AURAT WANITA ISLAM

Assalamualaikum w.b.t

Firman Allah yang bermaksud:

"Dan janganlah kamu bercakap dengan suara yang lemah manja kerana perbuatan itu akan menjadi punca ketamakan orang-orang yang mengidap penyakit hati terhadap diri kamu" [al-Ahzab: 32]

ADAKAH SUARA SEORANG PEREMPUAN YANG MERDEKA ITU AURAT?

Satu pendapat mengatakan suaranya bukanlah aurat kerana isteri-isteri Nabi SAW telah bercakap-cakap dengan para sahabatnya. Mereka sering mendengar daripada isteri-isterinya penjelasan tentang beberapa hukum agama. Tetapi jika ditakuti akan menimbulkan fitnah maka haram mendengar suaranya biarpun hanya mendengar bacaan al-Quran. Ini adalah pendapat Fuqaha' Mazhab Hanafi.

Satu pendapat yang lain pula mengatakan bahawa suaranya adalah aurat bagi lelaki ajnabi, sama ada ditakuti akan menimbulkan fitnah ataupun tidak. Ini adalah pendapat Fuqaha' Syafi'i.

Kami berpendapat bahawa suaranya bukanlah aurat jika percakapan itu merupakan perbualan biasa dengan lelaki ajnabi yang tidak ditakuti akan menimbulkan fitnah dan tidak terdapat tujuan mempengaruhi orang dengan kemanjaan suara.

DALIL-DALIL YANG MENYOKONG PENDAPAT INI ADALAH BANYAK, DI ANTARANYA:

1. Isteri-isteri Nabi SAW telah bercakap dengan para sahabat yang datang untuk mendengar penjelasan mereka mengenai hukum-hukum agama.

2. Sewaktu Umar R.A. ingin menyekat kenaikan kadar mahar, beliau telah ditentang oleh seorang perempuan dari hujung masjid yang membacakan Firman Allah:

"Dan jika kamu hendak mengambil isteri (baru) untuk mengantikan isteri (lama yang kamu ceraikan) sedangkan kamu telahpun memberikan kepada salah seorang di antaranya (isteri yang diceraikan) harta yang banyak, maka janganlah kamu mengambil sedikitpun daripada harta itu" [Al-Nisa': 20]

Umar, begitu juga para sahabat Nabi yang lain, tidak ada yang membantah percakapan perempuan itu, malah sebaliknya Umar berkata: "Perempuan itu yang benar dan Umar yang salah."

3. Ketika berlaku perselisihan di antara Abu Bakar R.A. dengan Saiyidah Fatimah al-Zahrah (puteri Rasulullah SAW) mengenai isu Fadak, Saiyidah Fatimah telah datang menemui Abu Bakar yang (pada masa itu) menjadi khalifah. Terdapat kenyataan lain yang mengatakan bahawa beliau telah memberi pandangannya mengenai apa yang diyakini menjadi haknya di dalam isu itu. Lalu berlakulah satu perbincangan di antaranya dengan Khalifah Abu Bakar.

Kesemua peristiwa tersebut dan lainnya menunjukkan bahawa suara seorang perempuan itu bukanlah aurat selama mana percakapannya masih berada di dalam batas-batas biasa dan tidak pula bertujuan mempengaruhi orang dengan kemanjaan suara. Allah berfirman:

"Janganlah kamu bercakap dengan suara yang lembut manja kerana perbuatan itu akan menjadi punca ketamakan orang-orang yang mengidap penyakit hati terhadap diri kamu." [al-Ahzab: 32]

Inilah adab kesopanan percakapan/ perbualan yang Allah perintahkan para isteri SAW. melaksanakannya, dan para muslimat dikehendaki mentauladani mereka. Sesungguhnya Allah telah menyuruh para muslimat agar tidak melembutkan dan memerdukan suara mereka apabila mereka bercakap dengan kaum lelaki.

Di dalam Kitab Ahkam al-Nisa' tulisan al-Imam Ahmad bin Hanbal terdapat catatan berikut:

"Muhammad bin Ali al-Warraq telah memberitahu saya bahawa Mehnah al-Syami memberitahu mereka, katanya: Saya telah bertanya (Imam) Ahmad mengenai seorang perempuan, adakah wajar ia merendahkan suaranya semasan membaca al-Quran di rumahnya di waktu malam? Beliau menjawab: "Ya!".

Sekian Wassalam, yang baiknya datang daripada Allah, yang salah adalah dari kelemahan diri saya sendiri. Assalamualaikum.

Oleh : Mujahidah Islam




.........................................................................
30 Januari 2002



:::: Arkib Muslimat ::::