Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


Titik mula laksana syariah sepenuhnya

KUALA TERENGGANU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN Kerajaan) Bukit Besi, Haji Roslan Ismail menyifatkan pembentangan Pelbagai Rang Undang-Undang berkait dengan Syariah sebagai titik permulaan yang baik untuk mengorak langkah ke arah pelaksanaan syariat sepenuhnya di negeri ini.

Katanya, Barisan Alternatif (BA) diberi kuasa untuk membuat perubahan bagi tujuan tersebut di negeri ini sekaligus memandang ia sebagai titik permulaan yang baik untuk mengembangkan agama Islam di negara ini. "Ia juga relevan untuk negeri Terengganu," katanya ketika berucap menyokong cadangan Rang Enakmen Kesalahan Syariah (Takzir) 2001 di Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini baru-baru ini.

Haji Roslan mengharapkan enakmen-enakmen yang dibentang di DUN itu menjadi rujukan kepada masyakarat bukan Islam bukan sahaja orang-orang Islam. "Semua ini adalah untuk keselesaan orang bukan Islam bukan untuk menjatuh atau menghina mereka. "Jurteru alangkah buruknya perangai orang yang memandang hina undang-undang (enakmen itu) yang mendakwa bahawa ia sama dengan undang-undang yang lain di Malaysia," jelasnya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN Pembangkang) Ajil. Encik Rosol Wahid menyifatkan bahawa pembentangan pelbagai enakmen syariah menjurus ke arah pelaksanaan syariat Islam di negeri ini.Beliau mengucapkan tahniah kepada Kerajaan Negeri kerana melihat pembentangan enam rang enakmen syariat itu memperlihatkan negeri mencorak ke arah memartabatkan agama Islam di dunia ini. Bagaimanapun pelaksanaan syariah perlu diselaraskan dengan pendidikan.

"Pelaksanaan undang-undang tanpa diselaraskan dengan pendidikan, percayalah matlamat untuk mendidik menjadi umat terbaik di muka bumi ini tidak akan tercapai," katanya ketika turut membahas rang undang-undang berkenaan di dewan yang sama.

Empat wakil pembangkang turut menyokong beberapa enakmen yang dibentangkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pelaksanaan Syariah Negeri, Haji Harun Taib dan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Alam Sekitar Negeri, Haji Wan Abdul Muttalib Embong.

ADUN pembangkang itu ialah ADUN Seberang Takir, Dato’ Abdul Rashid Ngah, ADUN Kemasik Dato’ Mohamad @ Abu Bakar Ali, ADUN Telemong Tengku Putera Tengku Awang dan Encik Rosol sendiri. ADUN Ajil seterusnya berkata, pihak pembangkang tidak ragu-ragu menyokong mana-mana rang undang-undang yang dirasakan untuk memartabatkan agama Islam yang dicintai.

Rang Enakmen yang dibentangkan itu ialah Enakmen Pentadbiran Hal Ehwal Agama Islam (Terengganu) 1422H/2001M, Enakmen Mahkamah Syariah (Terengganu) 2001, Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Terengganu) 2001, Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Terengganu) 2001, Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah (Terengganu) 2001 dan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001.






        
Ke atas    Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 3 Oktober 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://clik.to/tranung dan Email : tranung2000@yahoo.com