelulusan Jabatan Alam Sekitar secara bersyarat. Tetapi meminta pihak kerajaan negeri membuat kajian semula. Projek ini sememang projek 'panas' disebabkan mendapat bantahan ramai masyarakat dan juga badan-badan bukan kerajaan (NGO's) kerana kesannya terhadap alam sekitar serta penduduk disekitarnya.

Mampukah Datuk Chong Menangani Isu-isu Lain

Di atas ketelusan, kesungguhan dan komitmen tinggi seorang KM Sabah yang baru beberapa bulan memegang jawatan KM telah berjaya menampilkan kepimpinan berkesan, telus dan profesional untuk membawa satu pendekatan pentadbiran kerajaan negeri Sabah dengan lebih baik dan beramanah, demi membela rakyat dan mentadbir negeri lebih bertanggungjawab lagi.

Tetapi sebagai rakyat yang dahagakan sistem pemerintahan yang telus, adil, amanah dan kerajaan yang baik. Rakyat akan melihat apakah yang dimulakan oleh Datuk Chong ini hanya bersifat gimik dan polemik politik yang sementara sahaja. Ketika mula-mula memegang jawatan KM dulu beliau telah meletakkan tiga dasar kepimpinannya iaitu menangani isu balak, PTI dan kebersihan sungai di Sabah. Memang ketiga-tiga isu tersebut antara isu yang besar dan perlu ditangani secara lebih serius oleh kerajaan negeri, kerana ia melibatkan maslahat umum terhadap kepentingan rakyat, ekonomi dan kerajaan negeri Sabah sendiri. Dan isu PTI dari negara jiran Filipina, Indonesia dan juga daripada negara-negara lain seperti Pakistan, Afrika dan lain-lain adalah isu nasional yang teramat serius.

Isu-isu lain yang bersifat dalaman, pengurusan ekonomi negeri tidak cekap, berlaku pembaziran dan penyelewengan kerana dijangkiti unsur-unsur kepentingan politik sempit, khususnya yang berkaitan pembangunan insfraktur, projek, kemudahan asas kepada rakyat dan sebagainya. Seperti ada bangunan terbengkalai, penswastaan beberapa agensi kerajaan negeri yang berprestasi baik, penswastaan kenderaan kerajaan kepada syarikat Angkatan Hebat, Sabah Bank, pegawai lantikan politik yang melebih-lebih dan lain-lain isu lagi, semua ini perlu dinilai semula baik buruknya demi untuk mempertahan kredibiliti kerajaan negeri dimata rakyat.

Sebenarnya, rakyat tidak begitu berkerenah tentang apa jua pembangunan yang dirancang oleh kerajaan. Yang penting pembangunan itu bersifat adil, menguntungkan rakyat dan kerajaan, bukan pembangunan yang membazir, menyusah rakyat atau pembangunan kerana menjaga survival kroni, anak-anak, suku sakat atau tauke. Tetapi yang penting dan teramat mustahak bahawa hendaklah setiap pembangunan atau kemajuan yang hendak dilaksana oleh kerajaan itu mesti dengan satu perancangan rapi, bukan pembangunan 'hentam keromoh' atau projek pembangunan ikut suka orang politik 'elit' yang terlalu berkuasa. Inilah yang menimbulkan masalah kepada rakyat dan kewangan negeri Sabah, kerana ada orang politik berlagak menjadi pentadbir atau ada pegawai tinggi kerajaan kaki ampu berlagak seperti orang politik yang seolah-olah tidak tahu mentadbir hanya memperguna 'boneka' kuasa orang politik dibelakangnya. Sepatutnya, dalam bab pengurusan dan pentadbiran orang politik mesti merujuk kepada pegawai kerajaan yang tahu prosedur. Cadangan orang politik bukanlah keputusan muktamad, kerana ia perlu dilihat dari pelbagai sudut pentadbiran, undang-undang dan sebagainya.

Seterusnya, jangan ada pegawai tinggi kerajaan yang berjiwa 'pegawai kaki pengampu' yang mengiyakan apa saja kata-kata orang politik, walaupun cakap orang politik itu sebenarnya menyalahi peraturan atau bercanggah dengan perancangan. Di sinilah, Sabah memerlukan orang politik yang berilmu, telus, tawaduk dan profesional, disamping pegawai/kakitangan kerajaan yang cekap, berilmu, telus, amanah, profesional dan bukannya mereka yang kaki ampu dan kaki bodek orang politik.

Apakah akan menjadi kenyataan keadaan sebegini, kita tunggu dan lihat. Semuanya terletak di atas kepimpinan politik dan pentadbir yang telus, amanah, berilmu dan profesional. Dan mereka dapat membezakan yang mana urusan politik kepartian yang hanya terkhusus kepada ahli-ahli parti masing-masing dengan urusan pentadbiran kerajaan negeri yang melibatkan semua rakyat tanpa mengira apa anutan politik mereka.

Harapan Rakyat Sabah

Kita sebagai rakyat yang celik erti politik, celik erti keadilan dan celik erti demokrasi dan kebebasan. Mengharapkan ketegasan, ketelusan dan komitmen kepimpinan YAB Datuk Chong selaku KM Sabah akan berterusan dalam isu-isu lain juga. Termasuk isu pemindahan setinggan Pulau Gaya yang status warganegara mereka masih diragui untuk dipindah ke Telipok yang telah mendapat bantahan majoriti rakyat, orang politik dan juga NGO's turut dikaji semula. Padahal YAB Ketua Menteri pernah mengumumkan antara keutamaan dalam kepimpinannya ialah mengatasi kebanjiran PTI di Sabah. Kenapa tiba-tiba pula KM membuat kenyataan baru-baru ini tentang perpindahan setinggan warga asing di Pulau Gaya ke Kg Boronuon, Telipok akan diteruskan. Inilah sikap doublestandard yang tidak wajar berlaku lagi di Sabah.

Kesungguhan, ketelusan dan kepimpinan Datuk Chong tidak akan berjaya, kalau hanya KM seorang yang mahu melakukannya, tanpa ada dokongan dan sokongan kuat daripada barisan kabinet negeri, kepimpinan politik UMNO/BN, pegawai/kakitangan kerajaan dan rakyat seluruhnya. Kejayaan yang kita harapkan tidak bakal menjadi kenyataan selagi minda para pemimpin politik di Sabah masih dibelenggu oleh pemikiran kesukuan, perkauman, kepentingan kroni, projek, melihat kawan akrab dan tidak profesional, tidak telus dan tidak amanah. Dan mereka (para pemimpin politik) ini hanya melihat nilai-nilai benda, kebendaan, pangkat dan kedudukan. Bukan kepentingan rakyat dan negeri, bukan untuk membela rakyat dan kedaulatan negeri dan negara yang besar dan utama dalam jiwa, akal dan hati mereka.

Akhirnya, sekalung tahniah dan sejuta penghargaan kepada YAB Ketua Menteri Sabah, Datuk Chong kerana sudah melihat dan menyedari amalan-amalan tidak telus yang berlaku dalam kerajaan yang boleh menyusahkan rakyat, membazir kewangan dan menyukarkan pentadbiran negeri, pembaziran harta rakyat/kerajaan serta amalan-amalan tidak telus yang berlaku dalam kerajaan negeri, seperti membelakangi prosedur atau peraturan, demi untuk melindungi kepentingan orang-orang tertentu yang mempunyai kepentingan diri, nama, kedudukan dan kebendaan lainnya.

Kita dan rakyat Sabah mengharapkan agar kesungguhan atau komitmen kepimpinan kerajaan ini akan benar-benar dibudayakan dalam semua sistem kerajaan negeri atau dalam semua agensi/jabatan kerajaan, swasta, institusi masyarakat, keluarga dan di mana-mana jua, supaya rakyat akan terbiasa/terbudaya dengan amalan-amalan ketelusan, sikap jujur, amanah dan bertanggungjawab demi usaha membasmi budaya atau minda subsidi, jiwa kebendaan dan minda terlampau mengharap atau menanti sogokan-sogokan kebendaan yang berlawanan dengan budaya bangsa yang bertamadun, berilmu dan berakhlak mulia.

Kata cerdik pandai, rakyat ikut pemimpinnya, kalau pemimpin baik rakyat akan jadi baik, kalau pemimpin rasuah, rakyat akan ikut rasuah, kalau pemimpin kaki ampu, rakyatnya juga akan menjadi pengampu, begitulah seterusnya orang bawahan akan mengikut ketuanya. Ketua/pengarah yang menampilkan sahsiah baik, akan menjadi ikutan kebaikan pimpinannya, kalau ketuanya kaki rasuah, kaki ampu, kaki bodek, kebiasaannya orang bawahan juga turut terbelajar dengan sikap buruk itu.

Ibn Sabah,
17.10.2001M.






        
Ke atas    Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 19 Oktober 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://clik.to/tranung dan Email : tranung2000@yahoo.com