Anak ialah amanah atau pertaruhan yang Allah amanahkan kepada kita
supaya kita menjaga dan memelihara mereka baik mengikut landasan
Islam. Ibubapa mesti bertanggungjawab bukan saja di dunia bahkan di
akhirat sewaktu berhadapan dengan Allah kelak. Dalam rangka memelihara
amanah Allah itu, ibubapa adalah diwajibkan berusaha dengan
bersungguh-sungguh melaksanakan didikan agama. Tegasnya mendidik anak
beragama itu adalah wajib hukumnya (bukan setakat pendidikan untuk
UPSR, PMR atau SPM), sebaliknya ibubapa yang melalaikan tugas amanah
ini adalah berdosa.
Rasulullah saw bersabda:
"Hendaklah kamu pastikan anak-anakmu belajar agama dan hendaklah kamu
baguskan akhlaknya."
Setiap anak yang dilahirkan itu bersih fitrahnya. Adalah menjadi tugas
ibubapa untuk mencorakkan kehidupan anak-anak seterusnya sama ada
untuk menjadikannya baik atau sebaliknya.
Sabda Nabi saw:
"Semua anak yang dilahirkan ke dunia ini dalam keadaan yang suci
bersih. Maka kesalahan ibubapalah menjadikan mereka yahudi, nasrani
atau majusi."
Hadis tersebut menunjukkan kepada kita betapa beratnya tanggungjawab
ibubapa terhadap anak-anaknya. Kesalahan kita mendidiklah maka
anak-anak sekarang menjadi tak keruan hidupnya dengan pelbagai
masalah sosial seperti bohsia, bohjan dan aktiviti lepak yang semakin
menjadi. Sungguh malang seribu kali malang, sudahlah ibubapa tidak
memberi didikan agama kepada mereka, ibu bapa sendiri tidak
berpengetahuan agama dan paling dahsyat lagi, mereka asyik mengumpul
dan terpengaruh dengan pujukan dunia. Menjadi korporat adalah satu
lagi keparat (maaf - bukan semua). Oleh kerana hendakkan kemewahan
yang berlipat ganda terabai tugas sebagai bapa dan suami. Anak
bermaharajalela dan isteri pula main kayu tiga.
Berapa banyak hari ini anak-anak yang tidak tahu membaca Al-Quran.
Tidak tahu sembahyang bahkan Fatihah pun tak boleh baca, jauh sekali
dari menghafalnya. Masya'Allah ada yang tak tahu menyebut syahadah
walaupun dah baligh. Inikah wawasan kita membangunkan kemanusiaan
anak-anak.
Akibatnya kebanyakan anak-anak hari ini terdiri daripada mereka yang
hanya pandai berpoya-poya, pandai menyakitkan hati dan meracuni jiwa
serta menderhakai kepada orang-orang tuanya. Akhirnya bila sampai
tahap, mereka akan menjadi anak yang liar. Ibu bapa seolah-olah
memelihara anak-anak haiwan sama seperti anak rimau, kucing atau ayam.
Betapa tidak haiwan tak sembahyang samalah seperti anak-anak itu.
Bahkan haiwan lebih baik sebab tidak diberikan akal. Ketika ini baru
ibubapa mengeluh bukan menyalahkan dirinya tetapi salahkan anak-anak
dan paling teruk menyalahkan orang lain. Sebenarnya semua ini berpunca
daripada ibubapa yang tidak mengambil berat tentang didikan agama
terhadap anak-anak.
Ibubapa mesti mengambil berat tentang soal pemakanan anak-anak. Bukan
diperhatikan tentang khasiat vitamin makanan itu saja tetapi pastikan
kehalalannya. Adakah ia dari sumber yang halal atau haram. Ini penting
kerana mengikut Nabi 'daging yang tumbuh dari sumber yang haram, maka
neraka lebih utama untuknya'. Sekarang ini perkara seperti ini jarang
diberikan penekanan tambahan pula amalan ekonomi yang berasaskan
perbankan non-Islamik. Bagaimana diharapkan amalan soleh jika
pemakanan tidak lagi soleh. Makanan yang baik membuahkan amalan baik
(soleh), manakalan makanan yang tidak baik menghasilkan amalan yang
tidak baik juga (tholeh).
Satu kisah pada zaman Nabi, seorang sahabat yang berjemaah bersama
nabi kerap keluar dari jemaah awal sebelum sempat berdoa. Nabi
bertanyakan kenapa balik tergesa sebelum berdoa. Sahabat itu
menerangkan dia mempunyai anak kecil yang ibunya baru meninggal dunia.
Dia takut anaknya mengambil dan memakan buah tamar jiran yang gugur di
halaman rumahnya dan ditakuti akan menjadi darah dagingnya. Sahabat
itu menjelaskan daging yang disuburkan dari benda yang haram itu tidak
layak masuk syurga. Mendengarkan penjelasan itu, Nabi terdiam dan
tidak berkata apa-apa, hanya memperhatikannya sahaja dia pulang ke
rumah.
Begitulah orang dahulu mengambil berat soal pemakanan anaknya.
Sebaliknya kita bagaimana? Adakah kita bertanya dari mana buah jambu
itu diambil?
Didikan seterusnya yang mesti dilakukan oleh ibu bapa ialah
sembahyang. Nabi saw pernah bersabda:
"Perintahkan anak-anakmu mengerjakan sembahyang bila dia berumur 7
tahun dan pukullah dia bilamana tidak mahu mengerjakan sembahyang
semasa berusia 10 tahun dan pisahkan dari tempat tidur."
Hadis ini adalah merupakan seruan wajib sembahyang. Kanak-kanak itu
belum lagi wajib bersembahyang tetapi yang wajib ialah bapa
menyuruhnya bersembahyang. Anak itu belum wajib kerana dia belum cukup
umur (baligh). Jika bapa tak beratkan dia bersembahyang ketika ini,
agak sukar kanak-kanak itu bersembahyang apabila baligh. Budaya solat
mesti dimulakan sejak 7 tahun lagi.
Soal baligh ini pada pedapat sekarang berbeza. Ada berpendapat selepas
bersara baru nak solat. Maksudnya bila pencen (55 tahun) baru masuk
umur baligh. Paling sedih ada yang tidak baligh sampai ke mati sebab
tak solat.
Nabi Muhammad saw menyuruh (mewajibkan) kita pukul anak berumur 10
tahun yang tidak mahu sembahyang. Tetapi adakah kita pukul? Kita
mungkin pukul kalau tak buat kerja sekolah atau tak lulus periksa.
Jarang kedengaran pukul kerana tak mendirikan sembahyang. Manakan nak
pukul anak tak bersembahyang sedangkan ibubapa sendiri tak
bersembahyang. Takkan ketam nak ajar anaknya berjalan betul. Ibuabapa
dewasa ini tidak bimbang anak-anak walaupun perempuan tak balik hingga
larut malam tetapi yang dibimbangkan agaknya kalau anak-anak ayamnya
belum pulang waktu senja.
Pendidikan juga bukan bermula apabila lahir anak. Bahkan semasa dalam
kandungan ibu sudah mula proses tarbiyah. Sebab itu ibu-ibu mengandung
perlu pastikan apa yang dia makan, apa yang dia buat dan apa yang dia
baca. Sifat ibu akan diwarisi oleh anak. Kalau suka menyanyi atau
menonton TV, anak yang lahir kelak akan menurut apa acuan yang
dibentuk. Ramaikah ibu-ibu membaca Al-Quran semasa mengandungkan
anaknya? Sedih melihat wanita masa ini asyik keluar masuk kilang saja
hatta hingga larut malam masih lagi di kilang. Haiwan pun tidur waktu
malam, kita manusia masih bertungkul lumus di kilang. Ajaran siapa
ini? Allah peruntukkan masa siang untuk cari rezeki, masa malam untuk
rehat. Kita siang malam sama saja mencari rezeki. Orang alim dulu
siang bekerja malam beribadat. Kita siang kerja malam kerja. Bila
ibadat? ... Sorry, no time ... Bukan lelaki saja bahkan perempuan lebih
ramai kerja shift malam. Manakan suami tak jadi liar? Habis semua
disapu kadang-kadang anak sendiri jadi mangsa bila lihat isterinya tak
ada. Nak salahkan siapa? Apabila terlalu pentingkan kebendaan duniawi
beginilah akibatnya. Kemanisan beribadat tidak akan tercapai bagi
mereka yang mengejar keduniaan. Kalau 90% usaha dicurahkan untuk dunia
berapa peratus agaknya untuk akhirat. Kalau 10% ada juga tapi bila dah
teruk kerja badan dah letih sudah tentu 0% untuk ibadat. Al-Quran ada
menjelaskan 'Kaum lelaki adalah penjaga kaum wanita." Sekarang nak
jaga apa? Asyik kerja siang malam. Anak isteri masing-masing punya
pasal. Kau nak buat apa terpulang.. asalkan mewah hidup.
Perasaan kasih sayang sudah luput dari ibubapa. Ibubapa dewasa ini
kebanyakannya sudah tidak menyayangi anak-anak lagi. Buktinya mereka
tidak ambil pusing hal-hal keagamaan mereka. Ada yang sanggup
membiarkan anak-anak terjun ke dalam api neraka. Anak kera pun kesihan
melihat anaknya ditembak pemburu.
Pernah seorang sahabat Nabi hairan tercengang melihat Nabi mencium
pipi cucunya lantas bertanya kenapa Nabi kenapa begitu. Dia bertanya
kerana dia sendiri tidak pernah melayan anak atau cucu dengan mesra
begitu. Nabi lantas menasihatkannya supaya mencurahkan kasih sayang
kepada kanak-kanak.
Dalam satu hadis lain, Nabi Muhammad bersabda;
"Memandang muka anak-anak dengan rasa syukur akan rahmat Allah itu
sama seperti melihat muka nabinya."
Begitu besar pahala ibubapa memuliakan anak-anak. Oleh itu kita
hendaklah memelihara mereka dengan baik kerana menurut Nabi mengajar
satu adab yang baik kepada mereka adalah lebih baik daripada memberi
sedekah satu cupak makanan setiap hari.
InsyaAllah ganjaran pahala yang banyak akan diberikan kepada ibubapa
yang baik terhadap keluarganya. Oleh itu hendaklah kita sedar
benar-benar bahawa kita akan menemui Allah (mati). Apatah lagi umur
kita kian sehari kian bertambah. Apabila bertambah umur kita bererti
bertambah hampir pula kita dengan alam barzakh (kubur) atau bertambah
hampir kita akan menemui Allah. Kita semua akan kembali kepada Allah
yang menjadikan kita. Allah akan bertanyakan apa amalan kita semasa di
dunia ini. Apa yang kita bawa untuk dipersembahkan kepada Allah?
Adakah harta benda yang kita cari selama ini, pagi petang, siang
malam, bertungkus lumus macam lipas kudung, tak pernah renggang dengan
telefon bimbit, melonggokkan harta, menambahkan saham hingga lupa pada
saham akhirat dan lupa kepada Allah yang memberikan kita harta itu.
Dapatkah harta yang banyak itu menebus dosa-dosa yang kita buat di
dunia ini?
Atau adakah pangkat dan bintang yang berjela-jela dibawa untuk
dipersembahkan kepada Allah? Dengan pangkat, kedudukan dan darjat
terasa seolah-olah kita sudah jadi orang besar dan terasa bongkak
dengan Allah. Dengan orang miskin dipandang hina. Dengan ulama
dipandang leceh. Adakah pangkat dan darjat dapat menebus dosa yang
dilakukan di dunia ini. Dapatkan ia menyelamatkan dari api neraka?
Semua ini tidak laku di akhirat.
Memelihara anak dengan baik adalah ibadat tetapi bagaimana pula jika
disebabkan terlalu sayangkan anak hingga tak sempat sembahyang Maghrib
adakah ibadat juga? Adakah anak itu akan menolong semasa berhadapan
dengan Allah kelak? Tidak.
Yang menyelamatkan kita pada hari yang tidak bermanfaat harta dan anak
pinak ialah jiwa yang suci lagi tenteram. Hati yang suci hanya
kepunyaan orang beriman. Orang kafir, fasik dan munafik tidak tenteram
hatinya. Orang beriman itu apa tandanya? Mereka yang beribadat ikhlas
kerana Allah. Ikhlas mainkan peranan penting kerana menurut hadis,
"Semua manusia rugi kecuali orang berilmu. Semua orang berilmu rugi
kecuali beramal. Semua orang beramal rugi kecuali yang ikhlas."
Oleh itu perlu mencari keikhlasan dalam ibadat. Caranya dengan
menghadiri majlis ilmu di masjid-masjid di samping kita berdoa kepada
Allah supaya kita dilimpah dengan kurnia, taufiq dan hidayah Allah.
Bukan mudah mendapat anugerah Allah. Untuk mendapatkan anugerah dan
kurnia sultan pun terpaksa lobi-melobi betapa untuk kurniaan Allah.
Sebelum kita dimatikan oleh Allah, maka janganlah kita sia-siakan
hidup dan umur kita ini dengan perkara-perkara yang melalai dan
merugikan. Ingatlah 1000 tahun di dunia hanya dikira 1 hari di
akhirat. Allah mencabar dan mengingatkan kita dalam firmanNya:
"Adakah kamu anggap, bahawa Kami jadikan kamu dengan percuma (sia-sia)
sedangkan kamu akan kembali kepada Aku?"
(Al-Mukminun: 115)
Ayat di atas adalah sebagai ingatan Allah kepada kita yang suka
membuang masa dengan sia-sia. Allah menegaskan lagi dalam Al-Quran
dengan firmanNya:
"Tidak Aku jadikan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembah
dan beribadat kepadaKu."
Adakah kita kira kita tidak mati atau lambat lagi akan mati?
Ingat Firman Allah
"Di mana sahaja kamu berada, kematian akan mengejar kamu, meskipun
kamu di dalam benteng yang kukuh lagi tinggi."
(An-Nisa':78)
Ingatlah kehidupan dunia ini tidak lain hanya kesenangan yang menipu
daya. Dulu muda sekarang tua. Dulu cantik sekarang kedut. Dulu sihat
sekarang sakit. Dulu ada gigi sekarang rongak. Dulu berambut hitam
sekarang beruban. Dulu tampan sekarang bongkok. Dulu ramai kawan
sekarang sendirian. Dulu ada pangkat sekarang pencen. Dulu mewah
sekarang muflis.
Ingatlah segala harta benda dan anak pinak tidak akan mengiring kita
masuk ke dalam kubur. Mereka hanya iringi hingga ke liang kubur saja.
Selepas itu mereka semua balik ke rumah dan enjoy semula. Kita di
dalam kubur bersendirian, disemadikan seorang diri di pusara yang
senyap sunyi, tinggal di kubur dan tidak akan kembali lagi ke rumah
besar kita.
Hanya satu saja yang paling setia mengikut kita dan menemani kita di
sana. Itulah pekerjaan dan amalan kita yang ikhlas. Mereka menjadi
kawan baik kita. Selepas itu apa lagi yang bersama-sama kita di kubur.
Sabda Nabi:
"Apabila mati anak Adam, maka putuslah segala amalannya kecuali 3
perkara: sedekah jariah (sedekah berkekalan), ilmu yang dimanfaatkan
dan anaknya yang soleh yang mendoakan."
Yang dikatakan sedekah jariah ialah amalan sedekah yang pahalanya
sampai menemuinya walaupun sudah meninggal 500 tahun umpamanya seperti
membina masjid, surau, membina rumah anak yatim dsb. Mengikut setakat
mana keikhlasan kita. Ada juga amalan jariah yang tidak dibalas dengan
pahala tetapi dosa, contohnya mendirikan dewan tarian, mendirikan
panggung wayang dan pentas hiburan semua dosa orang yang mengunjungi
tempat itu akan dihantar kepada simati walaupun telah 600 tahun
misalnya.
Termasuk dalam kategori ilmu yang dimanfaatkan ialah seperti menulis
kitab yang memberikan kesedaran kepada orang dan buku itu digunakan
zaman berzaman. Selagi kitab itu digunakan dan faedahnya tersebar
luas, pahala akan terus mengalir kepadanya. Begitu juga siri ceramah
dan tazkirah seperti homepage. Ini bergantung kepada keikhlasan tanpa
niat ria'. Sama-samalah berdoa semoga kita ikhlas.
Anak soleh yang mendoakan. Sekarang ini anak bernama Saleh tapi amalan
tak soleh. Ada juga orang kafir dipanggil Mad Saleh, kenapa agaknya
dipanggil Saleh? seolah menghina istilah 'soleh'. Anak yang beribadat,
bersembahyang dan mendoakan kita, pahalanya juga akan sampai kepada
kita lantaran didikan dan asuhan kita dulu. Ibarat pokok yang kering
apabila disiram air akan segar semula. Begitulah kita di alam kubur
nanti, apabila menerima pahala anak-anak kita kembali segar. Begitulah
mustajabnya anak yang soleh mendoakan kedua ibubapanya.
Menurut hadis orang yang mati seolah-olah dalam keadaan lemas. Sahabat
Nabi bertanya bagaimana untuk menolong mereka dari lemas. Nabi
menerangkan hadiahkan Fatihah kepada simati supaya ia tidak lemas dan
mampu untuk timbul.
Ramai beranggapan anak yang soleh ialah anak-anak bergaji besar,
berkereta besar, berumah besar, bercakap besar dan berpangkat besar.
Semua ini tidak menjamin kesolehannya selagi tidak mempunyai iman
kepada Allah dan berbakti kepada ibu dan bapanya.
Akhir sekali didiklah anak-anak kita dari sekarang sebelum terlambat
supaya menjadi anak yang soleh. Sebelum peringkat itu, mula-mula
kenalah jadikan kita dulu anak yang soleh, anak yang suka mendoakan
kedua ibu bapanya.
........................................
18 Januari 2002