Penyelewengan Dari Matlamat Dakwah

PENYELEWENGAN DARI MATLAMAT

Terdapat beberapa bentuk dan rupa penyelewengan dari garis asal bagi jalan da'wah. Ada di antaranya yang zahir dan ada pula di antaranya yang tersembunyi rahsia. Penyelewengan dari matlamat atau sasaran, kefahaman, wasilah dan cara, langkah-langkah kerja dan sebagainya tetap berlaku. Anda akan dapat membacanya InsyaAllah dengan pertolonganNya. Kami memohon agar Allah mengilhamkan yang betul dan tepat dan melindungi yang salah.

Penyelewengan Dari Matlamat

Penyelewengan dari matlamat adalah di antara yang paling merbahaya sekali. Ia mesti diawasi seketat-ketatnya. Matlamat yang kita tujui dalam perjalanan kita ialah Allah Subhanahu wa Ta'ala. Dimaksudkan dengan penyelewengan dari matlamat ialah menuju kepada selain Allah, atau sekurang-kurangnya menyengutukan Allah dengan tujuan-tujuan atau kehendak-kehendak keduniaan, atau keinginan-keinginan rakus individu.

Sudahpun dimaklumi bahawa sebarang bentuk penyelewengan dari matlamat walaupun pada lahirnya mudah dan remeh-remeh sahaja, ‘amalan akan ditolak kerana Allah Maha Kaya (tidak berhajat) kepada sebarang penyegutuan. Sebarang ‘amal tidak diterima kecuali yang ikhlas kepada Allah, bersih dari sebarang cemaran. Keikhlasan adalah pokok kepada perjalanan da’wah. Ini memerlukan muraja’ah dan kajian semula dengan teliti secara tenang dan berlanjutan.

Nafsu atau diri seseorang itu mempunyai pelbagai hawa (keinginan), dan syaitan yang ikut mengalir bersama darah dan urat dan nadi anak Adam. Hawa (keinginan) yang dipimpin oleh syaitan amat gemar merosakkan ‘ibadat dan jihad serta memalsukan ‘amalan dan ganjaran pahala anak Adam.

Riya’, takabbur (sombong), meninggi diri, gila pangkat, suka menunjuk-nunjuk, suka mempamerkan kebendaan seperti pangkat, kebesaran, harta atau kuasa dan sebagainya merupakan kepentingan-kepentingan keduniaan yang sebenarnya palsu. Semua itu adalah penyakit-penyakit hati yang boleh memesongkan kita dari matlamat yang sebenarnya. Ia lebih merbahaya daripada penyakit-penyakit fizikal yang menyerang tubuh badan kerana penyakit-penyakit fizikal hanya menyerang dan merosakkan tubuh badan yang fana ini setakat masa hidup di dunia ini sahaja, tetapi sebaliknya penyakit-penyakit di jiwa atau di hati kesannya memanjang kekal berterusan bersama ruh sejak di dunia sampai ke akhirat. Sesungguhnya penyakit-penyakit hati atau penyakit jiwa boleh merosakkan niat dan memalsukan ‘amal.

Kita harus mengetahui bahawa penyakit-penyakit hati ada pada setiap manusia. Kalau manusia itu mu’min ia akan melawan dan menentangnya selalu. Ia akan menguasai dan mengalahkannya dengan kekuatan iman, taqwa dan muraqabah berterusan kepada Allah, di samping memperbaharui niat dan mengutamakan apa yang di sisi Allah dengan mengenepikan kebendaan dunia secara yakin. Percaya dengan yakin bahawa ganjaran dari Allah adalah paling baik dan kekal. Ini merupakan pertarungan dan pergelutan yang berpanjangan di antara pembawa kebaikan dan pembawa kejahatan. Ia merupakan perjuangan untuk tazkiyatun-nafs (pembersihan jiwa), dan membawa diri hampir kepada Allah, memisahkan shahwah (keinginan) dan kegemaran keduniaan.

“Maka Allah mengilhamkan kepada jiwa itu (jalan) kefasikan dan ketaqwaannya. Sesungguhnya beruntunglah orang yang mensucikan jiwa itu, dan sesungguhnya merugilah orang yang mengotorinya.” [Surah Asy-Syams: 8,9,10]

[Jalan Da’wah – Di Antara Keaslian dan Penyelewengan: Al-Ustaz Mustafa Masyhur]

--------------------------------------------------------------------------------
"Tidak akan masuk Syurga sesiapa yang ada di dalam hatinya sebesar biji yang halus daripada (sifat) takabur, lalu berkata seorang lelaki: Sekiranya seorang lelaki itu suka kepada pakaian yang elok dan kasut yang baik, (lalu) sabda Rasulullah S.A.W lagi: Sesungguhnya Allah itu Cantik, Ia suka kepada yang Cantik; Takabur itu adalah tidak mahu menerima kebenaran dan menghina orang lain."(Riwayat Muslim drpd. Ibn Mas'ud r.a.)

Tranung Kite Cyberlink