AURAT WANITA ISLAM 2

Assalamualaikum wbt

Firman Allah yang bermaksud:

"Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka melabuhkan kain tudung ke dadanya dan janganlah menampakkan perhiasan kecuali kepada suami mereka, atau bapa mereka, atau bapa kepada suami mereka, atau anak-anak mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak mempunyai keinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan, dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya." [An-Nur: 31]

PENGERTIAN AURAT

Aurat menurut pengertian bahasa ialah keaipan. Manakala menurut istilah agama ialah mana-mana bahagian anggota dan tubuh badan seseorang yang wajib ditutup daripada pandangan ajnabi.

Islam sebagai satu agama yang mudah dan untuk kemaslahatan umatnya tidak menetapkan pakaian khusus terhadap lelaki dan wanita untuk menutup aurat mereka. Apa yang penting dan asasnya ialah mestilah pakaian tersebut tidak menimbulkan sebarang bentuk fitnah atau tidak menimbulkan unsur-unsur ke arah perbuatan zina dan ia mestilah menutup aurat.

AURAT WANITA

Berkaitan batasan aurat dan perhiasan wanita sesama wan ita muslim dan ketika bersama mah ramnya sebagaimana yang dipersetujui oleh jumhur Ulama' ialah di antara pusat dan lutut, iaitu sama dengan lelaki sesama lelaki. Pendapat ini dipersetujui oleh Imam al-Qurtubi didalm tafsirnya.

Namun begitu, Ulama' berselisih pendapat berkaitan dengan aurat wanita di hadapan lelaki dan aurat wanita di hadapan wanita kafir. Pendapat dan hujah Ulama' tersebut dapat dijelaskan sebagaimana berikut:->

AURAT WANITA DIHADAPAN LELAKI AJNABI

i. Menurut pendapat Imam Malik dan Imam Abu Hanifah, aurat wanita itu ialah seluruh tubuh badannya, kecuali muka dan dua tapak tangan, bahagian hujung jarinya hingga pergelangan tangan. Antara hujah mereka ialah:

PERTAMA: Sebagaimana hadis riwayat Abu Daud, daripada Aishah yang mengatakan, yang mana Nabi pernah berkata kepada Asma' binti Abu Bakar yang datang ke rumah baginda dengan memakai pakaian yang nipis, baginda bersabda kepadanya:

"Wahai Asma', wanita itu apabila cukup umur, ia tidak boleh mendedahkan bahagian tubuhnya, selain ini dan ini (Nabi mengisyaratkan kepada bahagian muka dan tapak tangan baginda)"

KEDUA: Sebagaimana Firman Allah:

"...Dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripada-Nya..." [An-Nur ayat 31]

Apa yang dimaksudkan perhiasan dan tubuh zahir di sini ialah bahagian tubuh atau anggota zahir, iaitu muka dan tapak tangan dan hujung jari yang biasa nampak.

ii. Menurut pendapat Imam al-Syafi'i dan Imam Ahmad, seluruh tubuh badan wanita adalah aurat tanpa pengecualian. Diantara hujah mereka ialah:

PERTAMA: Hadis daripada Jarir bin Abdullah yang diriwayatkan oleh Muslim dan Ahmad:

"Aku bertanya kepada Rasulullah mengenai pandangan terserempak atau tidak sengaja. Baginda menjawab: Alihkan pandangan kamu"

KEDUA: Sebagaimana hadis lain daripada Ali yang diriwayatkan oleh Ahmad dan Abu Daud:

"Wahai Ali!, janganlah ulangi pandangan dengan pandangan lain, sesungguhnya dimaafkan untuk kamu pandangan pertama dan tidak diharuskan yang lainnya"

KETIGA: Hal ini juga sesuai dengan firman Allah:

"... Dan apabila kamu meminta sesuatu yang harus diminta dari isteri-isteri Nabi, maka mintalah kepada mereka dari disebalik tabir, cara yang demikian lebih suci bagi hati kamu dan hati mereka..." [Al-Ahzab: 53]

iii. Mengikut pandangan Ibn Abbas pula, anggota yang boleh dibuka bagi wanita ialah bahagian yang biasa terbuka sahaja, Iaitu muka dan tapak tangan. Hujahnya ialah berdasarkan hadis Asma' yang tersebut di atas.

iv. Menurut setengah Ulama' lain pula, wanita diharuskan membuka bahagian dua tapak tangan hinggalah separuh daripada bahagian lengannya dan kaki pula hingga separuh bahagian betisnya. Hujah mereka ialah, kerana sampai bahagian tersebut pada adat atau kebiasaannya akan didedahkan ketika bekerja demi keselesaan dan ia juga bahagian kebiasaan terdedah ketika berkerja.

AURAT WANITA DIHADAPAN WANITA KAFIR

Menurut pendapat jumhur Ulama', aurat dan perhiasan wanita dihadapan wanita kafir, Yahudi dan Nasrani adalah sama seperti aurat dihadapan lelaki ajnabi. Iaitu selain muka dan tapak tangan. Untuk itu, wanita mestilah menutup auratnya dan perhiasannya ketika bersama dengan orang kafir. Pengharaman tersebut adalah atas dasar berlainan agama. Pendapat ini juga merupakan pendapat Ibn Abbas dan dipersetujui oleh Imam al-Qurtubi.

Untuk itu wanita dikira berdosa dan diharamkan mendedahkan segala perhiasan kepada bukan mahram mereka yang merangkumi juga melarang mereka menghentakkan kaki apabila berjalan supaya diketahui perhiasan yang mereka pakai seperti gelang kaki yang mempunyai loceng. Apa yang diharuskan untuk mereka mendedahkan perhiasan tersebut hanya dibolehkan kepada 12 golongan sahaja sebagaimana yang disebutkan dalam surah an-Nur ayat 31.

Antara lain juga, wanita itu hanya boleh mendedahkan perhiasan yang mereka pakai kepada mahram sahaja. Apa yang dimaksudkan dengan mahram disini ialah mana-mana mahram daripada pihak perempuan atau isteri itu. Untuk itu, secara jelas dan terperincinya, Lelaki yang menjadi mahram kepada perempuan atau isteri itu ialah, Bapanya, abangnya, anak lelakinya, adik-beradik lelakinya, anak saudara daripada adik-beradik lelakinya, anak saudara daripada saudara perempuannya, bapa saudara dari sebelah bapanya, bapa saudara dari sebelah ibunya, anak tiri lelakinya, Mertua lelakinya dan menantu lelakinya.

Semua mereka yang tersebut di atas itu adalah lelaki-lelaki mahram yang boleh bergaul atau menemani wanita dengan berpandukan ketakwaan kepada Allah dan berpegang teguh dengan syariat Islam.

LARANGAN MENZAHIRKAN PERHIASAN TERSEMBUNYI

Ayat ini menjelaskan larangan atas dasar mengharamkan mana-mana wanita yang berjalan sambil menghentak-hentakkan kaki mereka supaya diketahui oleh orang lain khususnya lelaki ajnabi dan bukan suaminya perhiasan yang tersembunyi. Apa yang dimaksudkan di sini ialah segala jenis perhiasan yang kebiasaannya dipakai di bahagian kaki sebagaimana gelang kaki yang berloceng dan berbunyi.

Larangan tersebut selain ia menimbulkan fitnah atau godaan atau dapat menarik perhatian orang atau mungkin juga bunyi tersebut menyebabkan orang tertarik atau juga mungkin timbul perasaan riak untuk menunjuk-nunjukkan perhiasan yang dipakainya itu. Lantaran itulah wanita wajib menutup aurat dan tempat perhiasan serta perhiasan itu sendiri kepada penglihatan dan pendengaran mana-mana bukan mahramnya.

Demikianlah keterangan dan penjelasan berdasarkan dalil Al-Quran dan beberapa hadith. Semoga sama-sama kita mengambil pengajaran.

Wassalam. Yang baiknya datang daripada Allah, yang salah adalah dari kelemahan diri saya sendiri.

Oleh : Mujahidah Islam




.........................................................................
7 Februari 2002



:::: Arkib Muslimat ::::