Nafsu sebagai Highway Syaitan

MENDIDIK nafsu sangat sukar kerana nafsu adalah sebahagian daripada diri manusia. Ia tidak boleh dipisahkan dan dihapuskan. Tetapi ia tetap musuh di dalam diri kita kerana ia memberi laluan kepada syaitan untuk menyesatkan manusia. Oleh itu, jika kita gagal mendidik nafsu, ertinya kita gagal mendidik diri kita dan orang lain. Inilah punca kegagalan para pendidik hari ini dalam mendidik manusia. Mereka susah hati kerana anak-anak murid tidak mengikut kata.

Melawan nafsu

Soalnya, bagaimana mereka boleh membetulkan orang lain jika mereka belum mampu membetulkan diri mereka sendiri? Jika tidak berjaya mendidik diri, mereka tidak akan berjaya mendidik orang lain. Inilah punca rosaknya masyarakat, yang bermula gagalnya mendidik nafsu. Hasilnya, makin cuba didik dan makin berubah korikulum pendidikan, masyarakat makin rosak. Ini tidak seharusnya berlaku.

Oleh kerana nafsu adalah sebahagian daripada badan, maka ia sangat sulit untuk dilawan. Tetapi usaha melawan nafsu mesti dilakukan. Jika tidak, manusia akan sentiasa terdorong untuk berbuat kejahatan dan kezaliman. Allah S.W.T. telah berfirman dalam surah Yusuf ayat 53 yang bermaksud: “Sesungguhnya nafsu itu sangat mengajak kepada kejahatan”. Ini menunjukkan penekanan yang sungguh-sungguh bahawa nafsu membawa kepada kejahatan.

Nafsu adalah jalan atau highway bagi syaitan untuk merosakkan manusia. Ini diterangkan oleh Hadith Rasu­lullah s.a.w. yang ber­maksud: “Sesungguhnya syaitan itu bergerak mengikut aliran darah, maka persempitkan jalan syaitan itu melalui lapar dan dahaga (yakni puasa)”. (Riwayat Bukhari, Muslim dan Abu Daud daripada Anas). Ini menunjukkan syaitan boleh dilawan dengan melawan hawa nafsu secara bermujahadah mengurangkan makan atau berpuasa. Jika nafsu tidak terdidik, jalan syaitan merosakkan manusia adalah luas. Sedangkan syaitan juga adalah musuh ketat manusia.

Firman Allah dalam surah Al-Isra’ ayat 53 yang bermaksud: “Sesungguhnya syaitan itu bagi manusia adalah musuh yang amat nyata”. Syaitan mendapat lorong (peluang) yang amat luas untuk merosakkan manusia jika nafsu tidak terdidik. Untuk mengalahkan syaitan mesti dengan mendidik hawa nafsu. Jika nafsu terdidik, jalan syaitan akan terputus. Cara menjampi mempergunakan ayat Al-Quran seperti ayat Kursi, Surah An-Nas dan lain-lain hanya boleh digunakan jika syaitan merosakkan atau mengganggu jasad lahir manusia. Memang ada nas yang membolehkannya. Tetapi jika syaitan telah merosakkan hati cara melawannya ialah dengan mendidik hawa nafsu.

Bila hati rosak, rosaklah seluruh anggota badan. Oleh kerana itu, didiklah nafsu yang ada di dalam diri kita. Perangilah nafsu nescaya se­cara automatik akan terperangilah syaitan. Jika syariat tidak difahami, kita tidak akan mengetahui sifat-sifat dan tindakan terhadap nafsu. Kita tidak akan tahu nafsu itu musuh, nafsu itu highway bagi syaitan dan kita tidak dapat menilai kehendak-kehendak nafsu sama ada yang boleh, tidak boleh, halal atau haram. Kita juga tidak akan tahu kejahatan nafsu dan sejauhmana nafsu telah dijinakkan pada peringkat-peringkatnya yang tujuh.

Mereka yang faham dan cuba mendidik nafsu akan dapat mengagak dan dapat merasa, sudah sampai ke tahap mana nafsu mereka ditingkatkan. Apakah masih di tahap nafsu ammarah atau lawwamah, atau sudah meningkat ke tahap nafsu mulhamah, mutmainnah, mardhiah, radhiah atau kamilah? Tegasnya, jika syariat tidak difahami, syarat-syarat yang lain tidak akan bererti apa-apa.

Menderma

Untuk menahan nafsu bukan mudah. Ia akan sangat menyiksa jiwa. Sebab kehendak nafsu walaupun negatif, adalah juga kehendak kita (kerana nafsu sebahagian daripada kita). Bayangkan, kita ingin melawan kehendak kita. Ini tentu menyeksakan. Contohnya, mereka yang sejak kecil menghisap rokok, bukan mudah hendak dibuang tabiat itu kerana ia sudah berdarah daging dan ketagih. Bila kita suluh dengan ilmu, ada kehendak-kehendak nafsu yang positif pada diri kita, maka hendaklah kita dorong dan perlajukan lagi (tambah ‘horse-power’nya) supaya kita dapat membuat kebaikan yang banyak.

Dorong nafsu

Dalam usaha menahan ke­hendak nafsu yang negatif dan mendorong kehendak nafsu yang positif, kita akan terasa kesusahannya. Inilah yang dinamakan mujahadah. Mujahadah hawa nafsu hendaklah dibuat secara istiqomah. Kita perlukan kesungguhan dan dorongan daripada fikiran dan seluruh tenaga lahir untuk mujahadah. Ertinya, perlu dikerahkan seluruh tentera dalam diri untuk maksud itu. Ia tidak boleh dibuat secara bermusim, kadang-kadang terikut kehendak nafsu yang negatif atau tidak lagi terdorong untuk laksanakan yang positif.

Istiqamah sangat sukar kerana bila nafsu didorong kepada perkara-perkara positif, ada sesuatu yang terpaksa dikorbankan. Ini bukan mudah. Misalnya, bukan mudah untuk menderma kerana akan ada keinginan kita pada satu-satu perkara yang terpaksa kita korbankan dengan menderma itu. Tetapi kita mesti terus bermujahadah, biar konsisten atau menjadi rutin. Tujuan kita beristiqomah ialah agar kebaikan yang dibuat dan kejahatan yang ditinggalkan menjadi tabiat. Bila dikatakan tabiat, ertinya ia sudah mesra betul dengan peribadi kita. Sudah tidak berat lagi. Misalnya terhadap kehendak nafsu yang negatif, spontan sahaja ditinggalkan.

Begitu juga bagi yang positif, terluncur sahaja dibuat, tanpa difikirkan dan tanpa perlu mujahadah lagi. Sepintas lalu, jika sudah memahami syariat, apa perlunya guru lagi. Bukankah semuanya sudah difahami? Tetapi perlu diingat, dalam ajaran Islam ada perkara-per­kara seni, halus yang bukan berbentuk lahiriah. Per- kara-perkara ini tidak boleh dilihat dengan mata biasa. Pada keadaan itulah guru sangat diperlukan. Misalnya, bila kita dorong nafsu pada perkara-perkara yang positif, katalah menderma, maka kita akan menderma berhabis-habisan kerana iaitulah yang digalakkan oleh syariat. Namun jika tidak diberi tunjuk ajar, kita mungkin akan berkorban hingga tidak ada satu pun yang tinggal pada keluarga sendiri.

Pada ketika inilah perlu ada guru yang memberi tunjuk ajar, panduan dan pimpinan. Kita perlu kerahkan seluruh tenaga dalam diri (lahir dan batin) untuk mendorong kehendak nafsu yang positif dan menahan kehendak nafsu yang negatif. Itulah yang dikatakan mujahadah melawan hawa nafsu. Dan ini memerlukan pendidikan dan latihan (tarbiyyah dan tamrin).

Bersabar

Misalnya, untuk mendapatkan sifat berani, perlulah dilatih. Begitu juga sifat sabar. Seseorang yang hanya duduk di rumah, tidak bergaul dengan masyarakat, diberi ilmu dan nas tentang sabar tetapi tidak didedahkan kepada realiti kehidupan, ertinya ia tidak dilatih untuk sabar. Kerana bila bergaul dengan masyarakat, barulah dia berdepan dengan cabaran. Dalam masyarakat, ada orang hasad dengki, pemarah dan lain-lain sifat yang mencabar kesabarannya. Bila ada cabaran, barulah ada tindakan.

Pakar-pakar pendidikan kita perlu memikirkan cara untuk mendedahkan murid-murid pada suasana masyarakat sebagai satu latihan yang amat berkesan bagi mendidik nafsu. Misalnya, bila berdepan dengan hal-hal yang negatif. Mereka boleh berlatih bersabar. Sebaliknya, bila berdepan perkara-perkara yang baik, mereka akan cuba untuk mencontohinya.

Latihan ‘terjun’ ke tengah masyarakat juga penting supaya murid-murid tahan diuji. Bila berdepan dengan godaan, mereka tidak mudah ‘hanyut’. Ibarat kita membekalkan tentera dengan senjata dan dilatih mereka menggunakannya. Bila terjadi peperangan sebenar, mereka tidak akan mudah tewas. Justeru itu mesti ada latihan ‘berperang’ dengan hawa nafsu. Latihan-latihan kerja sambil membuat khidmat masyarakat seperti membasuh kolah masjid, membersihkan kubur dan lain-lain, perlu diterapkan pada murid-murid sejak di sekolah rendah lagi.

Kanak-kanak tidak boleh dimanjakan hingga tidak boleh dijentik telinganya. Sebab itu perlunya latihan-latihan begitu dengan tujuan mendidik. Jika cara ini ditempoh dengan sebaik-baiknya, barulah nafsu terdidik, insyaAllah. Bila nafsu terdidik ertinya separuh daripada diri telah terdidik kerana nafsu itu dikira sebahagian daripada diri.

Tranung Kite Cyberlink