Chechnya, Masalah Dalaman Atau Masalah Ummah?

PENGARAH Pusat Kebudayaan Chechen Antarabangsa (LAM) di Kuala Lumpur, Dr Suleiman Djamoukhanov (DSD) menyangkal dakwaan Russia bahawa masalah orang-orang Chechen di Chechnya adalah hanya masalah dalaman Russia sahaja.

“Ia bukan masalah dalaman Russia tetapi adalah sebahagian daripada masalah ummah yang satu. Masalah ummah yang sama-sama beriktikad dan bermatlamat bahawa Allah s.w.t adalah khalik yang sama-sama kita sembah dan Muhammad s.a.w adalah Rasul yang jadi ikutan dan sanjungan yang kini diburu, disiksa, dihalau daripada tanah air bahkan telah ramai yang mati dibunuh dengan kejam.”

Beliau yang meluahkan perasaannya baru-baru ini berikutan kurangnya sokongan daripada saudara selslam sendiri, sebagaimana di Persidangan Negara-Negara Islam (OIC baru-baru ini) tentang masalah umat Chechen yang sedang dibantai dan dibunuh Russia dari sehari ke sehari. Wakil Tamadun dapat menemuramah beliau di pejabatnya baru-baru ini:

Tamadun: Bagaimanakah taraf Chechnya sekarang, sedangkan pada masa yang sama Kremlin masih mendakwa ia adalah sebahagian daripada Russia?

DSD: Sebenarnya dakwaan Russia itu tidak berasas. Jika kita kembali melihat Perjanjian Persekutuan pada 31 Mac 1992, jelas Chechnya pada perlembagaan tidak terikat dengan dakwaan bahawa ia adalah sebahagian daripada Russia. Persekutuan Russia yang ditubuhkan selepas keruntuhan USSR (yang perlembagaannya diluluskan pada 1993) sebenamya tidak pernah diikutserta oleh Chechnya.

Dan awal sebelum itu lagi iaitu pada 27 November 1990 lagi, Chechnya telah mengisytiharkan kemerdekaan daripada USSR. Ini sebenarnya ekoran daripada Undang-Undang Asal (3 April 1990) yang mengiktiraf bahawa mana-mana negara yang terjajah boleh memerdekakan diri daripada USSR. Jelas bahawa Chechnya telah lama memerdekakan dirinya daripada Russia lama sebelum diisytiharkan pembentukan Persekutuan Russia.

Tamadun: Apakah ada negara yang mengiktiraf kemerdekaan Chechnya setakat ini?

DSD: Memang ada, umpamanya negeri-negeri Transcaucacia di bahagian Selatan seperti Georgia telah mengiktiraf negara kami sejak 13 Mac 1992 lagi. Bahkan yang menariknya pengakuan Latvia (yang Kristian Katholik), bahawa sekiranya tiada negara Islam yang sanggup menduduki terat kedua mengiktiraf Chechnya, ia akan segera berbuat demikian (mengiktiraf negara Chechnya).

Alhamdulillah, pada awal Januari 2000, kerajaan Afghanistan di bawah Taliban telah mengiktiraf Republik Chechnya (ChRI). Nampaknya mereka tidak setuju dengan momokan bahawa masalah Chechen adalah masalah dalaman di negara Russia tetapi mereka telah sedar bahawa masalah orang Chechen adalah masalah ummah Muslim itu sendiri.

Tetapi sayang, ia tidak dibincangkan di persidangan OIC, di Kuala Lumpur baru-baru ini. Saya sendiri yang hadir tidak diberi kesempatan untuk bercakap, jadi tidak dapatlah saya membentangkan masalah dalaman yang menimpa rakyat Chechen.

Tamadun: Rakyat Malaysia bimbang dan bersimpati dengan penyerangan berterusan Russia ke atas orang Chechen. Boleh Dr. terangkan kehilangan dan kerugian yang dialami?

DSD: Memang banyak kebinasaan dan kehilangan nyawa yang dideritai orang Chechen. Ia lebih dahsyat daripada mangsa Perang Dunia Kedua. Saya akan senaraikan kerugian dan kerosakan teruk yang dialami

  • Bangunan Universiti Negara Chechen musnah sama sekali.

  • Bangunan di mana terletaknya perpustakaan universiti hangus dibakar.

  • Institut Petrochemical juga musnah dibakar.

  • Semua bangunan di Institut Pedagogic dimusnahkan.

  • Hampir keseluruhan bangunan Universiti Islam, termasuk perpustakaan dibakar.

  • Penjarah Russia mencuri kesemua bahan pameran di Muzium & Balai Seni Kebangsaan Chechen, kemudian bangunannya dibakar.

  • Perpustakaan Kebangsaan Chechen di mana antara yang terbaik di Utara Kaukasus juga dibakar.

  • Panggung Negara di Grozny, termasuk Pusat Kebudayaan di bandar-bandar lain juga dibakar.

  • Pusat Kajian Sains juga tidak terkecuali yang tinggal hanyalah dinding-dinding yang menunggu masa runtuh.

  • Begitu juga Akademi Sains, termasuk perpustakaannya dimusnahkan.

  • Bangunan Persatuan Penulis Chechen termasuk rekodnya dibakar.

  • Termasuk juga bangunan Radio Kebangsaan Chechen di mana bangunannya habis diruntuhkan.

  • Ia termasuk bangunan televisyen Chechen dan

  • Paling menyedihkan 200 (daripada 550) buah sekolah dimusnahkan.

    Sekolah yang terselamat tidak lagi menjadi tempat anak-anak Chechen, tetapi dijadikan markas tentera, penjara bahkan tempat menyeksa Mujahidin Chechen. Sejak perang pada 1994-1996, 18,000 orang Chechen dibunuh dan diseksa di sekolah-sekolah kami sendiri yang telah bertukar menjadi pusat tahanan.

    Sekarang, selain daripada pemisahan kebudayaan, mereka mendirikan kem tahanan baru di Chernokozovo. Tujuannya untuk mengadakan penyiksaan yang sistematik demi memaksa Chechnya untuk dimasukkan ke dalam jajahan yang kini dinamakan Persekutuan Russia.

    Russia dalam perang dengan Chechen menggunakan apa cara termasuk cara yang paling keji seperti mengebom keseluruhan kampung, walaupun di tempat yang tiada berpenghuni. Cara sedemikian jelas tidak mengenal mangsa baik kanak-kanak, wanita dan orang tua termasuk binatang dan sumber kehidupan.

    Ia bahkan memangsakan semua orang termasuk etnik Russia dan Ukraine yang mendiami Chechnya. Walaupun jelas melanggar Konvensyen Antarabangsa PBB, tetapi pada Russia hanya mainan mereka sahaja. Pada perang 1994-1996, contohnya 115,000 orang awam cedera dan 40% daripada mereka adalah etnik Russia dan Ukraine.

    Tamadun: Apakah Mujahidin Chechen dapat meneruskan perjuangan menentang Russia, di mana bandar Grozny sendiri telah hampir hancur keseluruhannya. Di manakah pemimpin utama seperti Presiden Aslam Maskhadov, Panglima Mujahidin seperti Shamil Basayez, Khattab, Umar Tataev dan lain-lain.

    DSD: InsyaAllah setakat ini mereka terus istiqamah berjuang secara gerila. Sebagaimana yang anda baca laporan di akhbar, banyak kejayaan yang dicapai Mujahidin Chechen. Berkenaan Presiden kami dan Mujahidin lain seperti Shamil, mereka sebenarnya berada di dalam Chechnya dan mengetuai pertempuran.

    Shamil sendiri yang cedera kakinya dapat meneruskan pimpinan di medan tempur. Mengenai kakinya yang dipotong, beliau berkata secara berseloroh: "Jangan risaukan kakiku kerana sekarang ia sudah berada di syurga!"

    Mengenai senjata untuk meneruskan penentangan Russia, ia sebenarnya adalah sesuatu yang menarik berlaku pada 1992, di mana ketika itu ketika Chechen mengisytiharkan kemerdekaan, berlangsung perundingan antara Dzhokhar Dudayez sebagai presiden Chechnya ketika itu dengan Pavel Grachev, Menteri Pertahanan untuk membahagikan senjata yang di simpan di Grozny.

    Alhamdulillah, perjanjian itu memberi keuntungan pada Chechnya di mana nisbah 50-50 digunakan.

    Jadi Mujahidin Chechen dapat memiliki senjata canggih sebagaimana dipunyai Russia. Kemudian setelah perang berlarutan, tentera kami dapat membeli senjata daripada pihak Russia sendiri yang belot.

    Tamadun: Berapa ramai pelajar Chechen yang belajar di Malaysia. Negara manakah yang turut membantu Chechnya?

    DSD: kami menyanjung tinggi kemurahan kerajan dan rakyat Malaysia yang membantu beberapa orang pelajar untuk ke universiti di negara ini. Kami orang Chechen menyedari betapa pentingnya ilmu pengetahuan.

    Kami mahu mendalami bahasa Arab dan bahasa asing lain. Adalah mustahak bagi bangsa Chechen dapat keluar mencari ilmu dan maklumat ke negara lain kerana sekian lama ditekan dan dianiyai Russia.

    Di samping Malaysia, Poland juga memberi bantuan untuk memperbaiki beberapa kemudahan. Begitu juga Parlimen Latvia juga telah meluluskan bantuan menerusi belanjawan Negaranya pada 1998 sebanyak USD 152,000 setiap tahun.

  • Tranung Kite Cyberlink