Konsep doa dalam Islam

DOA ialah pengharapan seseorang untuk mendapatkan kebaikan daripada Allah s.w.t dengan memohon secara langsung kepada-Nya. Setiap individu ada mempunyai keperluan dan keinginan masing-masing sama ada secara positif atau negatif, kerana mereka terpaksa menghadapi pelbagai ragam hidup, yang berupa cabaran, halangan, dugaan dan lain-lain. Justeru mereka berdoa kepada Allah s.w.t memohon limpah perkenan dan rahmat-Nya supaya hajat mereka terkabul.

Kita disyariatkan berdoa untuk kebaikan diri, keluarga, sahabat, sesama Islam hatta kepada bukan Islam sekalipun supaya mereka diberi taufik dan hidayah oleh Allah s.w.t.

Allah s.w.t menyuruh setiap muslim berdoa dan memohon restu daripada-Nya. Allah s.w.t berjanji memperkenankan permohonan yang diminta oleh mereka.

Imam Ahmad meriwayatkan, daripada al-Nu'man ibn Basyir, bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda: ''Sesungguhnya doa itu adalah ibadat.''

Manakala at-Tirmizi pula meriwayatkan, daripada Salman al-Farisi bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: ''Qada' Allah tidak dapat dihapuskan melainkan dengan doa dan umur seseorang itu tidak bertambah melainkan dengan melakukan kebaikan.''

Begitu juga al-Bazzar, at-Tabrani dan al-Hakim ada meriwayatkan, daripada Aisyah bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud, ''Persediaan dan berhati-hati tidak mampu untuk mengatasi takdir Allah, manakala doa berguna untuk mengatasi apa yang ditakdir dan apa yang akan dilaksanakan, sesungguhnya ujian Allah akan diturunkan dan akan berjumpa dengan doa yang telah diminta, lalu kedua-dua saling bertarung sehingga hari Kiamat.''

Daripada hadis-hadis di atas, jelas menerangkan peranan doa dalam Islam. Ia disyariatkan supaya orang Islam melakukannya dalam kehidupan harian mereka. Kehidupan di dunia ini penuh dengan pertarungan dan pertentangan di antara kebaikan dan keburukan.

Unsur-unsur keburukan mudah mendapat sokongan dan pengikut, sementara unsur-unsur kebaikan agak sukar mendapat sokongan dan pengikut, tambahan pula ia terpaksa menghadapi pelbagai cabaran dan halangan. Oleh itu para mujahid memerlukan keyakinan diri dan pertolongan daripada Allah s.w.t., dan di sinilah letaknya kepentingan doa bagi orang Islam.

Untuk memastikan doa dimakbulkan oleh Allah, maka orang Islam hendaklah meraikan adab-adab berdoa sebagaimana digariskan oleh Islam, di antaranya:

* Waspada dan terus konsisten dengan tidak memakan yang haram. Al-Hafiz Ibn Mirdawayh meriwayatkan, daripada Ibn Abbas bahawa beliau telah membaca sepotong ayat al-Quran yang bermaksud, ''Wahai manusia, makanlah kamu apa yang terdapat di bumi yang halal lagi baik''.

Lalu Saad bin Abi Waqqas berkata, ''Wahai Rasulullah berdoalah kepada Allah supaya kau menjadi orang yang mustajab doa'', maka baginda Rasulullah s.a.w pun bersabda, ''Wahai Saad, kamu hendaklah elokkan makanan kamu, nescaya kamu menjadi orang yang mustajab doa. Demi sesungguhnya diriku berada dalam kekuasaan-Nya, sesungguhnya seseorang yang memasukkan sesuap makanan yang haram ke dalam perutnya, Allah tidak akan menerima apa-apa darinya selama 40 hari, dan sesiapa yang dibesarkan daripada harta yang haram dan riba, maka api neraka adalah lebih utama baginya.''

* Menghadap kiblat, jika boleh, kerana Rasulullah s.a.w diriwayatkan berdoa sambil menghadap kiblat.

* Mencari masa yang afdal (utama) untuk berdoa seperti Hari Arafah, bulan Ramadan, hari Jumaat, satu pertiga akhir malam, waktu sahur, ketika sujud, selepas azan dan qamat dan ketika hati sedang khusyuk.

* Mengangkat kedua belah tangan dan merapatkannya serta menyapu ke muka setelah selesai berdoa.

* Mulakan dengan memuji Allah s.w.t. dan selawat ke atas Nabi Muhammad s.a.w.

* Berdoa dengan hati yang khusyuk dan ikhlas semata-mata kerana Allah s.w.t. dengan merendahkan suara, yakni tidak terlalu kuat dan tidak terlalu perlahan.

Apa yang disenaraikan di atas adalah sebahagian daripada adab-adab yang perlu dijaga dan diambil kira supaya doa seseorang itu dimakbulkan oleh Allah s.w.t.

Namun begitu perlu juga dijelaskan di sini bahawa manhaj al-Quran dalam menjalani hidup yang penuh cabaran ini, selain daripada berdoa, hendaklah mengikut manhaj yang betul iaitu beriman, bertakwa dan beramal soleh, di samping terus beristiqamah.

Allah s.w.t. berfirman dalam surah al-Nahl, ayat 97 yang bermaksud: ''Sesiapa yang mengerjakan amal soleh, baik lelaki mahupun wanita, dalam keadaan beriman, maka sesungguhnya akan kami berikan kepadanya kehidupan yang baik dan sesungguhnya akan kami beri balasan kepada mereka dengan pahala yang lebih baik daripada apa yang mereka kerjakan.''

Begitu juga Allah s.w.t. menjelaskan jaminan kebaikan yang melimpah ruah dan tidak terkira banyaknya bagi orang yang beriman dan bertakwa kepada-Nya, antaranya dalam surah al-A'raf, ayat 96 yang bermaksud: ''Jika sekiranya penduduk negeri-negeri beriman dan bertakwa, pastilah kami akan melimpahkan kepada mereka keberkatan dari langit dan bumi, tetapi mereka mendustakan (ayat-ayat kami) itu, maka kami seksa mereka disebabkan perbuatannya''.

Selanjutnya Allah s.w.t. berfirman dalam surah al-Talaq, ayat 2 dan 3 yang bermaksud: ''Dan sesiapa yang bertakwa kepada Allah, nescaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar. Dan memberinya rezeki dari arah yang tiada disangka-sangkanya. Dan sesiapa yang bertawakal kepada Allah nescaya Allah akan mencukupkan (keperluannya). Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan (yang dikehendaki-Nya). Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu.''

Ayat-ayat ini dengan jelas menyatakan bahawa Allah s.w.t. memberi ganjaran yang besar sejak di dunia lagi kepada orang yang beriman dan bertakwa. Ganjaran-ganjaran tersebut merangkumi kehidupan yang baik dan penuh keberkatan di dunia seperti rezeki yang halal, terselamat daripada mala petaka dan kesulitan hidup, dan lain-lain lagi.

Satu perkara lagi yang perlu dijelaskan ialah keimanan boleh bertambah dan boleh berkurang, sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w.: ''Iman itu boleh bertambah dan boleh berkurang''.

Oleh itu keimanan hendaklah digandingkan dengan istiqamah. Yang dimaksudkan dengan istiqamah di sini ialah tetap teguh (konsisten) mematuhi suruhan-suruhan Allah s.w.t. sebagaimana firman Allah s.w.t. dalam surah Hud, ayat 112 yang bermaksud: ''Maka tetaplah kamu pada jalan yang benar, sebagaimana diperintahkan kepadamu...'' Jalan yang benar ialah agama Islam yang mengandungi akidah, syariah dan akhlak.

Istiqamah bertentangan dan bercanggah dengan segala bentuk maksiat, kebejatan dan keburukan seperti riak, ujub, takbur, dendam, khianat dan lain-lain.

Agama Islam mengajar kita supaya beriman, bertakwa dan beristiqamah. Apabila sifat-sifat ini ada dalam diri manusia, maka akan terpancarlah tingkah laku dan tindak tanduk yang luhur daripada insan Muslim.

Kita tidaklah disyariatkan, malah dilarang keras mendoakan kemusnahan dan kehancuran sesama Islam, kerana Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: ''Tidak sempurna iman seseorang kamu sehingga ia mencintai saudaranya (seagama) sebagaimana ia mencintai dirinya sendiri.''

Begitu juga Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud; ''Kamu dapati orang mukmin itu dalam berkasih sayang, tolong menolong dan silaturahim, bandingnya sepertilah satu tubuh, apabila salah satu anggotanya mengadu kesakitan maka seluruh anggota tubuh yang lain akan turut juga berjaga malam dan demam.''

Oleh itu, cuba kita elakkan daripada berdoa untuk keburukan orang lain. Rasulullah s.a.w. apabila dakwahnya ditolak keras oleh penduduk Taif, baginda diberi pilihan oleh malaikat yang menjaga urusan bukit-bukau supaya baginda perintahkan sahaja kepadanya membinasakan mereka yang degil itu dengan mencampakkan bukit-bukau ke atas mereka.

Tetapi tawaran tersebut ditolak oleh Rasulullah s.a.w kerana baginda masih mengharapkan kebaikan daripada keturunan mereka yang degil tadi, mungkin suatu hari nanti keturunan mereka ada yang beriman. Lalu Rasulullah s.a.w. berdoa yang bermaksud; ''Wahai Tuhanku, berilah hidayah dan petunjuk-Mu kepada kaumku, kerana mereka tidak mengetahui.''

Jelas sekali bagaimana doa menurut pandangan Islam. Ia suatu alat untuk digunakan oleh orang Islam bagi mendapat pertolongan daripada Allah s.w.t. Namun ia hendaklah digunakan dengan tujuan baik dan konstruktif, bukan untuk menakut-nakut orang ramai.

Kita hendaklah berdoa setelah didahului dengan usaha dan ikhtiar yang gigih, dan seterusnya doa digunakan untuk kebaikan dan kemaslahatan ummah seluruhnya.



..................................................................
4 Februari 2002


=== Arkib Dakwah ===