Bayi kesejukan

Oleh Efindi Badarudin efindi

KOTA TINGGI: Seorang bayi perempuan dipercayai baru dilahirkan ditinggalkan dalam kesejukan awal pagi semalam, di anjung sebuah rumah di Kampung Tembioh, di sini.

Bayi perempuan itu ditemui seorang penghuni rumah berkenaan selepas mendengar tangisannya kira-kira jam 2.30 pagi.

Penghuni rumah itu yang terjaga daripada tidur mendapati seorang bayi perempuan dalam kesejukan berada di anjung rumahnya.

Dia kemudian meminta bantuan jiran sebelum membawa bayi berkenaan ke balai polis berdekatan.

Bayi perempuan itu dipercayai ditinggalkan ibu bapanya pada awal pagi ketika penduduk kampung sedang nyenyak tidur bagi mengelak tindakan mereka diketahui.

Ketua Polis Kota Tinggi, Superintendan Ismail Md Noor, berkata bayi cukup sifat itu tidak mengalami sebarang kecederaan ketika ditemui penduduk kampung terbabit.

Menurutnya, bayi perempuan itu dibawa ke balai polis berhampiran kira-kira jam 5.30 pagi oleh beberapa penduduk.

Penduduk kampung terus melaporkan kepada polis kerana bimbang sesuatu perkara buruk berlaku,” katanya, semalam.

Beliau berkata, bayi itu kini ditempatkan di Hospital Daerah Kota Tinggi dan dalam keadaan sihat.

Ismail berkata, polis sedang menjalankan siasatan berhubung penemuan bayi berkenaan dan sedang berusaha mengesan ibu bapanya.

“Kita sedang berusaha mengesan mereka yang bertanggungjawab meninggalkan bayi berkenaan di kampung terbabit,” katanya.

Sehubungan itu, polis meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai bayi itu atau mengetahui pihak bertanggungjawab meninggalkan bayi berkenaan supaya seegra menghubungi polis.



................................
27 Januari 2002




:: Arkib Ada-ada Aje ::