Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


Apabila Agama Mengikut Akal Dangkal Manusia

Dunia sudah hampir kiamat. Sampai ada orang dengan ilmu dan akalnya yang dangkal mahu melaberalisasikan Islam, konon ikut peredaran zaman dan masa. Fikir saja ada manusia akhir zaman tergamak mengubah hukum haram yang termaktub dalam al-Qur'an seperti haramnya zina, haramnya riba, haramnya pembunuhan dan lain-lain lagi, agar menjadi halal atau dibolehkan kerana peredaran zaman atas kehendak globalisasi. Otak dan akal manusia seperti inilah yang akan menghancurkan generasi manusia itu sendiri. Sudah banyak bukti yang terjadi dan dialami oleh umat-umat dahulu kerana menentang agama, menentang hukum Allah dan melaberalisasikan agama mengikut kemahuan nafsu. Misalnya kaum Nabi Luth a.s yang menuruti nafsu tanpa mengendahkan nasihat dan seruan Nabi mereka, akhirnya mereka musnah. Kaum Nabi Nuh a.s juga musnah dengan dilanda banjir besar kerana nafsu dan kekufuran mereka, Fir'aun dan kaumnya tenggelam dalam lautan ketika mengejar Nabi Musa a.s akhirnya mereka juga yang binasa dan musnah dalam lautan, dan hari inipun sudah banyak contoh peribadi, kelompok, bangsa dan generasi yang pupus musnah dek kerana menurutkan nafsu dan akal cetek lagi sempit mereka.

Jadi pemikiran manusia di akhir zaman yang kononnya mahu 'melaberalisasikan' agama ikut perubahan zaman dan era globalisasi. Atau ikut selera hawa nafsu. Adalah satu pemikiran yang jauh terpesong daripada kebenaran dan fitrah manusia yang cintakan kebenaran. Dan jauh daripada ajaran agama dan juga pemikiran Islami.

Seandainya agama mengikut selera hawa nafsu dan keinginan manusia yang serakah itu atas namanya ikut perubahan zaman, zaman kemajuan, moden atau globalisasi itu, makan akan hancurlah segala tamadun dan nilai-nilai kemanusiaan itu. Manusia akan jatuh taraf lebih rendah dari taraf haiwan. Mari kita singkap jendela sejarah umat manusia yang terdahulu seperti kaum Nabi Luth a.s yang dimusnahkan Allah kerana menuruti kehendak nafsu kebinatangan mereka. Kaum Tsamud yang terkenal dengan kehebatan tamadun binaan mereka, namun akhirnya dibinasakan kerana mereka menjadi umat yang lupa daratan disebabkan runtunan hawa nafsu mereka, kaum Nabi Nuh a.s hancur musnah dengan banjir besar, Fir'aun dan kaumnya tenggelam dalam lautan, Qarun yang terkenal dengan kekayaannya terbenam ke dalam bumi bersama-sama dengan harta kekayaannya dan begitulah kerajaan atau pemerintahan Babylon, Rome, Parsi dan lain-lainnya jatuh satu demi satu kerana menuruti nafsu kuasa yang jauh dari pancaran hidayah Allah dan jauh dari agama.

Sebaliknya mereka (pendokong budaya kenafsuan) itu berusaha menganjurkan pelbagai pesta atas nama 'laberalisasi dan globalisasi' yang berorentasikan hawa nafsu, hiburan yang melalaikan rakyat, umat Islam dan diri mereka sendiri dengan rupa bentuk kehidupan yang jauh dari erti moral, akhlak mulia, kemanusiaan dan juga jauh dari ajaran agama. Golongan seperti itu, adalah kelompok manusia sesat dan menyesatkan. Mereka bertuhankan hawa nafsu, mereka menjadi hamba abdi kepada hawa nafsunya dan mereka tidak akan membawa sebarang kebaikan kepada umat Islam dan masyarakat seluruhnya, melainkan kebinasaan, kehancuran serta kemusnahan yang akan menimpa diri mereka dan umat yang bersekongkol dengan mereka. Ini yang diperingatkan Allah dalam al-Qur'an, surah al-Mukminuun ayat yang ke 71, yang bermaksud:"Andaikata kebenaran (hak) itu menuruti hawa nafsu mereka, pasti binasa (musnah hancur)lah langit dan bumi bersama segala penghuninya."

Dengan itu, Islam tidak wajar mengikut akal dan nafsu manusia. Tetapi yang sepatutnya akal dan nafsu manusia wajib taat patuh dan mengikut ajaran Islam. Islam adalah agama Tuhan dan ajaran yang diperturunkan Allah kepada manusia melalui perantaraan rasul yang terpilih. Malahan para rasul yang dipilih Allah itu sendiri tidak menyebarkan Islam ini mengikut kemahuan hawa nafsu dan akal mereka sendiri, tetapi dengan wahyu yang diwahyukan oleh Allah Ta'ala kepada diri mereka, sebagaimana yang disebutkan oleh Allah dalam al-Qur'an, surah an-Najm, ayat 3-4, yang bermaksud:"Dan dia (Nabi Muhammad SAW) tidak berkata (sesuatu yang berkaitan Islam) menurut kemahuan hawa nafsunya (atau pendapatnya sendiri). Segala yang diperkatakannya (dituturkan dan disampaikannya) tidak lain hanyalah wahyu (dari sisi Allah) yang diwahyukan kepadanya".

Akhirnya, umat Islam hendaklah beristiqamah dalam menegak kebenaran Islam, istiqamah berpaut pada al-Qur'an dan Sunnah Rasulullah SAW. Inilah yang pernah diingatkan oleh Nabi SAW dalam sabdanya yang bermaksud:"Aku (kata Rasulullah SAW) telah tinggalkan pada kamu dua perkara. Sekali-kali kamu tidak akan sesat (tidak juga menyesatkan orang lain) selama kamu (tetap) berpegang kuat pada keduanya, (iaitu): Kitabullah (al-Qur'an) dan Sunnahku". (HR Imam Malik dan Muslim).

Catatan: Pendakwah Anak Sabah (P.A.S),
Kota Kinabalu,
(30.9.2001M).






        
Ke atas    Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 2 Oktober 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://clik.to/tranung dan Email : tranung2000@yahoo.com