Sebagai bilal pengurusan jenazah, banyak pengalaman yang telah saya
tempuhi. Ada di antaranya yang cukup menyedihkan. Tidak kurang juga
yang benar-benar memberi keinsafan.
Salah satu daripada pengalaman-pengalaman itu membabitkan masalah
kain kapan tidak muat pada hal mayat yang hendak di kapankan bersaiz
kecil. Ini bertentangan dengan satu lagi mayat yang saya uruskan, di
mana kain kapannya mencukupi walapun orangnya berbadan tinggi dan
gemuk.
Sepanjang pengelaman saya dalam pengurusan jenazah sejak lebih 30
tahun lalu, saya mengunakan kain kapan sebanyak 24 ela untuk
mengapankan mayat. Jumlah itu selalunya mencukupi tidak kira sama
ada mayat bersaiz besar atau kecil, gemuk atau kurus. Tetapi sewaktu
menguruskan satu jenazah di negeri Selangor beberapa tahun lalu, kain
kapan sebanyak 24 ela yang saya sediakan itu tidak mencukupi pada hal
mayatnya kecil sahaja. Mayat itu berkeadaan biasa, berbadan kurus
dengan ketinggian lebih kurang lima kaki. Saya di beritahu arwah
meninggal dunia kerana sakit jantung. Orangnya sudah tua, umurnya
sekitar 60-an.Seperti biasa sebelum memandikan mayat, saya memotong
dahulu kain kapannya sebanyak tiga keping. Panjangnya mengikut
ketinggian arwah kemudian di tambah satu hasta di hujung kepala dan
satu hasta di hujung kaki. Selepas semuanya siap disusun, saya mula
memandikan arwah dengan bantuan adik saya, Rafeah. Tiada keanehan
ketara
berlaku semasa arwah di mandikan, cuma mukanya agak kuning dan
najisnya, Maha Suci Allah amat banyak. Makin dikorek makin banyak
yang keluar.
"Eh, ada lagi najis", kata adik saya Rafeah kehairanan. Selalunya
tidak sampai setengah jam, najis sudah habis keluar tetapi yang ini,
lebih 45 minit baru habis. Setelah lebih dua jam berlalu, baru
selesai tugas kami memandikan mayat itu. Selalunya satu setengah jam
sudah mencukupi.
Bila semuanya sudah bersih, arwah dipindahkan untuk dikapan. Sebaik
sahaja arwah diletakkan ke atas kain kapan, saya terperanjat besar
bila mendapati kain putih yang saya sediakan tadi tidak muat. Entah
macam mana kain kapan di hujung kepala dan di hujung kakinya cuma
tinggal satu jari sahaja.
"Eh, kenapa tak cukup. Takkan salah potong", saya berkata pada adik
saya. Wajahnya turut berkerut kehairanan bila mendapati kain kapan
yang kami sediakan itu tidak muat. Kami berdua sama-sama bingung dan
bertanya-tanya di mana silapnya. Nak katakan saya tersalah ukur
semasa memotong tadi, mustahil. Rafeah sendiri menyaksikan dan
membantu saya memotong kain itu. Sudah bertahun-tahun kami berdua
melakukan perkerjaan ini, tidak mungkin kami tersalah potong. Nak
katakan pembekal kain bersalah ukur, juga tidak mungkin. Sebelum
memotong, kami mengukur terlebih dahulu kain kapan itu dan
mendapatinya cukup 24 ela. Setiap kali berlaku kematian, orang yang
sama itulah yang membekalkan kain kapan kepada saya. Tidak mungkin
dia tersalah ukur. Saya mula berkecimpung dalam pengurusan jenazah
sejak berusia 17 tahun lagi. Waktu itu saya mengikut nenek saya
menguruskan jenazah di kawasan Klang sebelum di lantik sebagai bilal
pengurusan jenazah wanita oleh Jabatan Agama Islam Selangor pada
tahun 1973.
Sepanjang tempoh pembabitan saya dalam bidang itu, inilah kali
pertama saya berdepan dengan masalah saya berdepan dengan masalah
kain kapan tidak muat. Mungkin inilah yang dikatakan habuan dan
bahagian masing-masing. Entah apa amalan arwah semasa hayatnya hanya
Tuhan sahaja yang mengetahui. Semoga Tuhan mengampunkan segala
dosanya dan mencucuri rahmat di atas rohnya. Untuk menambah kain
putih yang lain, dah tak ada. Kain yang saya bawa itu semuanya
sudah di pakai, tiada lagi saki-bakinya. Mahu tak mahu mayat arwah
dikapankan juga menggunakan apa yang ada. Maha Suci Allah, saya
sekali lagi teperanjat beser bila mendapati kain kapan itu tidak
mencukupi untuk membungkus mayat arwah. Bahagian tengahnya ternganga
seperti membungkus nasi lemak. Selalunya kain kapan yang saya
sediakan boleh menutup hingga ke bahagian tepi. Puas saya tarik
untuk cuba menutup bahagian yang ternganga tetapi gagal. Untuk
mengatasi masalah itu, saya terpaksa menggunakan kapas untuk menutup
bahagian yang ternganga sebelum mengikatnya kemas-kemas.
Sebaik sahaja selesai kerja-kerja mengapan, arwah disembahyangkan
kemudian dibawa ke tanah perkuburan. Dan dengan itu selesailah
kewajiban saya. Namun cerita-cerita daripada salah seorang yang
membantu kerja-kerja pengebumian jenazah membuatkan diri saya menjadi
bertambah bingung. Menurutnya, semasa jenazah hendak dikebumikan,
satu keanehan berlaku yang benar-benar memberi keinsafan kepada
sesiapa sahaja yang hadir. Ketika jenazah diturunkan, liang lahad
yang disediakan didapati tidak cukup panjang hingga menyebabkan
bahagian kaki jenazah membengkok. Akibatnya, jenazah terpaksa
ditarik naik dan liang lahad digali semula.
Bila kubur siap di gali, jenazah diturunkan untuk kali kedua. Allah
Maha Besar, liang lahad masih sempit walaupun telah digali melebihi
enam kaki. Setiap yang hadir bertambah hairan. Apakah amalannya
hingga diseksa begitu rupa? Jenazah dinaikkan semula dan liang lahad
ditebuk lagi untuk kali ketiga. Bila selesai kerja-kerja menggali,
jenazah diturunkan.
Alhamdulillah, cubaan kali ketiga berjaya dan jenazah akhirnya
selamat dikebumikan. Masing-masing menghembus nafas lega. Apa yang
berlaku pada jenazah itu memanglah menyedihkan. Saya sendiri
tertanya-tanya bagaimana kain kapan yang saya bawa itu tidak muat
dengannya. Untuk memastikan kedudukan sebenarnya, saya pergi ke
kedai yang membekalkan kain kapan kepada saya untuk bertanya berapa
banyak kain putih yang dibekalkan kepada saya. Jika betul 24 ela,
kenapa kain itu tidak cukup sedangkan mayat yang dikapankan bersaiz
kecil. Jawapan yang diberikan oleh pekedai itu menyedarkan saya
tentang kebesaran Allah. Menurutnya, kain putih yang dibekalkan
kepada saya sama seperti kebiasaannya, ia itu 24 ela. Jika kainitu
tidak mencukupi itu bukanlah salah sesiapa sebaliknya merupakan
ketentuan Allah. Maha Suci Allah Allah, memang benar apa yang
dinyatakan oleh pekedai itu. Apa yang berlaku ke atas jenazah itu
merupakan balasan daripada Allah. Mungkin ada di antara
amalan-amalannya yang bertentangan dengan ajaran Tuhan. Entah apa
yang dilakukan oleh allahyarham semasa hayatnya, wallahualam, hanya
Tuhan sahaja yang mengetahuinnya.
Tetapi daripada cerita-cerita yang saya dengar, arwah dikatakan
menpunyai tabiat buruk - suka mengumpat dan mengatakan orang. Tidak
cukup dengan itu, arwah juga dikatakan suka mengambil tahu urusan
orang serta gemar membawa mulut dari rumah ke rumah. Bukanlah niat
saya untuk membongkarkan keburukan arwah tetapi sekadar memberi
nasihat. Semoga apa yang berlaku menjadi pengajaran dan memberi
pedoman dan iktibar mereka yang masih hidup. Hindarkan perkara-
perkara keji demi kesejahteraan kita sendiri.
Pengalaman yang cukup menginsafkan itu jauh berbeza dengan apa yang
saya lalui semasa menguruskan satu lagi jenazah kira-kira sebulan
kemudian. Orangnya saya kenal, berbadan gemuk dan berusia sekitar 50-
an. Punca kematiannya ialah darah tinggi. Sewaktu menatap jenazahnya
untuk kali petama, saya mendapati mukanya
tenang dan jernih. Walaupun bertubuh besar, tetapi Maha Suci Allah,
badannya lembut dan ringan. Saya dan adik saya Rafeah tidak
mengalami sebarang masalah untuk mengalih-alihkan badannya. Najisnya
tak ada langsung. Puas kami menekan dan mengorek, tetapi tiada
sebarang kesan najis.
"Bersih betul mayat ini", saya berbisik kepada Rafeah. Tiada
langsung kesan kotoran pada tubuhnya, seolah-olah dirinya telah di
bersihkan sebelum menghembus nafas terakhir. Seronok betul kami
menguruskannya. Mayat itu selesai di mandikan dalam tempoh tidak
sampai sejam. Sewaktu hendak mengapan jenazah, kami berdua pada
mulanya di selubungi kebimbangan takut-takut peristiwa kain kapan
tidak muat berulang lagi. Maklumlah, sedangkan jenazah kecil pun tak
muat inikan pula jenezah yang besar. Tetapi syukur alhamdulillah,
kain kapan yang kami bawa sebanyak 24 ela itu cukup untuk menutupi
seluruh bahagian. Selesai kerja-kerja mengapan jenazah
disembayangkan.
Kerana terlalu ramai yang hadir, jenazah disembahyangkan dua kali.
Kali pertama di rumah dan kali kedua di masjid. Jenazah akhirnya
dibawa ke tanah perkuburan dan selamat dikebumikan. Perjalanan
lancar tanpa sebarang halangan. Saya sendiri berasa seronok
menguruskannya. Sesungguhnya Allah Maha Berkuasa dan Maha
Mengetahui. Arwah memang dikenali di kalangan penduduk-penduduk
kampungnya sebagai seorang yang kuat beribadat. Sifatnya yang suka
bersedekah dan menolong orang ternyata mendapat balasan yang
setimpal. Keadaannya jauh berbeza dengan jenazah kurus yang tidak
muat kain kapannya. Bukan menghina atau mencaci tetapi
itulah hakikatnya.
Perbezaan itu jelas menunjukkan betapa pentingnya kita hidup
berlandaskan agama. Buatlah apa yang disuruh dan tegah apa yang di
larang, insya-Allah selamt didunia dan akhirat.
........................................
25 Disember 2001