Sorry, your browser doesn't support Java(tm).

Menangani keruntuhan akhlak bermula di rumah

Oleh Kamaruddin Yunus

Hari ini umat Islam sibuk dengan isu keruntuhan akhlak muda mudi. Adakah ianya benar-benar berlaku di dalam masyara­kat? Ya! Memang berlaku, bahkan ke peringkat boleh menggugat keutuhan peribadi umat Islam keseluruhannya.

Pada hari ini kita sering mendengar berita tantang anak-anak yang tidak menghormati ibu bapa, bahkan sampai kepada peringkat mencederakan dan membunuh mereka, berlakunya gejala pergaulan bebas di antara lelaki dan perempuan sehingga mela­hir­kan anak luar nikah, remaja dirosakkan oleh bahan-bahan yang membahayakan tubuh badan seperti dadah, gam, ubat batuk dan lain-lain, bahkan kita sudah mendengar ada kanak-kanak sekolah yang merosakkan sekolahnya sendiri, dan kejadian melawan guru sehingga sanggup membakar rumah guru dan membakar sekolah. Ia bukanlah suatu yang pelik pada hari ini.

Rosak akhlak

Muslimin sekalian! Di manakah silapnya pemuda dan pemudi menjadi rosak akhlaknya? Banyak jawapannya yang boleh diberi­kan. Semua jawapan tersebut berkaitan di antara satu sama lain dan bantu membantu ke arah kerosakan akhlak remaja pada hari ini. Jika mahu dihuraikan satu persatu punca masalah tersebut, kita merasakan tidak mampu dipenuhi di dalam satu kali khutbah Jumaat, bahkan memerlukan beberapa siri khutbah yang lain. Cukuplah pada hari ini kita membincangkan satu faktor sahaja iaitu faktor kekeluargaan. Apabila rumahtangga sudah tidak lagi menjadi benteng kepada keutuhan akhlak anak-anak.

Muslimin sekalian! Asas pendidikan remaja adalah di rumah. Sekiranya di rumah sendiri mereka tidak mendapat asas pendidikan, maka apabila berada di luar rumah sudah tentu payah untuk membentuk peribadi muslim yang sejati kerana godaan dan pancaroba di luar sana seperti pergaulan dengan rakan-rakan yang jahat, pergaulan bebas, hiburan yang melalaikan dan sebagainya adalah lebih hebat dan mencabar. Hanya mereka yang mempunyai asas pendidikan Islam dan diwarnai oleh akhlak yang murni yang berpeluang untuk selamat, namun bukan sedikit yang tercicir di pertengahan jalan.

Muslimin sekalian! Oleh itu ajaran Islam telah menentukan cara untuk melahirkan rumahtangga Islam itu. Ajaran Islam sejati yang membuktikan tunas-tunas Islam, yang mampu tumbuh menjalar dan membesar dengan sempurna, tidak mampu dihalang dan dicantas oleh gejala maksiat yang bersimpang siur kiri dan kanan. Akan lahirlah pemuda-pe­muda dan jenerasi sebagaimana firman Allah s.w.t. dari surah al-Kahfi ayat 13 yang bermaksud: "Mereka adalah pemuda-pemuda yang beriman kepada Tuhan mereka, maka Kami (Allah) menambahkan kepada mereka dengan hidayah.” Untuk melahir­kan sebuah rumahtangga Islam yang sejati, di dalamnya terpancar kecantikan ajaran Islam, maka asas perkahwinan mestilah dibina di atas cita-cita Islam, bukan seka­dar untuk memenuhi hawa nafsu. Biarlah pasangan yang mahu berkahwin itu berniat daripada per­kahwinan mereka untuk mela­hirkan zuriat keturunan yang baik, yang akan meramai­kan umat Nabi Muhammad s.a.w., yang akan dibanggakan oleh Rasulul­lah s.a.w. di hadapan para nabi rasul yang lain, bukan sahaja kerana jumlahnya yang ramai, tetapi juga kerana mereka patuh dan tunduk kepada ajaran Allah s.w.t. Untuk mencapai tujuan tersebut, mereka yang berkeinginan mendirikan rumahtangga mestilah membuat pilihan pasangan masing-masing melalui kaca mata Islam, bukannya melalui kaca mata nafsu dan bisikan syaitan. Di dalam satu hadith, Rasulullah s.a.w. memberitahu bahawa seseorang perempuan yang dipilih untuk dijadikan isteri berdasarkan empat sifat: kerana kekayaan, kecantikannya, keturunannya dan kerana agamanya. Sekiranya semua sifat tersebut tidak ada pada diri seorang perempuan itu kecuali agamanya, maka sifat beragama yang mesti menjadi pilihan.

Mencari jodoh

Muslimin sekalian! Pada hari ini, kaum lelaki yang mahu berkahwin dan ibu bapa yang hendak mengahwinkan anak perempuan mereka, tidak lagi memberi perhatian terhadap sifat beragama dan berakhlak. Perempuan yang mahu dikahwini itu mungkin dikenali di pusat membeli belah, atau di perhentian bas, di tepi pantai atau di dalam surat khabar melalui iklan mencari jodoh. Mereka menjadikan artis, pe­nyanyi dan pelakon sebagai contoh isteri solehah. Sedangkan artis inilah perosak utama muda mudi Islam pada hari ini, kerana pakaian dan fesyen mereka menjadi ikutan muda-mudi di kota-kota dan di pendalaman. Sementara ibu bapa pula menerima sahaja lamaran untuk meminang anak gadis mereka tanpa menyelidik sama ada teruna itu sembahyang, puasa, menutup aurat atau tidak. Kita bimbang sekiranya anak gadis kita asalnya beragama, menutup aurat, sembahyang dan berakhlak mulia, apabila jatuh ke tangan lelaki yang tidak setia kepada agamanya, akan membawa fitnah kepada anak gadis kita.

Islam juga mewajibkan ibu bapa mendidik anak dengan pendidikan Islam, mengajar mereka mengenal Tuhan sekalian alam iaitu Allah s.w.t., mengajar mereka perangai yang baik, akhlak dan kesopanan, mengajar mereka ba­tas-batas halal dan haram dan ber­sikap tegas kepada anak-anak se­kiranya ada timbul bibit-bibit un­tuk cenderung kepada kejahatan, sebelum nasi menjadi bubur. Firman Allah dari surah Al-Tahrim ayat 6 yang bermaksud: "Wahai orang-orang yang beriman, jagalah diri kamu dan ahli keluarga kamu daripada azab api neraka. Bahan bakarnya terdiri daripada manusia dan batu. Penjaga­nya adalah malaikat yang kasar lagi bengis, mereka tidak melanggar perintah Allah ke atas mereka, dan mereka lakukan apa yang disuruh.”

Muslimin sekalian! Allah s.w.t. memerintahkan supaya setiap orang Islam berusaha menyelamatkan diri masing-masing dan ahli-ahli keluarga daripada azab api neraka. Bagaimanakah caranya? Caranya ialah dengan beramal menurut ajaran Islam. Suami hendaklah memastikan isteri masing-masing patuh kepada ajaran Islam pada perbuatan, percakapan, berpakaian dan melaksanakan apa yang diwajibkan oleh Allah s.w.t. dan meninggalkan apa yang dilarang. Ibu bapa hendaklah sentiasa memerhatikan tingkah laku anak-anak mereka. Menjadi kewajipan untuk bertanya, ke manakah mereka keluar, dengan siapa, bila akan pulang dan lain-lain lagi soalan berkaitan. Jangan membiarkan anak-anak melakukan apa yang mereka suka walaupun melanggar batas agama.

Betapa ramai anak-anak yang tidak sembahyang kerana berkawan 24 jam, pulang ke rumah hanya untuk tidur dan makan. Betapa ramai anak-anak yang terjebak dengan ketagihan dadah dan ganja, pil khayal dan ubat batuk kerana terpengaruh dengan kawan-kawan, pada asalnya cuma untuk cuba-cuba, tetapi apabila sudah ketagih, tidak lagi pulang ke rumah siang dan malam. Anak-anak gadis pula sudah pandai berkawan dengan lelaki walaupun masih bersekolah menengah. Anak gadis diarak ke hulu dan ke hilir dengan motosikal oleh lelaki yang bukan suaminya, sudah menjadi perkara biasa di dalam masyarakat. Ibu bapa tidak lagi mampu berbuat apa-apa, sekadar memerhatikan sahaja kelakuan anak muda mereka. Melentur buluh hendaklah bermula dari rebungnya. Itulah simpulan bahasa yang memang ada betulnya. Apabila sudah rosak, menjadi penagih dadah, mencuri, bergaul bebas sehingga melahirkan anak dan lain-lain jenayah, menyesal sudah tidak berguna lagi. Pada masa itu, menangis sudah tidak ada ertinya lagi walaupun sehingga kering air mata.

Muslimin sekalian! Anak pinak adalah harta penting yang dikurniakan oleh Allah s.w.t. Jika seseorang itu bekerja bersungguh-sungguh untuk mencari sesuap nasi, sedangkan rezeki esok hari belum dipastikan lagi, mengapakah kita mensia-siakan rezeki yang telah dikurniakan oleh Allah s.w.t. yang berupa anak, sedangkan anak itu sendiri akan menjadi pusaka yang amat berharga apabila mati kelak, sekiranya anaknya itu menjadi anak yang soleh. Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: “Apabila mati anak Adam, maka putuslah amalannya, kecuali daripada tiga perkara: Sedekah jariah, ilmu yang memberi manfaat dan anak yang baik yang mendoa untuknya.”

Soleh

Muslimin sekalian! Marilah sama-sama kita kembali kepada ajaran Islam di dalam membina rumahtangga. Suami yang baik dijadikan untuk isteri yang baik dan akan lahirlah pula anak-anak yang soleh, yang akan menjadi harta yang tidak ada galang ganti, bermanfaat semasa hidup dan sesudah mati. Itulah benteng yang paling kukuh untuk menghadapi kerosakan akhlak muda mudi pada masa ini. Firman Allah dari Surah ‘Abasa ayat 34 yang bermaksud: "Pada hari (akhirat) seseorang itu lari daripada saudaranya, emaknya dan ayahnya, isterinya dan anaknya kerana setiap orang daripada mereka pada hari itu mempunyai urusan yang menyibukkannya iaitu masing-masing bimbang sekiranya amalannya tidak cukup untuk menyelamatkan diri daripada siksa Allah s.w.t.”



........................................
28 Disember 2001

~~~oo0 Arkib Keluarga 0oo~~~