Pengenalan Dan Keputusan Saya bertemu dengan orang Islam buat pertama
kalinya semasa sedang menghabiskan ijazah di dalam bidang Rekreasi. Saya
membuat pra-pendaftaran subjek untuk semester tersebut dan pergi ke
Oklahoma untuk mengendalikan urusan keluarga. Urusan tersebut
menyebabkan
saya lewat hampir dua minggu dan oleh yang demikian, tidak dapat lagi
membuang mana-mana subjek. Walaupun lewat, saya tidaklah risaukan
pelajaran
yang terlepas kerana saya adalah pelajar terbaik di dalam bidang
berkenaan. Saya telah memenangi berbagai 'award' walaupun hanya seorang
pelajar dan mampu bersaing dengan para professional. Seperkara yang anda
harus faham,
walaupun saya belajar dan cemerlang di kolej, menjalankan perniagaan
sendiri dan mempunyai ramai teman rapat, saya adalah seorang yang amat
pemalu. Saya lambat untuk mengenali seseorang dan jarang bercakap
kecuali
jika terpaksa, atau kerana sudah mengenali orang tersebut. Saya hanya
merasa selesa di kalangan kanak-kanak. Kembali kepada cerita saya.
Cetakan
komputer pendaftaran semester tersebut menyebabkan saya amat
terperanjat.
Saya telah didaftarkan untuk kelas Teater.. sebuah kelas di mana saya
dikehendaki membuat persembahan di hadapan orang ramai!.
Saya tidak mampuwalau untuk bertanyakan soalan di dalam kelas, apatah
lagi
untuk naik ke atas pentas di hadapan orang ramai? Suami saya, seperti
biasa dengan sikap tenangnya menyarankan supaya saya menerangkan masalah
kepada guru berkenaan dan akhirnya beliau bersetuju mencari jalan untuk
membantu. Maka saya pun pergi ke kelas pada Selasa berikutnya.. Apabila
hendak memasuki kelas, saya mendapat 'kejutan' yang kedua. Kelas
tersebut
penuh dengan orang-orang Arab dan "penunggang unta". Saya tidak pernah
berjumpa mereka tapi pernah mendengar tentangnya. Tidak mungkin saya
akan
duduk sekelas dengan 'kafir-kafir kotor' ini! Manalah tahu, mungkin saya
akan dijangkiti penyakit daripada mereka. Semua orang tahu mereka itu
kotor dan tidak boleh dipercayai. Saya lantas menutup pintu dan pulang
ke
rumah. (Ada satu perkara yang perlu anda tahu. Pada masa itu saya
memakai
skirt pendek kulit, baju singkat dan terdapat segelas wain di tangan
saya... tapi merekalah yang dianggap jahat dalam fikiran saya).
Apabila saya memberitahu suami saya tentang orang-orang Arab di dalam
kelas dan tidak mungkin saya kembali ke kelas, suami saya dengan
tenangnya
mengingatkan bahawa Tuhan mempunyai sebab untuk segalanya dan mungkin
saya
patut mengambil masa berfikir sebelum membuat keputusan. Dia juga
mengingatkan yang saya tentang
tajaan biasiswa yang membayar tuisyen saya dan saya perlu mengekalkan
G. P. A saya atau memusnahkan segala peluang saya. Saya berdoa untuk
petunjuk selama dua hari. Saya kembali ke kelas pada hari Khamis dengan
keyakinan bahawa Tuhan meletakkan saya di situ untuk menyelamatkan
orang-orang Kafir bodoh itu daripada api neraka. Saya terus menerangkan
kepada mereka bahawa mereka akan dibakar api neraka buat
selama-selamanya
sekiranya tidak menerima Jesus sebagai penyelamat. Mereka mendengar
dengan
sopan, tetapi tidak menukar pegangan. Saya terus mencuba untuk mengubah
pegangan mereka tetapi tidak berjaya. Jadi saya mengambil keputusan
membaca sendiri buku mereka untuk membuktikan bahawa Islam adalah agama
palsu dan Mohammed
adalah tuhan palsu.
Salah seorang pelajar di situ memberikan saya sesalinan Quran dan buku
mengenai Islam, dan saya pun memulakan kajian. Saya pasti bahawa saya
akan
menemui bukti hujah saya dengan cepat. Saya membaca Quran dan buku
tersebut dan 15 lagi buah buku, Sahih Muslim, dan kembali kepada Quran.
Saya begitu bersungguh-sungguh untuk menukar agama mereka. Kajian
tersebut
berlanjutan sehingga satu setengah tahun. Dalam masa tersebut,
saya mula menghadapi masalah dengan suami saya. Saya makin berubah,
walaupun sedikit tetapi cukup untuk mengganggunya. Kami selalu pergi ke
bar setiap Jumaat dan Sabut, atau ke parti, tetapi saya tidak lagi ingin
ke
sana. Saya menjadi semakin pendiam dan dingin. Dia yakin saya ada
hubungan
dengan orang lain dan menghalau saya keluar. Saya berpindah ke sebuah
apartmen dengan anak-anak dan meneruskan usaha dengan bersungguh-sungguh
untuk menukar agama para Muslim tersebut ke Kristian.
Pada suatu hari, seseorang mengetuk pintu rumah saya. Apabila dibuka
saya
mendapati terdapat seorang lelaki yang memakai baju tidur panjang
berwarna
putih dengan alas meja berkotak warna merah putih di atas kepalanya. Dia
ditemani tiga lagi lelaki yang juga memakai pajama. (Itulah kali pertama
saya melihat mereka memakai baju Kebangsaan mereka). Saya mulanya merasa
agak marah kerana mereka hanya datang dengan pakaian tidur. Mereka
fikirkan saya ini wanita jenis apa? Tidakkah mereka ada rasa malu dan
harga diri? Bayangkan betapa terperanjatnya saya apabila si lelaki yang
memakai alas meja di kepala itu mengatakan bahawa mereka difahamkan yang
saya ingin menjadi seorang Muslim.
Saya dengan pantas menjawab yang saya tidak mahu menjadi Muslim. Saya
adalah seorang Kristian. Walaubagaimanapun, saya ada beberapa
kemusykilan.
Itupun kalau mereka ada masa.... Namanya ialah Abdul Aziz Al-Shiek dan
dia
sudi meluangkan masanya. Dia sangat sabar dan membincangkan setiap
soalan
bersama saya. Dia tidak pernah membuat saya rasa bodoh atau mengatakan
soalan saya itu remeh. Dia bertanya adakah saya percaya bahawa Tuhan
hanya
satu dan saya berkata ya. Kemudian adakah saya percaya bahawa Mohammad
itu
PesuruhNya?. Lagi sekali saya mengatakan ya. Dia memberitahu saya bahawa
saya sudahpun menjadi Muslim! Saya tetap bertegas bahawa saya adalah
Kristian. Saya hanya mencuba memahami Islam. (Dalam hati saya berfikir :
Tidak mungkin saya seorang Muslim! Saya adalah orang Amerika dan
berbangsa
kulit putih! Apa suami saya akan kata? Jika saya Muslim, saya harus
menceraikan suami saya. Matilah keluarga saya!).
Kami meneruskan perbualan. Dia kemudiannya menerangkan yang untuk
mencapai
pengetahuan dan pemahaman
rohani adalah seperti mendaki tangga. Jika kita mendaki dan cuba "skip"
beberapa anak tangga, maka kita dalam keadaan bahaya dan berkemungkinan
jatuh. Mengucap Shahadah adalah hanya langkah pertama pada tangga
tersebut. Kami ada banyak lagi yang perlu dibualkan. Pada petang
tersebut,
saya mengucap Shahadah. Walaubagaimanapun ada beberapa perkara yang
masih
belum dapat saya terima dan memang sifat semulajadi saya untuk
berterus-terang lalu saya meletakkan "disclaimer" pada Shahadah saya.
Saya
berkata " Saya naik saksi bahawa tiada Tuhan selain Allah dan Mohammad
adalah PesuruhNya tetapi, saya tidak sesekali akan menutup rambut saya
dan
jika suami saya kahwin lain, saya akan "castrate" (mengkasi telur) dia".
Saya mendengar lain-lain lelaki di situ menarik nafas terkejut, tetapi
Abdul Aziz menyuruh mereka diam. Kemudiannya saya dapat tahu dia
memberitahu rakan-rakanya jangan sesekali membincangkan dua perkara itu
dengan saya. Dia yakin saya sendiri akan faham tentang perkara tersebut.
Shahadah sememangnya langkah paling mantap dalam tangga mencapai
pengetahuan rohani dan mendekatkan diri kepada Allah tetapi pendakian
saya
agak perlahan. Abdul Aziz berterusan datang menziarahi saya dan menjawab
soalan-soalan saya. Dia tidak pernah mencela saya atas soalan-soalan
yang
mungkin dianggap bodoh atau remeh. Dia memberitahu saya soalan yang
bodoh
ialah soalan yang tidak pernah ditanya. Hmm... nenek saya juga selalu
berkata begitu. Dia menerangkan bahawa Allah menyuruh kita mencari ilmu
dan bertanya adalah salah satu cara untuk mendapatkannya. Pada
tahun-tahun
seterusnya, saya telah mendapat ramai guru. Setiap satunya adalah
istimewa
dan berlainan antara satu sama lain. Setiap guru telah membantu saya
mencintai Islam. Apabila pengetahuan saya bertambah, perubahan pada diri
saya makin bertambah. Pada tahun pertama saya memeluk Islam, saya
telahpun
memakai hijab. Saya tidak tahu bagaimana ianya bermula. Segalanya datang
dengan semulajadi, dengan pemahaman dan pengetahuan yang kian bertambah.
Saya juga menjadi penyokong kepada poligami. Saya tahu yang sekiranya
Allah membenarkannya, maka tentu ada sesuatu yang baik di sebaliknya.
Semasa saya mula mempelajari Islam, saya tidak menyangka saya akan
berjumpa sesuatu yang saya perlu atau mahu dalam kehidupan peribadi
saya.
Saya sama sekali tidak menyangka Islam akan merubah hidup saya. Tiada
manusia yang boleh menyakinkan saya bahawa pada satu hari saya akhirnya
akan berasa tenang dan hidup penuh cinta dan keriangan semata-mata
kerana
Islam. Bagaimana Islam mengubah cara hidup saya "Kita akan lebih
menghargai cahaya.. sekiranya kita pernah hidup dalam kegelapan"
Semasa saya mula memeluk Islam, saya tidak menyangka ianya akan memberi
kesan kepada hidup saya. Islam tidak hanya membawa kesan, bahkan ia
mengubah kehidupan saya sepenuhnya. Kehidupan berkeluarga : Saya dan
suami
saya amat mencintai satu sama lain. Cinta itu masih wujud. Tetapi
apabila
saya mula mempelajari Islam, kami mula menghadapi masalah. Pada masa itu
saya tidak sedar yang saya sedang berubah. Dia menganggap sesatunya
perkara yang menyebabkan saya berubah ialah lelaki lain. Saya tidak
dapat
membuatkan dia faham apa yang telah merubah saya kerana saya sendiri
tidak
tahu. Setelah saya sedar yang saya adalah seorang Muslim, ianya masih
tidak membantu. Lagipun... sesatunya sebab yang boleh membuat seseorang
wanita mengubah sesuatu yang penting
seperti agamanya mestilah kerana seorang lelaki. Dia tidak menjumpai
sebarang bukti berkenaan lelaki khayalan ini... tetapi ianya dianggap
pasti
wujud.
Perkahwinan kami berakhir dengan perceraian yang buruk. Mahkamah membuat
keputusan bahawa agama yang bukan ortodoks (seperti Islam) akan
mencacatkan perkembangan anak-anak kami. Maka mereka telah diambil dari
jagaan saya. Semasa proses perceraian, ada suatu ketika di mana saya
diberitahu yang saya mempunyai pilihan. Saya boleh meninggalkan agama
ini
dan kekal dengan anak saya, atau meninggalkan anak saya dan kekal dengan
agama ini. Saya sungguh terkejut. Bagi saya ini bukanlah pilihan.
Sekiranya saya meninggalkan Islam, saya akan mengajar anak saya untuk
bersikap berpura-pura.... kerana saya tidak dapat menyangkal apa yang ada
di dalam
hati saya.
Saya tidak dapat meninggalkan Allah, buat masa itu mahupun
selama-lamaya.
Saya berdoa dengan sesungguh hati. Selepas tempoh masa 30 minit itu
berakhir, saya tahu bahawa.. tiada tempat yang paling selamat bagi
anak-anak saya melainkan di bawah lindungan Allah. Sekiranya saya
meninggalkanNya, maka pada masa hadapan hilanglah jalan untuk saya
menunjukkan kepada anak-anak saya keajaiban bersama Allah. Mahkamah
diberitahu yang saya akan meninggalkan anak-anak saya di dalam tangan
Allah. Jadi ini bukanlah bermakna saya telah menolak anak-anak saya.
Saya
meninggalkan mahkamah dengan kesedaran yang saya akan menderita tanpa
anak-anak saya. Hati saya berdarah, walaupun saya tahu saya telah
membuat
keputusan yang betul. Saya mendapat kedamaian di dalam Ayat-Ul-Kursi.
Hak
penjagaan anak dan perceraian bukanlah sesatunya masalah yang terpaksa
saya hadapi. Kesemua keluarga saya tidak dapat menerima pilihan saya.
Kebanyakan daripada mereka tidak mahu langsung mengambil tahu lagi hal
saya.
Ibu saya menganggap saya sedang melalui satu fasa ("phase") dan lambat
laun akan keluar daripadanya. Kakak saya "pakar kesihatan mental"
percaya
saya telah gila dan patut disumbat ke hospital gila. Bapa saya
menganggap
saya patut dibunuh sebelum saya jatuh lebih jauh ke dalam Neraka.
Tiba-tiba saya mendapati diri saya tanpa suami dan keluarga. Apa pula
lagi
yang akan saya hadapi selepas ini? Sahabat-handai Kebanyakan
sahabat-handai saya menjauhkan diri dari semasa tahun pertama lagi.
Sudah
tidak seronok bergaul dengan saya. Saya tidak mahu ke parti atau bar.
Saya
tidak berminat mencari teman lelaki. Apa yang saya buat hanya membaca
Quran dan bercakap tentang
Islam. Sungguh membosankan. Pada masa itu saya masih belum mempunyai
pengetahuan yang cukup untuk memahamkan mereka betapa indahnya Islam.
Pekerjaan : Saya juga kehilangan pekerjaan. Walaupun saya telah
memenangi
pelbagai anugerah dalam bidang saya dan diiktiraf sebagai "trend setter"
dan mampu menghasilkan wang, hari saya memakai hijab adalah hari akhir
bagi pekerjaan saya. Saya sekarang tidak mempunyai keluarga, kawan
mahupun
pekerjaan.
Dalam semua keadaan ini, cahaya di dalam hidup saya ialah nenek. Dia
sukakan pilihan saya dan menyertai saya. Saya tahu nenek saya memang
seorang yang amat bijaksana. Sejurus selepas itu beliau meninggal dunia.
Apabila saya fikirkan kembali, saya hampir merasa cemburu. Pada hari
beliau mengucapkan Shahadah, kesemua amalan buruknya terhapus manakala
amalan baiknya dipelihara. Beliau meninggal tidak berapa lama selepas
memeluk Islam dan saya tahu BUKUnya akan berat di sebelah kebaikan. Itu
sudah cukup menggembirakan saya. Apabila pengetahuan saya semakin
bertambah dan saya dapat menjawab soalan-soalan dengan lebih baik,
banyak
perkara berubah. Tetapi impak paling besar ialah perubahan pada diri
saya.
Beberapa tahun selepas saya mengisytiharkan keislaman saya pada umum,
ibu
saya menelefon dan mengatakan dia tidak tahu mengenai Islam tetapi dia
berharap saya akan kekal dengannya. Dis sukakan perubahan pada diri
saya.
Beberapa tahun kemudian dia menelefon lagi dan bertanya apa yang perlu
dia
lakukan untuk menjadi seorang Muslim. Saya memberitahunya apa yang perlu
dibuat ialah mengetahui yang hanya ada satu Tuhan dan Muhammad ialah
pesuruhNya. Jawapan yang diberikannya "Orang bodoh pun tahu itu.. tapi
apa
yang perlu dibuat sebenarnya?" Saya mengulang kembali apa yang telah
saya
katakan dan dia berkata :"OK.. tapi tak perlulah beritahu ayah lagi". Dia
tidak tahu yang ayah saya telah berbual perkara yang sama beberapa
minggu
sebelum itu. Bapa kandung saya pula telah melakukannya dua bulan
sebelumnya. Kemudian, kakak saya (si pakar mental) itu memberitahu yang
saya adalah orang yang paling 'bebas' yang dia pernah kenali. Itulah
pujian paling bermakna yang saya terima kerana ianya datang daripada
dia.
Ramai lagi anggota keluarga saya yang telah menemui Islam saban tahun.
Saya paling gembira apabila mendengar berita bahawa bekas suami saya
juga
telah memeluk Islam. Apabila ditanya mengapa, dia berkata yang dia telah
memerhatikan saya selama 16 tahun dan dia mahukan anak perempuannya
mendapat apa yang saya ada. Dia datang dan memohon maaf atas
perbuatannya
yang lalu. Saya telah lama memaafkannya. Anak lelaki sulung saya juga
telah mengumumkan bahawa dia akan memeluk Islam. Saya telah dikenali
kerana ceramah-ceramah yang saya berikan mengenai Islam, dan ramai
pendengar yang telah memilih untuk menjadi Muslim. Ketenangan dalam jiwa
saya terus bertambah dengan pengetahuan dan keyakinan saya terhadap
kebijaksanaan Allah. Saya tahu Allah bukan sahaja Pencipta kita, tetapi
juga sahabat yang paling akrab. Saya tahu Allah akan sentiasa berada di
sisi saya dan tak akan menolak kita. Bagi setiap satu langkah saya
kepadaNya, Dia datang dengan 10. Allah juga telah menguji saya, dan
sebagaimana yang dijanjikan, memberikan anugerah lebih daripada apa yang
saya harapkan. Beberapa tahun lalu, doktor memberitahu yang saya
menghidap
kanser di peringkat serius. Mereka mengatakan tiada lagi penawar kerana
ia
terlalu 'advanced' dan menyiapsediakan saya untuk menghadapi kematian.
Saya mungkin hanya ada satu tahun untuk hidup. Saya risaukan anak-anak
saya, terutamanya yang paling kecil. Siapa yang akan menjaganya?
Walaubagaimanapun saya tidak bersedih. Kita semua akan mati. Saya yakin
kesakitan yang saya tanggung ini mengandungi hikmahNya. Saya tidak
mengambil masa yang lama untuk menyedari akan RahmatNya. Sahabat-handai
tiba-tiba hadir entah dari mana. Saya dikurniakan kesempatan menunaikan
Haji. Yang lebih pentingnya, saya belajar betapa pentingnya bagi saya
berkongsi kebenaran Islam dengan semua orang. Saya tidak kisah samada
manusia, Muslim atau tidak, bersetuju atau sukakan saya. Saya hanya
perlukan keredhaan Allah. Kasih-sayang yang saya mahukan hanya dari
Allah.
Tetapi, saya mendapati orang ramai, yang tanpa sebarang sebab yang
nyata,
telah menyayangi saya. Saya bersyukur, kerana saya pernah membaca,
sekiranya Allah menyayangi seseorang, Dia akan membuatkan manusia juga
mencintai orang itu. Saya tidak layak menerima semua kasih sayang itu.
Pastinya ini adalah salah satu hadiah lagi daripada Allah. Tiada kata
untuk saya menerangkan bagaimana berubahnya hidup saya. Alhamdulillah!
Saya amat gembira saya adalah seorang Muslim. Islam adalah hidup saya.
Islam adalah
denyutan jantung saya. Islam adalah darah yang mengalir dalam diri saya.
Islam adalah kekuatan saya. Islam menjadikan hidup saya indah dan
gemilang. Tanpa Islam, saya tiada apa dan sekiranya Allah berpaling dari
saya, saya
tidak akan hidup.
Maha Suci Allah
Aminah Assilmi
........................................
16 Februari 2002