Sorry, your browser doesn't support Java(tm).

Kasih Ibu

GAYA hidup bebas, pergaulan tanpa batas dan hidup bertunjangkan mata benda di Barat menjarakkan hubungan di antara ibu, ayah dan anak-anak. Justeru kerana banyaknya anak-anak dilahirkan di luar nikah, hubungan hati antara ibu dan anak tidak wujud. Keakraban pun luntur.

"Pertalian yang ada sekadar perasaan ibu melahirkan saya dan saya harus memanggilnya emak. Tetapi, saya punya hak menentukan masa depan sendiri tanpa campur tangan mereka. Cukup usia 18, rumah ibu ditinggalkan lalu beralih angin menetap bersama kekasih tanpa berkahwin. Natijahnya, akan lahir anak-anak luar nikah yang lain. Dan, senario ini berterusan tanpa kesudahan.

Kelahiran anak luar nikah yang berleluasan di Barat meneruskan senario hilangnya hubungan hati ibu dan anak. Justeru Barat memilih satu hari khusus untuk merapatkan jurang antara ibu dan anak dengan memperkenalkan 'Hari Ibu'. Harapan mereka, usaha ini akan menyedarkan anak-anak untuk sekurang-kurangnya mengingati ibu mereka walaupun sehari dalam setahun dengan mengunjungi ibu, memberi hadiah atau makan bersama. Memandangkan, usaha ini memanglah satu usaha yang murni, maka negara-negara lain menerapkan dan meraikan 'Hari Ibu' sebagai satu hari yang istimewa.

Sungguhpun dalam konsep Islam, ibu memang sudah sediakala diletakkan pada tingkatan tertinggi dan sama halnya dengan budaya Melayu yang lazimnya berteraskan Islam, maka kehadiran Hari Ibu tidak menjadi halangan untuk dipraktikkan kerana kemurnian yang terkandung di dalamnya tidak melanggar syariat Islam. Namun, Islam tidaklah menekankan bahawa ibu itu harus diingat hanya satu hari itu sahaja dan tidak pada hari-hari yang lain. Ibu di mata Islam seharusnya diingati dan ditaati sepanjang masa.

Kedudukan ibu yang mulia termaktub dalam kitab suci al-Quran. Kemuncak kecemerlangan al-Quran ialah ibu Nabi Musa. Demi kasihnya terhadap anak, beliau sanggup menghanyutkan anaknya di Sungai Nil untuk menyelamatkannya daripada kekejaman Firaun walaupun akhirnya Nabi Musa menjadi anak angkat Firaun. Begitu dengan kisah Siti Hajar, ibu Nabi Ismail, rela berkorban ditinggalkan di kawasan kering kontang. Siti Aminah, ibu Nabi Muhammad s.a.w berseorangan mendidik anak kerana suaminya meninggal sewaktu beliau mengandung dua bulan dan banyak lagi kisah-kisah mengenai wanita sekali gus ibu diangkat dalam al-Quran,'' kata penceramah bebas, Ustaz Hassan Mahmud Al Hafiz.

Kedudukan ibu yang tinggi dalam Islam tidak boleh dipertikaikan kerana secara logiknya kita dapat menerima bahawa hubungan kasih sayang antara ibu dan anak adalah bersih semata-mata kerana Allah. Ia lahir secara semula jadi tanpa paksaan. Kerana kasih ini juga, ibu sanggup kuburkan keperluan fizikal, emosi dan mental sendiri. Kepentingan sendiri sering diabaikan kerana mendahulukan kepentingan orang lain khususnya anak-anak. Ibu lebih banyak memberi daripada menerima, sambung beliau lagi.

Sememangnya terlalu banyak bukti-bukti dan contoh-contoh dalam Islam yang menyanjung tinggi kaum ibu. Menurut Ustaz Hassan lagi, surah Al-Fatihah juga dinamakan ibu al-Quran. Ini adalah untuk memahamkan orang ramai bahawa ketika bersembahyang, mula-mula sekali yang dibaca adalah ibu Quran. Secara abstrak, ternyata ibu adalah orang pertama yang sepatutnya kita tumpahkan kasih sayang dan rindu.

Malah dalam syair sekalipun, kebanyakan pengarang menjadikan 'ibu' sebagai sumber inspirasi untuk melahirkan karya-karya berbentuk kasih sayang antara ibu dan anak. Kemuncak ketinggian kedudukan wanita ini ditandai dengan hadis Rasulullah s.a.w yang menyebut bahawa, syurga itu di bawah telapak kaki ibu. Tidak pula disebut di kaki bapa atau sebagainya. Itu memang tidak boleh kita nafikan,'' ujar ustaz lagi.

Martabat seorang ibu sudah diletakkan dalam Islam di tempat yang paling tinggi dan istimewa. Kerana itulah juga Allah melarang anak-anak menderhaka terhadap ibu mereka. Waima meninggikan suara sekalipun dilarang sama sekali dan hendaklah taat pada perintah ibu selagi ibu tidak memerintahkan kita melakukan perkara-perkara mungkar, sambungnya kemudian.

Kata Ustaz Hassan lagi, pernah berlaku Rasulullah s.a.w didatangi seorang sahabat yang bertanya siapakah yang patut dia bersahabat? Selepas tiga kali menyebut ibu barulah Rasulullah s.a.w menyebut ayah. Ibu mendapat darjat yang mulia ini memandangkan dia mengandung dan melahirkan anak melalui derita atas derita. Yang dimaksudkan di sini ialah, sepanjang tempoh kehamilan sehinggalah melahirkan dan menjaga anak, ibu mengalami pelbagai kerenah, masalah dan kesakitan.

Apabila anak lahir, tumpuan sepenuhnya dicurahkan ke atas anak. Sanggup si ibu bersengkang mata sepanjang malam berjaga apabila si anak sakit atau demam. Hatta, nyamuk seekor pun tidak dibiarkan bertengger di badan anaknya. Sifat kasih sayang semula jadi yang lahir daripada naluri seorang ibu ini berkait sampai ke akhirat. Sehingga untuk seseorang anak itu masuk ke syurga juga diambil kira kebajikannya terhadap si ibu. Di padang mahsyar nanti, manusia seluruhnya menerima hakikat tersebut waima binatang sekalipun tidak membantah. Itulah hikmat seorang ibu yang menjadi insan terpilih di padang mahsyar nanti.

Tangan ajaib sang ibu

Atas sifat-sifat semula jadi dan naluri kasih sayang yang unik dimiliki oleh wanita maka Islam menggalakkan pasangan suami isteri mencari seorang wanita juga untuk mengasuh anak mereka. Malah, didikan ibu mempengaruhi keseluruhan hidup sang anak termasuklah sikap dan akhlaknya. Anak yang baik sering lahir berasaskan watak dan perangai sang ibu yang menjadi modelnya setiap saat.

"Kalau boleh setiap hari hendaklah kita bersama ibu. Jangan tunggu Hari Ibu menjelma barulah kita muncul. Tiada salahnya sambut Hari Ibu tetapi kalau boleh hari-harilah kita sambut, jangan setahun sekali. Di Barat sana, kasih sayang sudah luntur sehingga ada anak tidak kenal ibu mereka. Memang perlulah mereka mengadakan Hari Ibu supaya anak-anak ingat sikit tanpa ibu mereka tidak akan lahir ke dunia. Walau jauh sekalipun, rajin-rajinlah berziarah dan bertanyakan khabarnya. Tanyakan kesihatannya melalui telefon pun sudah menggembirakan hatinya. Lebih-lebih lagi anak lelaki yang tidak akan putus hubungannya dengan si ibu, kata ustaz tegas. Martabat seorang ibu dimuliakan lagi dengan berkat doanya.



........................................
4 Februari 2002

~~~oo0 Arkib Keluarga 0oo~~~