Bumi Ambia - Rakyat Palestin tertekan

MEREKA kelihatan riang, tetapi
masa depan kanak-kanak
Palestin ini masih tidak
terjamin berikutan pelbagai halangan
dikenakan oleh Kerajaan Lubnan.

BEIRUT, – “Kami hidup dalam keadaan tertekan. Tidak dibenarkan bekerja dalam bidang-bidang tertentu di luar kem pelarian sehingga menyebabkan anak kami putus asa dan enggan meneruskan pelajaran.”

Itulah kekecewaan yang diluahkan kebanyakan keluarga Palestin yang kami temui di beberapa kem pelarian di Lubnan, termasuk di Shatila dekat Beirut, Sidon di selatan Lubnan dan Wavell di Ba’albek dalam wilayah Beqa’a.

Walaupun boleh tinggal di Lubnan, pelarian Palestin tidak dibenarkan bekerja dalam 60 bidang, terutama membabitkan perkhidmatan penting, seperti kedoktoran, kejuruteraan, undang-undang dan pendidikan tinggi.

Mereka hanya dibenar menawarkan khidmat berkenaan dalam kawasan kem, khusus untuk masyarakat Palestin. Jika pelarian terbabit didapati bekerja di luar, mereka dan majikan masing-masing akan dikenakan tindakan tegas.

Bagaimanapun, Kerajaan Lubnan membenarkan pelarian Palestin ini bekerja sebagai buruh kasar, termasuk dalam projek pembinaan dan pembersihan kawasan, kerja yang memang ditolak oleh rakyat Lubnan.

“Ada juga anak pelarian yang bekerja dalam bidang yang dilarang secara haram di luar, tetapi risikonya tinggi,” kata Nayef Maarouf ketika ditemui di Kem Pelarian Sidon.

Nayef adalah satu-satunya jurutera Palestin yang dibenarkan bekerja di luar, itupun kerana beliau mendapat didikan di Mesir sebelum tahun 80-an dan tidak tinggal di dalam kem pelarian.

Beliau berkata, anak pelarian Palestin memang boleh bekerja di dalam kem, tetapi gaji yang diperoleh biasanya tidak memuaskan kerana perkhidmatan mereka lebih bersifat sukarela.

Pengerusi Persatuan Penduduk Palestin Wavell, Mahmoud Wakid, 55, pula berkata masalah utama yang dihadapi pelarian Palestin di Lubnan ialah pekerjaan kerana tanpa kerja tetap, amat sukar bagi mereka untuk menyara kehidupan keluarga.

Oleh itu, katanya, ramai di kalangan generasi muda yang mempunyai kelulusan terpaksa berhijrah ke negara lain untuk bekerja, khususnya di negara Arab lain seperti Jordan, Arab Saudi, Mesir dan Emiriyah Arab Bersatu (UAE).

“Pasaran kerja bagi anak Palestin bukan di Lubnan, tetapi di negara lain. Sebab itulah selepas menamatkan pengajian mereka berhijrah ke luar negara untuk bekerja.

“Dalam tempoh 10 tahun kebelakangan ini saja, hampir 2,000 warga Palestin di Wavell sudah berhijrah ke negara lain,” katanya ketika ditemui di kem berkenaan kelmarin.

Bagaimanapun, bagi Moi’n Othman, 27, yang tinggal di kem Wavell sejak dilahirkan, beliau secara sembunyi bekerja sebagai guru matematik di sebuah sekolah swasta di pekan Ba’albek.

“Selagi tidak dikesan oleh Kerajaan Lubnan, tidak ada masalah bagi saya mengajar di situ. Lagipun sekolah berkenaan dikendalikan pihak swasta tanpa campur tangan kerajaan,” katanya.

Beliau berkata, seorang daripada sepupunya yang mendapat pendidikan di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) di Kuala Lumpur, kini turut bekerja secara haram di sebuah syarikat di Beirut.

Kemudahan pendidikan di kem pelarian Palestin di Lubnan pada keseluruhannya masih jauh daripada memuaskan, walaupun pada masa ini ada 77 sekolah sudah diwujudkan di lebih 50 kem pelarian di seluruh negara itu.

Menurut Mahmoud, di kem pelarian yang mempunyai penduduk lebih 5,000 orang, dua peringkat sekolah disediakan iaitu sekolah rendah dan menengah rendah, manakala di kem yang lebih kecil hanya ada sekolah rendah.

“Kebanyakan sekolah ini dikendalikan oleh Agensi Bantuan dan Kebajikan Bangsa-bangsa Bersatu (UNRWA) dengan sokongan persatuan penduduk dan dijalankan dalam dua sesi iaitu pagi dan petang.

“Bagaimanapun, disebabkan kemudahan yang tidak mencukupi, kami sering menghadapi masalah kekurangan kelas dan guru. Bagi mengatasinya, kami terpaksa mengambil guru sambilan yang berkhidmat secara sukarela,” katanya.

Beliau berkata, jika sebelum ini kemudahan pendidikan diberikan secara percuma kepada anak-anak pelarian, disebabkan kos pengurusan semakin meningkat dan UNRWA sendiri tidak mampu menambah peruntukan, pelajar kini dikenakan yuran.

Berikutan itu, katanya, ada keluarga yang tidak mampu terpaksa memberhentikan anak-anak mereka, sekali gus meningkatkan lagi kadar buta huruf di kalangan pelarian Palestin.

Mahmoud berkata, kajian Pejabat Statistik dan Sumber Asli Pusat Palestin dengan kerjasama UNRWA mendapati hanya 48 peratus pelarian Palestin di Lubnan yang celik huruf, termasuk 4.2 peratus mempunyai kelulusan universiti.

Selain sekolah rendah dan menengah rendah, UNRWA juga turut menyediakan taman bimbingan kanak-kanak di setiap kem. Bagaimanapun, jumlahnya setakat ini masih jauh daripada mencukupi.

Dalam bidang kesihatan, hampir setiap kem pelarian menpunyai klinik yang dikendalikan oleh UNRWA dengan kerjasama Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin, Pertubuhan Bulan Sabit Merah Lubnan dan penduduk tempatan.

Selain itu, dua buah hospital juga sudah didirikan oleh Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin iaitu Hospital Aka di Beirut dan sebuah lagi di Sidon, untuk mengendalikan kes-kes serius.

Mahmoud berkata, kebanyakan doktor dan jururawatnya adalah di kalangan warga Palestin sendiri, selain doktor sukarela dari beberapa negara Timur Tengah, Eropah, Asia dan badan-badan kebajikan.

“Pelarian Palestin tidak mempunyai pilihan untuk mendapatkan rawatan perubatan kerana klinik dan hospital milik kerajaan tidak menerima mereka. Bagi mereka yang mampu bolehlah merujuk kepada klinik dan hospital swasta,” katanya.

Seperti juga bidang pendidikan, jika dahulu rawatan perubatan diberikan percuma kepada pelarian, mereka kini terpaksa membayar sejumlah wang yang kecil kepada pihak hospital berikutan masalah kekurangan sumber kewangan.

Tranung Kite Cyberlink