UKHUWWAH ISLAMIYYAH

MUKADDIMAH

SESUNGGUHNYA Ukhuwwah Islamiyyah atau persaudaraan Islam merupakan manifestasi daripada AQIDAH dan keimanan sebenar seseorang Muslim. Al-Syahid Hassan Al-Banna telah menyifatkan, "Ukhuwwah ialah ikatan hati dan jiwa yang diasaskan oleh AQIDAH. Dimana AQIDAH merupakan ikatan yang paling kukuh dan bernilai. Ia juga merupakan natijah keimanan, manakala perpecahan adalah sebahagian dari kekufuran."

Setiap muslim perlulah memahami bahawa perpaduan dan kesatuan merupakan suatu kekuatan. Kesatuan tidak akan lahir tanpa kasih sayang. Darjah kasih sayang yang paling rendah ialah seseorang itu merasa senang dan tenteram terhadap saudaranya. Manakala darjat yang paling tinggi ialah seseorang itu mampu mengutamakan saudaranya melebihi dirinya . Sifat ini juga disebut "Ithar".

PENGERTIAN UKHUWWAH

Ukhuwwah Islamiyyah (persaudaraan Islam) merupakan anugerah suci dari Allah SWT. Ia juga sebagai suluhan Rabbaniah dan nikmat Illahiyyah.

Ukhuwwah merupakan kurniaan Allah yang diberikan kepada hamba-hambanya yang ikhlas, penolongnya dan orang-orang yang membersihkan jiwa mereka untuk Allah. Firman Allah yang bermaksud:

"Dialah yang memperkuatkan kamu dengan pertolonganNya dan dengan para mukmin dan menyatukan hati-hati mereka. Sekiranya kamu belanjakan semua (kekayaan) yang ada di bumi, nescaya kamu tidak dapat manyatukan hati-hati mereka, akan tetapi Allah telah menyatukannya. Sesungguhnya Dia Maha perkasa lagi Maha Bijaksana."
(Surah Al-Anfal: 62-63)

Ukhuwwah merupakan kekuatan iman seseorang. Ia melahirkan perasaan lemah lembut, kasih sayang, hormat menghormati serta saling percaya mempercayai dikalangan setiap mereka yang bertanggungjawab melaksanakan tuntutan AQIDAH.

Ukhuwwah juga merupakan sifat yang berkait rapat dengan iman dan taqwa.Tiada ukhuwwah tanpa iman dan tidak sempurna iman tanpa Ukhuwwah. Begitu juga tidak ada persahabatan tanpa taqwa dan tiada taqwa tanpa persahabatan. Adapun tiada Ukhuwwah tanpa iman dijelaskan oleh Allah SWT dalam firmanNya:

"Sesungguhnya orang-orang mukmin itu bersaudara."
(Surah al-Hujurat: 10)

Dalam ayat yang lain Allah SWT menjelaskan bahawa tiada persahabatan tanpa taqwa. Maksudnya: "Teman-teman rapat pada hari itu sebahagiannya menjadi musuh bagi sebahagian yang lain kecuali orang-orang yang bertaqwa."
(Al-Zukhruf:67).

KELEBIHAN UKHUWWAH

Bagi mereka yang menghayati konsep Ukhuwwah Islamiyyah didalam kehidupan, mempunyai kelebihan-kelebihan tertentu. Hal ini dapat dilihat melalui hadith-hadith Rasulullah s.a.w.

Wajah mereka bercahaya:
Abu Daud meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: Segolongan di antara hamba-hamba Allah yang mereka bukanlah nabi, bukan para shuhada. Sehinggakan para nabi dan para shuhada merasa iri hati terhadap ketinggian kedudukan mereka di sisi Allah pada hari qiamat kelak.

Para sahabat berkata." Beritahulah kami wahai Rasulullah siapakah mereka?" Baginda menjawab, "Mereka ialah orang yang saling mengasihi kerana Allah, bukan kerana hubungan keluarga, bukan kerana harta yang boleh diunjuk ambil. Demi Allah sesungguhnya muka-muka mereka seperti nur dan sesungguhnya mereka mengatasi nur, mereka tidak takut apa manusia yang manusia lain takut dan mereka tidak bersedih terhadap apa yang manusia sedih."

Mendapat perlindungan Arasy Allah pada hari qiamat:
Muslim meriwayatkan sabdaan Rasulullah s.a.w. bermaksud; "Sesungguhnya Allah Taala akan berkata pada hari qiamat kelak:" Dimana orang-orang yang saling berkasih sayang demi kerana kebesaranKu, hari ini Aku lindungi mereka dibawah lindunganKu, tiada ada lindungan selain dari lindunganKu."

Merasai kemanisan iman:
Didalam hadith yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim Rasulullah s.a.w. bersabda; "Tiga macam orang yang mendapat kemanisan iman, iaitu orang yang mengasihi Allah dan RasulNya melebihi rasa kasihnya kepada yang lain, yang mengasihi seseorang semata-mata kerana Allah dan yang membenci kepada kekufuran setelah ia diselamatkan dari kekufuran sama seperti dia benci untuk melompat ke dalam api."

Mereka dilimpahi kasih Allah:
Imam Malik meriwayatkan Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud; "Allah berfirman: "Telah aku wajibkan kasihKu kepada (setiap) dua orang yang saling berkasih sayang keranaKu, yang saling ziarah menziarahi keranaKu dan saling beri memberi keranaKu."

SYARAT UKHUWWAH PADA JALAN ALLAH

Di antara syarat-syarat ukhuwwah yang seharusnya dipenuhi oleh setiap muslim yang menghayati konsep ukhuwwah sebenar ialah seperti berikut;

Ikhlas kerana Allah;
Ukhuwwah yang sebenar tidak akan lahir sekiranya hubungan yang terjalin di antara mereka di atas dasar dan matlamat selain daripada Allah SWT. Oleh itu, bagi setiap pendakwah perlulah memastikan hubungan mereka di antara sahabat-sahabat sefikrah dan sewadah mestilah kerana Allah dan bukanlah kerana kepentingan yang lain dariNya.

Apabila keadaan ini berlaku, maka akan lahirlah keberkatan dalam bersaudara seterusnya membuahkan kemanisan berukhuwwah. Justeru, ia melahirkan kemanisan bekerja di kalangan ahli jamaah lantaran kasih sayang, tanggungjawab, keperihatinan dan bantu membantu dikalangan mereka. Sebenarnya, situasi ini merupakan elemen penting yang menjamin kelancaran dan kejayaan kerja-kerja dakwah.

Disertakan dengan keimanan dan taqwa;
Ukhuwwah Islamiyyah menuntut kepada keimanan dan ketaqwaan di antara mereka yang bersaudara. Lazimnya, jalinan ukhuwwah sebenar adalah sukar untuk dibina di kalangan individu2 lemah keimanannya dan nipis ketaqwaan.

Bertanggungjawab terhadap manhaj Islam;
Bagi mereka yang berukhuwwah pada jalan Allah hendaklah saling nasihat menasihati saudaranya kerana Allah. Saling tegur menegur dan bersikap tegas dan ikhlas dalam memperbaiki kelemahan atau kecacatan saudaranya kerana Allah. Rasulullah s.a.w. sendiri telah berbai'ah dengan para sahabat untuk mendirikan sembahyang, membayar zakat dan memberi nasihat kepada setiap muslim.

CARA2 UNTUK MENGUKUHKAN UKHUWWAH ISLAMIYYAH

Ukhuwwah Islamiyyah hanya akan lahir dan subur malalui keyakinan dan amalan. Hal ini bersesuaian dengan sifat Islam yang bersifat teori dan juga mengutamakan praktikal. Di samping keimanan, setiap muslim perlu berusaha memastikan tingkah laku serta pergaulan harian mereka akan menyuburkan semangat Ukhuwwah di kalangan mereka. Di antara tatacara yang boleh membantu dalam memperkukuhkan Ukhuwwah di kalangan kita ialah:

1. Apabila saudara mengasihi seseorang kerana Allah, maka ia hendaklah memberitahunya dia mencintainya.

2. Hendaklah melazimkan berjabat tangan apabila bertemu dengan seseorang.

3. Hidupkan program ziarah-menziarahi dari semasa ke semasa.

4. hendaklah mengucapkan tahniah kepada saudaranya pada tempat yang menusabah.

5. Lazimkan memberi hadiah dalam keadaannya yang sesuai.

6. Berikanlah keutamaan dalam menunaikan hajatnya.

7. Hendaklah memberikan hak2 Ukhuwwah kepadanya. Samada hak2 umum atau hak2 Ukhuwwah yang khusus.

KESIMPULAN

Ukhuwwah Islamiyyah yang mantap di kalangan pendokong2 perjuangan Islam merupakan kekuatan dalaman jamaah yang sukar digugat. Melaluinya akan lahirlah pejuang2 yang thabat, istiqomah dan bersedia berkorban untuk kepentingan Islam. Mereka juga ibarat mata rantai yang kukuh bagi jentera yang kecil tetapi mampu menggerakkan beban yang berat.

Sekian, wassalam



..................................................................
24 Disember 2001


=== Arkib Dakwah ===