Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


Roboh patung termasuk soal aqidah

KUALA TERENGGANU: Membina dan merobohkan patung termasuk dalam masalah aqidah, kata Menteri Besar Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang. Bagaimanapun Islam mengizinkan orang bukan Islam mendirikan patung untuk ibadat mengikut agama mereka dan orang Islam tidak boleh mengganggu cara dan rumah ibadat berkenaan.

Namun katanya, terdapat penulis-penulis yang bernama Islam sendiri yang mengejek perobohan patung penyu di Bulatan Ladang di sini tidak lama dulu. Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini baru-baru ini.

Katanya, apabila Kerajaan membuang patung penyu di bulatan Ladang di sini, ada penulis-penulis dan mereka yang membuat kenyataan meremehtemehkan perkara itu. "Kita perlu menyedari bahawa perkara ini termasuk dalam perkara yang dinaskan dalam al-Quran," jelasnya. Beliau pernah mengemukakan soalan di dalam DUN sejak berbelas-belas tahun yang lalu untuk mendapat fatwa mufti.

"Bagaimanapun setiap kali ia dikemukakan, soalan itu ditolak," jelasnya. Katanya, apabila langkah diambil untuk berbuat demikian tiba-tiba orang Islam sendiri yang mempertikaikan hukum Allah. "Kita mengharapkan perkara ini berlaku kerana kejahilan," jelasnya lagi. Menurutnya apa yang diroboh itu bukan rumah ibadat orang Islam kerana Kerajaan dan mana-mana pihak sekalipun tidak boleh menganggu rumah ibadat dan cara ibadat orang bukan Islam. "Itu adalah hak mereka," tegasnya.






        
Ke atas    Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 3 Oktober 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://clik.to/tranung dan Email : tranung2000@yahoo.com