Oleh Mohd Asri Zainul Abidin
DALAM kekecohan kita mendengar berita muda mudi Melayu
terbabit dalam kegiatan maksiat yang berkaitan dengan
seks bebas dan rambang maka penyelesaian yang diajar
oleh Islam perlulah diteliti untuk difahami dan
diguna pakai.
Apa yang nyata terbabitnya seseorang dalam perzinaan
adalah disebabkan kegagalan benteng dirinya untuk
mengawal nafsu seks yang memuncak. Tahap umur remaja
adalah peringkat utama yang sangat terdedah kepada
kehausan nafsu dan perasaan ingin mencubanya.
Kita juga perlu menyedari dan mengakui bahawa suasana
dan sistem yang diguna pakai dalam masyarakat juga
tidak memiliki benteng yang kukuh dan dapat
membendung segala gejala yang berlaku itu.
Justeru, masyarakat perlu kembali sepenuhnya kepada
peraturan Islam yang syumul dan diturunkan Allah yang
menjadikan manusia. Pelaksanaan Islam secara fuzii
(serpihan) tidak dapat memberikan penyelesaian yang
sebenar kepada permasalahan itu kerana Islam perlu
dilaksanakan secara menyeluruh.
Semua perkataan Allah dan Rasul-Nya adalah benar
bahkan wajib diimani sebagai benar tanpa perbezaan
antara sesuatu arahan dengan yang lain.
Dalam menanti pengembalian umat secara total kepada
Islam, tulisan ini cuba melihat kepada satu daripada
hadis nabi yang menggariskan benteng individu
daripada mudah terjebak ke kancah seks secara haram.
Rasulullah bersabda, bermaksud: "Wahai golongan
pemuda! Sesiapa yang berkemampuan untuk al-baah maka
hendaklah dia berkahwin kerana sesungguhnya
perkahwinan itu lebih menundukkan pandangan dan
memelihara kemaluan. Sesiapa yang tidak mampu maka
hendaklah dia berpuasa kerana puasa itu penghalang
baginya (daripada syahwat)." - (Riwayat Bukhari,
Muslim, Tirmizi, Nasai, Abu Daud, Ibn Majah).
Rasulullah menunjukkan hadis di atas kepada golongan
muda yang disebut sebagai syabab (pemuda). Dalam Syarh
Sahih Muslim, Imam al-Nawawi ada menyatakan: Perkataan
syabab atau jama (kata banyak) untuk syabb dan boleh
juga dijamak dengan syubban dan syababah dan perkataan
syabab (pemuda), pada pendapat ulama al-Syafie ialah
sesiapa yang sudah berumur baligh dan belum mencapai
30 tahun.
Rasulullah memberi penekanan kepada umur sebegini
kerana ia berada pada peringkat segala-galanya
memuncak kecuali kematangan. Kebiasaannya pada
peringkat umur ini, nafsunya tinggi, semangatnya kuat,
kesanggupan untuk melakukan sesuatu juga besar,
tenaganya berlebihan, hasrat ingin mencuba timbul di
dalam pelbagai perkara namun malangnya, kebanyakan
perhitungan mereka itu singkat belaka.
Dalam Fath al-Bari bi Syarh Sahih, al-Bukhari, Ibn
Hajar al-Asqalani pernah berkata: "Digalakkan golongan
muda berkahwin kerana pada mereka ada kekuatan
yang mendorong kepada perkahwinan. Ini berbeza jika
dibandingkan dengan golongan tua. Namun begitu, jika
perkara yang sama ada pada golongan tua maka mereka
termasuk dalam maksud hadis ini."
Justeru, Islam memberikan perhatian yang istimewa
dalam membentuk pemuda. Dalam surah al-Kahfi umpamanya
ada menceritakan sejarah perjuangan kalangan pemuda.
Jika golongan pemuda dididik dengan betul maka umat
akan teguh, sebaliknya jika golongan ini berjaya
dimusnahkan oleh musuh Allah seperti yang berlaku
pada hari ini dengan sogokan hiburan yang merosakkan
maka umat pun akan hilang kekuatan dan bisanya.
Rasulullah bersabda, maksudnya: "Sesiapa yang
berkemampuan untuk al-baah (berkahwin) maka hendaklah
dia berkahwin." Kalangan ulama secara umumnya
mempunyai dua pendapat mengenai makna al-baah iaitu
kemampuan berkahwin seperti disebutkan di dalam hadis
di atas.
Pendapat pertama dan paling sahih: Mengikut bahasa
Arab, al-baah bermaksud jimak seperti, iaitu sesiapa
yang mampu melakukan jimak dengan menyediakan
keperluan perkahwinan maka hendaklah dia berkahwin.
Justeru, sesiapa yang tidak mampu berjimak kerana dia
tidak mampu menyediakan keperluan perkahwinan maka
hendaklah dia berpuasa. Pendapat ini sesuai dengan
ucapan yang ditujukan kepada pemuda yang mempunyai
perasaan syahwah yang kuat terhadap perempuan. Maka
munasabah perkara jimak ini dipertegaskan.
Pendapat kedua: Al-baah bermaksud keperluan
perkahwinan iaitu sesiapa yang mampu menyediakannya
maka hendaklah dia berkahwin dan sesiapa yang tidak
mampu hendaklah dia berpuasa untuk menahan syahwatnya.
Punca yang menyebabkan pendapat ini dikemukakan ialah
kerana kata mereka hadis itu me-nyebut mengenai puasa
untuk menghalang nafsu sedangkan mereka yang mampu
berjimak tidak perlu berpuasa untuk memelihara nafsu.
Namun golongan pertama menjawab pendapat berkenaan
berdasarkan apa yang mereka kemukakan iaitu sesiapa
yang tidak mampu berjimak disebabkan tidak mampu
menyediakan keperluan perkahwinan. Sebenarnya seperti
kata al-Imam al-Nawawi di dalam Syarh Sahih Muslim:
Perbezaan pendapat di atas hanya membawa kepada maksud
yang sama.
Kesimpulannya, apabila seseorang itu mempunyai
kemampuan jimak dan keperluan membina rumah tangga
maka Rasulullah memerintahkan agar dia segera
berkahwin. Perkataan al-nikah itu sebenarnya datang
daripada istilah: "Lafaz yang mengandungi maksud
mengharuskan bersuka-suka kedua-dua suami isteri
antara satu sama lain dalam bentuk yang diizinkan
syarak."
Rasulullah bersabda: "Sesungguhnya, perkahwinan itu
lebih menundukkan pandangan dan memelihara kemaluan."
Justeru, dengan adanya perkahwinan yang halal maka
wujud tempat untuk mencurahkan syahwat dengan cara
yang baik dan halal. Tekanan perasaan keinginan dan
nafsu yang terkumpul dalam diri dapat diluahkan dengan
cara yang diredai Allah. Rasulullah bersabda,
maksudnya: "Apabila seseorang kamu terpaut (rasa
kagum) dengan seseorang perempuan lalu memberi kesan
dalam hatinya maka hendaklah dia mendapatkan isteri
dan menyetubuhinya kerana itu boleh menghilangkan apa
yang ada dalam dirinya" - (Riwayat Muslim).
Oleh itu kewujudan isteri yang sah dapat memelihara
larangan Allah yang bersangkutan dengan kemaluan dan
mata. Justeru, ibu bapa yang mendapati anak
mereka terlalu inginkan perkahwinan maka hendaklah
segera diuruskan bagi menyahut seruan Rasulullah.
Urusan perkahwinan pula hendaklah dipermudahkan dengan
berpandukan syariat. Kadangkala kesukaran menuju ke
gerbang perkahwinan itu menyebabkan sebahagian manusia
mencari ruang yang haram. Ini disebabkan kelemahan
diri dan tidak terdaya melawan tuntutan nafsu.
Segala adat istiadat perkahwinan yang menyanggahi
sunnah hendaklah dihapuskan agar perkahwinan
dipermudahkan. Antaranya, meninggikan hantaran
perkahwinan, ini sangat menyusahkan urusan yang halal
sedangkan agama meminta agar mahar tidak ditinggikan.
Ibn Taimiyah dalam al-Fatwa al-Kubra berkata: "Menjadi
suatu sunnah agar dimurahkan mahar." Seterusnya,
baginda bersabda: "Sesiapa yang tidak mampu
maka hendaklah dia berpuasa kerana puasa penghalang
untuknya (daripada syahwat)."
Bagi sesiapa yang belum mampu berkahwin disebabkan
keadaan kemampuannya maka syarak menggalakkan dia
berpuasa. Daripada hadis itu juga dapat difahami
bahawa puasa mempunyai fungsi yang kuat dalam
melenturkan kerakusan nafsu. Menurut Ibn Hajar
al-Asqalani dalam Fath al-Bari: "Hadis ini menjadi
dalil bahawa sesiapa tidak mampu berjimak maka dia
diminta meninggalkan perkahwinan."
Maka dalam al-Majmu' Syarh al-Muhazzah disebut:
"Sesungguhnya apabila seorang daripada suami atau
isteri mendapati kecacatan pada pasangannya maka
dia memiliki hak membuat pemilihan ikatan perkahwinan.
Kecacatan yang berhak untuk dirongkaikan perkahwinan
itu lima perkara, tiga daripadanya membabitkan suami
isteri dan dua daripadanya hanya pada suami atau dua
hanya pada isteri. Ada pun tiga yang membabitkan suami
isteri ialah: gila, kusta dan sopak. Ada pun dua yang
berkait dengan suami ialah: putusnya zakar dan mati
pucuk. Ada pun yang berkait dengan isteri ialah
al-Qarn (iaitu tertutupnya lubang faraj dengan tulang
yang menghalang jimak) dan al-Ratq (tertutupnya lubang
faraj dengan daging yang menghalang jimak).
Dengan itu juga, dalam konteks zaman ini, sesiapa yang
menghidap penyakit Aids maka pasangannya berhak
memutuskan perkahwinan kerana persetubuhan
dengannya boleh membawa kemudaratan.
Bagi yang berkemampuan jimak tetapi tidak memiliki
keperluan nikah yang cukup maka dia dituntut berpuasa.
Di dalam al-Fatwa al-Kubra, Ibn Taimiyah ketika
ditanya mengenai perlukah seseorang yang tidak mampu
menyediakan keperluan perkahwinan itu meminjam untuk
berkahwin, beliau menjawab: "Sesungguhnya Allah
berfirman, maksudnya: "Dan orang yang tidak mampu
berkahwin hendaklah mereka menjaga kehormatan
diri sehingga Allah memberikan kemampuan kepada mereka
dengan kurnia-Nya" (An-Nur: 33).
Daripada segi lain, kita juga dapat memahami bagaimana
cara Islam menangani sesuatu perkara. Islam
mengharamkan zina tetapi mengizinkan perkahwinan
yang sah, mencegah insan mukmin daripada terbabit
dalam kancah maksiat sekali gus mencadangkan cara dan
langkah mengatasinya.
........................................
13 Januari 2002