Disko rimba di pusat pancing

KUANTAN: Sebuah pusat memancing ikan air tawar di Kampung Alor Beriang, dekat Jalan Kuantan-Pekan, bertukar menjadi pusat hiburan dikenali sebagai `disko rimba.'

Disko berkenaan yang terletak di kawasan perkampungan Orang Asli dikatakan menjadi sarang remaja bersuka ria, termasuk meminum arak dan mengambil pil estacy, terutama setiap hujung minggu.

Pada 15 Februari baru-baru ini, 84 pengunjung, termasuk 18 wanita ditahan selepas pusat hiburan terbabit diserbu sepasukan polis.

Pusat hiburan itu dikatakan menjadi tempat memancing ikan pada waktu siang dan namun manjelang malam pengusaha terbabit menyediakan minuman keras serta muzik rancak yang seakan-akan sama di pusat hiburan di bandar ini.

Ketua Bahagaian Narkotik Ibu Pejabat Polis daerah (IPD) Kuantan, Asisten Superintendan (ASP) R.Sundralingam, berkata serbuan itu dijalankan oleh 15 anggota, termasuk dua pegawai dari cawangan jenayah dan narkotik.

“Mereka yang ditahan dalam serbuan kira-kira jam 4.30 pagi itu kemudian dibawa ke IPD untuk menjalankan ujian air kencing kerana dipercayai terbabit dalam penyalahgunaan dadah,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Katanya, daripada 67 lelaki yang ditahan, 24 daripada mereka didapati positif dadah manakala daripada 18 wanita, tujuh daripadanya juga positif dadah.

“Mereka berusia diantara 18 hingga 38 tahun itu dikatakan beralih ke pusat hiburan berkenaan apabila beberapa pusat hiburan di bandar ini ditutup,” katanya.

Menurutnya, kebanyakan daripada mereka menggunakan dadah yang dipercayai menggunakan dadah jenis ganja dan ecstasy.

Katanya, semua terbabit kini ditahan mengikut Seksyen 15A Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 3 (1) Akta Penagihan Dadah Rawatan dan Pemulihan pindaan 1998 untuk siasatan lanjut.

Sementara itu, menurut sumber, pusat berkenaan pernah diserbu pada tahun lalu namun kembali beroperasi selepas mendapat sambutan orang ramai.

Seorang remaja Orang Asli yang mahu dikenali sebagai Kamal Mohamad, 19, berkata pusat hiburan itu sering padat setiap malam pada hujung minggu.

“Bunyi yang kuat daripada muzik yang dimainkan boleh didengar dari rumah saya yang terletak kira-kira 800 meter dari situ hingga ke awal pagi,” katanya yang ditemui di rumahnya, semalam.

Menurutnya, keadaan itu boleh mengganggu ketenteraman masyarakat setempat terutama penduduk yang mempunyai anak yang masih kecil atau bayi.

Katanya, keadaan itu juga mencemarkan imej kampung berkenaan yang selama ini tenteram serta damai.

Kamal berkata, kelakuan pengunjung yang tidak menjaga kesopanan, termasuk memakai pakaian yang menjolok mata boleh memberikan kesan negatif dan kejutan budaya kepada corak kehidupan masyarakat Orang Asli di kampungnya.

“Kami minta kerajaan lebih kerap manjalankan rondaan serta kalau perlu membatalkan lesen kepada pengusaha pusat memancing ikan air tawar itu demi kebaikan masyarakat kampung kami yang sibuk meningkatkan taraf hidup,” katanya.

Menurutnya, dia juga kesal kampungnya mula menjadi pusat jual beli dadah kerana setiap petang banyak orang luar sering datang ke kampung itu serta melakukan aktiviti berkenaan di dalam semak.



................................
1 Mac 2002




:: Arkib Ada-ada Aje ::