Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite AMERIKA,
BRITAIN & YAHUDI
'SYAITAN DUNIA'!

UMNO PEROMPAK WANG RAKYAT !


Jangan mangsakan Islam dengan serangan WTC

Oleh SUBKY ABDUL LATIF

UMAT Islam Amerika sempat seminggu bergembira atas apa yang dapat mereka buat dan persetujui dalam dua konvensyen berasingan di Chicago awal September lalu. Antaranya mereka dapat mengumpulkan tidak kurang dari 50 ribu umat Islam dari seluruh Amerika bertemu, berbincang, menjalin persetujuan untuk membesarkan agama Allah di bumi sebelah barat lautan Atlantik itu.

Puluhan ribu keturunan Afrika, Arab, Pakistan dan lain-lain yang menjadi, rakyat Amerika yang berdaulat itu dapat membawa sekurang-kurang dua pemimpin Islam terkemuka dari luar Amerika iaitu Dato’ Seri Abdul Hadi Awang, Menteri Besar Terengganu dan Prof. Nacmettin Erbakan, bekas Perdana Menteri Turki dari Gerakan Islam.

Mereka baru meluluskan satu konsep menjadikan Chicago sebagai Madinah Amerika atau serambi Madinah. Banyak saranan dicapai betapa dalam dunia yang aman dan damai, dalam demokrasi yang berkembang itu, Islam boleh dimartabatkan di Amerika, nescaya umat Islam Amerika boleh mara memimpin umat Islam di dunia. Tidak semestinya Islam itu dipimpin oleh Arab dan keturunan Quraish saja. Apabila sesuatu kaum itu tidak bermaya mendaulatkan Islam, maka Allah akan gantikan dengan satu kaum yang lebih baik.

Islam pernah dipimpin oleh Arab. Kemudian ia dipimpin oleh Qurdis dan akhirnya sejarah mencatitkan dunia Islam dipimpin oleh Turki. Dalam kebangkitan semula Islam di alaf baru, dalam kurun hijrah baru yang ke 15 ketika Arab dan Turki tidak memperlihatkan wibawanya, maka harapannya ialah Amerika mesti diIslamkan. Seorang sahabat, ‘Utbah bin Nafi’ selepas berjaya menyebarkan Islam hingga ke pantai barat Afrika, sambil memandang samudera Atlantik yang terbentang saujana jauh berkata, "Kiranya aku tahu di seberang laut Atlantik yang tidak bertepi itu ada manusia, nescaya akan aku seberangi supaya Islam dapat disebarkan di sana."

Pantai di barat Atlantik itu ialah Amerika. Kini tidak kurang dari lapan juta warga Amerika adalah Islam. Niat ‘Utbah terlaksana. Dalam suasana seminggu umat Islam bergembira merancang masa depannya di bumi bebas dan demokrasi yang terbentang itu, tiba-tiba mereka dirundung malang. Kapal terbang tak bermata dipandu merempuh Pusat Dagagan Dunia (WTC), New York dan kubu pertahanan Amerika, Pentagon, hingga hangus dan ranap ke bumi jadi abu dan debu.

Amerika bagaikan qiamat dan segera tersebar kebencian setiap lapisan terhadap Islam kerana pemimpin-pemimpin dan medianya tidak berkira lagi menyalahkan Islam sebagai dalang rempuhan komikazi, berani mati itu. Raja teknologi canggih segera mendedahkan betapa beberapa penumpang keturunan timur tengah beragama Islam merampas beberapa kapalterbang dan menukar pengangkutan awam menjadi peluru merempuh menara kembar Pusat Dagangan Dunia. Dunia telah sepakat mensabitkan setiap perampas kapalterbang adalah pengganas.

Kerana perbuatan itu dianggap adalah kerja pengganas dan kebetulan perampas-perampas itu beragama Islam, maka bagi yang marah dan cetek fikiran segera menerima saja tohmah bahawa Islamlah yang mengganas dan pengganas itu. Orang marah dan membalas dendam itu serta merta benci kepada siapa saja yang Islam dan berserban termasuk Sikh lalu pun mereka anggap orang Islam.

Yang dibenci dan diganasi itu adalah orang yang tidak berdosa dan tidak tahu apa-apa, sama seperti kebanyakan pekerja di menara kembar WTC. Mengganas adalah salah, tetapi bertindak balas dengan mengganas juga adalah salah. Presiden George W. Bush bergegas ke masjid meminta warga bukan Islam supaya tidak membenci dan menyerang orang Islam kerana mereka rakyat yang tidak berdosa. Beliau cuba memulihkan umat Islam yang ketakutan itu.

Tindak balas Amerika

Langkah Bush itu betul, tetapi suara Bush dua tiga kali sebelumnya yang lantang marahkan Taleban dan sesiapa saja yang simpati dengan Taleban dan Osama, dengan mengatakan mereka akan menerima padah tindakan balas Amerika. Malahan Bush minta kuasa Kongres membenarkan dia membunuh sesiapa yang disyaki sebagai pengganas tidak kira mereka di mana dan siapa. Jika Bush sebagai pemimpin berotak begitu, maka bagaimana rakyat Amerika boleh diredakan, sedang antara mereka adalah keluarga mangsa.

Tindakan Amerika itu setakat ini terpaksa mengeluarkan peruntukan yang besar pula untuk menjaga keselamatan warga Islam yang ketakutan di seluruh Amerika malah di negara-negara Eropah yang ikut marah. Seminggu sebelumnya wanita Islam bebas bertudung ke mana-mana. Mereka boleh solat di tepi perhentian keretapi. Anak-anak mereka selamat ke sekolah pergi balik. Mereka boleh mengadakan perhimpunan besar-besaran. Antara mereka ramai yang pintar. Menjadi pekerja yang dipercayai. Ada masa depan.

Tiba-tiba orang yang membolos kepalterbang dapat mengambil alih kemudi, lalu merempuh kubu ekonomi dan markaz pertahanan Amerika, maka kebebasan yang baru diperolehi itu dirundung jerebu. Sampai bila? Tidak mungkinkah ada pihak ketiga merencanakan malapetaka itu supaya pembebasan Amerika itu terhalang. Islam tidak menakluk Makkah dan ia tidak menakluk Konstantinopel. Islam membebaskan Makkah dan membebaskan Konstantinopel yang kemudiannya dikenali dengan Istanbul.

Ada orang yang tidak dapat menyesuaikan diri dengan pembebasan Makkah lalu terpinggir. Dan kalau Amerika pula dibebaskan, maka bagaimana? Tidak mungkinkah kejayaan konvensyen berasingan di Chicago di sekat sebelum Chicago menjadi Madinah baru? Dunia selalu berteori bahawa kejatuhan Sukarno adalah angkara CIA. Perang saudara di Algeria ada satu lagi permainan Amerika, maka apakah kemaraan Islam di Amerika itu tidak disekat oleh pihak tertentu? Hitler pernah merancang membakar Parlimen Jerman. Ketika dia berada di parlimen itu, parlimennya terbakar. Serta merta Hitler dan Nazi menuduh ia adalah angkara komunis. Lalu habis komunis Jerman dibunuh dan diburu.

Kejadian itu memberi laluan mudah baginya untuk menjadi diktator dan cuba menakluk Eropah dengan peperangan dan pembunuhan. Program penyebaran Islam di Amerika mendapat perhatian. Islam didapati menenangkan orang-orang penjara. Jenayah menjadi-jadi. Penjara tidak memulihkan mereka. Mereka dipenjara lagi setelah bebas. Kini kauseling Islam diperlukan oleh penjara.

Pemabuk didakwah berhenti menonggang arak. Pencabur kehormatan diinsafkan. Demikianlah perompak dan pengganas. Cara yang berkesan ini ialah mereka diperkenalkan dengan Islam dan ramai yang memeluk Islam. Jika tentera, pegawai awam, pekerja dan peladang, berkulit hitam dan berkulit putih berhenti minum arak, meninggalkan judi dan zina, berubah sikap, ditakdirkan diperkenalkan Islam, maka tidak mustahil revolusi Islam itu ranum di Amerika.

Sebelum semua orang miskin dan merempat maju bersama Islam, maka Islam mesti dicemburui pada ketika mereka baru berputik. Jelaslah rempuhan WTC itu satu ujian dan cabaran kepada umat Islam. Jalan Islam tidak pernah senang. Bilal bin Rabah dari Afrika diuji jauh lebih derita dibandingkan dengan yang dialami oleh umat Islam Amerika sekarang. Nabi dan sahabat-sahabatnya diuji dulu, maka di mana-mana juga kini umat Islam diuji. Jika Islam di zaman awalnya berjaya membebaskan Parsi, satu dari dua kuasa besar dunia ketika itu, maka bukan mustahil satu kuasa besar dunia dibebaskan pula dengan Islam dalam waktu yang dekat ini sesuai dengan pandangan bahawa abad baru hijrah adalah pusingan Islam.

Abad hijrah ke 15 belumpun sampai suku lagi, tetapi Islam sudahpun mula bangkit di Eropah, Russia dan Amerika. Jika ancaman perang akibat serangan ke atas WTC dapat dihindarkan, dunia kembali bersatu dengan soal keganasan ditangani secara baik melalui semua agen Bangsa-Bangsa Bersatu, maka dunia akan dapat menikmati faedah dan keberkatan Islam. Tetapi Bush janganlah sekadar sekali melawat masjid. Jangan ke masjid untuk menghalalkan serangannya ke atas Afghanistan, tetapi ke masjid untuk berkenalan dengan orang masjid. Dia akan tahu hati orang masjid adalah ikhlas.

.......................................................
Warta Darul Iman






        
Ke atas    Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 28 Oktober 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://clik.to/tranung dan Email : tranung2000@yahoo.com