Gara-gara tak mahu bersolat di masjidnya

KOTA BHARU: Seorang imam yang marah kerana keengganan seorang lelaki menunaikan solat di masjid tempatnya menjadi imam berakhir dengan tragedi apabila dia dipercayai menetak seorang jemaah berhampiran sebuah masjid di Kubang Kerian.

Imam berusia 64 tahun itu dikatakan menetak jemaah terbabit dengan parang kerana tidak berpuas hati tindakan lelaki berkenaan yang tidak mahu menunaikan solat di masjid berkenaan.

Kejadian terjadi pada jam 6.30 pagi, mangsa berusia 57 tahun luka parah di tangan kiri dan dahi dikejarkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kampus Kesihatan, Kubang Kerian, untuk menerima rawatan kecemasan.

Difahamkan, sebelum kejadian itu mangsa dikatakan ingin menunaikan solat Subuh dan melintasi satu masjid dengan menunggang motosikal.

Apabila sampai berhampiran masjid berkenaan, motosikal yang ditungganginya dikatakan dihalang imam terbabit.

Mangsa tidak mengesyaki apa-apa terus berhenti dan cuba bertanya kepada imam terbabit mengapa dia menghalang perjalanannya.

Bagaimanapun, beliau berkata, imam terbabit dipercayai mengangkat tangannya lalu cuba menetak mangsa yang masih berada di atas motosikal.

Katanya lagi, mangsa terkejut dan tidak menyangka tindakan imam terbabit cuba mengelak tetapi terkena tapak tangan kiri sehingga menyebabkannya luka parah.

“Dalam keadaan kelam kabut, isteri imam itu berusia 42 tahun dikatakan meluru ke tempat kejadian dan memukul mangsa dengan sebatang besi,” katanya ketika dihubungi di pejabatnya di sini, semalam.

Mohd Ali berkata, kejadian itu berakhir apabila jemaah masjid berkenaan campur tangan, sekali gus membuat laporan di Balai Polis Kubang Kerian.

Beliau berkata, polis kemudian bergegas ke rumah imam berkenaan dan menjumpai kain, jubah mengandungi kesan darah selain sebatang besi yang disyaki digunakan menetak mangsa dalam bilik air.

Katanya, berikutan itu sepasukan polis menahan imam berkenaan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPPD), Kota Bharu bagi membantu menyelesaikan kes itu segera.

“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana sengaja menyebabkan cedera dengan menggunakan senjata atau lain-lain benda yang merbahaya.

“Jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara tiga tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada seksaan-seksaan itu.



................................
30 Januari 2002




:: Arkib Ada-ada Aje ::