Islam, Agama Jamaah, Agama Dunia dan Akhirat

Bismillah Walhamdulillah Was Salaatu Was Salaam 'ala Rasulillah.

Islam kita yang agung ini bukanlah sebagai agama kepaderian individu. Ia adalah ad-Deen yang menghimpunkan antara dunia dan akhirat. Ia adalah ad-Deen bagi jemaah yang satu, umat yang satu, watan yang satu dan juga jasad yang satu. Bila satu anggota merasa sakit, maka seluruh tubuh itu akan merasa derita dan terpaksa berjaga malam. Ia adalah ad-Deen yang menghendaki setiap Muslim agar mengambil berat masalah-masalah seluruh umat Islam, tidak kira di bumi mana pun mereka berada. Setiap Muslim mesti menitikberatkan masalah umat Islam yang terdedah pada serangan-serangan musuh dan ditimpa penderitaan.

Sabda Rasulullah (s.a.w):

"Sesiapa yang tidak mengambil berat urusan kaum Muslimin maka ia bukan dari kalangan mereka. "

Di sini terdapat tanggungjawab umum yang diberikan oleh Islam kepada setiap Muslim dan Muslimah. Ia pasti akan ditanya di hari Kiamat kelak mengenai tanggungjawab tersebut.

Sesungguhnya ribuan nyawa kaum Muslimin telah hilang. Kehormatan-kehormatan wanita telah dicabuli. Anak-anak kaum Muslimin membesar secara bukan Islam. Syariat Islam telah ditinggal dan digantikan dengan undang-undang ciptaan. Akidah telah dirosakkan, tempat-tempat suci umat Islam dicerobohi, perang ditimbulkan dan peperangan serta permusuhan sesama kaum Muslimin telah juga dicetuskan. Semua itu dan banyak lagi perkara lain, kesemuanya menimbulkan persoalan; adakah keislaman seseorang Muslim yang tidak peduli, serta tidak sensitif dengan perkara-perkara yang menyedihkan itu akan diterima? Jawapannya tentulah tidak.

Kerajaan Dalam Islam... Adalah Antara Perkara-Perkara Aqidah dan Usul. Ia Bukannya Masalah-Masalah Fiqh dan Furuk .

Setelah kita faham bahawa tidak ada cara lain untuk memperbaiki dan merubah realiti pahit ini kecuali dengan menegakkan Negara Islam yang dapat meneguhkan agama Allah, melaksanakan SyariatNya, memelihara nyawa, kehormatan bumi, harta dan anak-anak kaum Muslimin; maka Islam menjadikan kerajaan sebagai salah satu dari rukun-rukunnya.

Dalam kitab-kitab fiqh, kita menyatakan pemerintahan adalah dikira sebagai aqidah dan usul. Ia bukannya termasuk dalam masalah-masalah fiqh dan furuk (ranting). Nabi Sallallahu alaihi wasallam telah menjadikannya sebagai salah satu dari pengikat-pengikat Islam. Bahkan sesiapa yang mengingkari perkara ini ia menjadi kafir dan terkeluar dari agama Islam.

Setelah kita faham bahawa tanggungjawab menegakkan Negara Islam ini terpikul di bahu setiap Muslim dan Muslimat yang mana ia bukan sahaja terpikul di bahu pemerintah atau ulamak, maka wajiblah stiap Muslim dan muslimat memainkan peranan untuk menunaikan kewajipan Islam ini. Situasi peringkat umur dakwah Islamiah yang sedang kita hayati kini, iaitu setelah kejatuhan negara dan khilafah Islamiah, telah mewajibkan kita menjalankan tugas ini.

Adalah berdosa mereka yang menyempitkan amalan Islam setakat ilmu, ibadah, zikir dan berbuat baik sahaja, tanpa berusaha untuk menunaikan kewajipan ini. Ilmu dan ibadah sahaja belum cukup lagi jika kaum Muslimin terus begini, dimamah puas oleh musuh-musuh Allah yang menceroboh segala kehormatan kaum Muslimin. Bahkan juga musuh-musuh Allah tersebut akan memisahkan para abid, pelajar-pelajar serta ahli-ahli zikir daripada ibadat, ilmu dan zikir mereka. Anak-anak mereka akan membesar secara bukan Islam, dan mereka tidak akan dapat berbuat apa-apa lagi.

Bila kewajipan asasi dan terpenting ini, iaitu menegakkan negara Islam, tidak dapat disempurnakan secara individu, bahkan mestilah dilakukan dengan proses amal jamaie yang terancang rapi... maka fahamlah kita: bahawa berjemaah dan beramal jamaie itu adalah diwajibkan pada setiap Muslim dan Muslimat. Amalan secara individu yang berselerak dan tidak tersusun itu adalah gagal memenuhi tuntutan amal jamaie. Sebabnya setiap perkara wajib yang tidak dapat sempurna kecuali adanya sesuatu perkara lain, maka perkara itu wajiblah diadakan.

Imam Hassan al-Banna Menggariskan Jalan.....

Imam Hassan al-Banna telah diberi petunjuk mengenai perkara ini. Setelah mengkaji realiti kaum Muslimin serta sirah Rasulullah Sallallahu alaihi wasallam secara mendalam, beliau menggariskan kepada kita jalan ke arah amal jamaie yang tersusun. Jalan dakwah iaitu jalan yang sama dengan jalan yang dilalui oleh Rasulullah Sallallahu alahi wasallam dan para sahabatnya radhiallahu anhum, iaitu semasa mereka menegakkan negara Islam yang pertama. Kami sedang berjalan di atas jalan tersebut dan kami mengajak orang lain menjalaninya sama. Hari-hari serta peristiwa-peristiwa yang telah berlaku telah menambahkan lagi kepercayaan kami terhadap jalan tersebut.

Demikianlah, dengan secara amat ringkas kami berpendapat, dalam peringkat umur dakwah ini, adalah wajib setiap Muslim dan Muslimat bekerja menegakkan negara Islam.

[Uztaz Mustafa Masyhur]

Tranung Kite Cyberlink