Keperluan muslimat terlibat dengan jema'ah

DILEMA ANTARA KELUARGA DAN JEMAAH: SATU PENYELESAIAN

Keperluan muslimat terlibat dengan jema'ah

Tajuk yang akan dibincangkan ini sangat relevan dan kena pada masanya. Kalau dulu kita jarang mendengar yang wujudnya dilema dikalangan muslimat, tetapi kini dengan lebih ramai muslimat yang aktif dalam jemaah PAS, dan mereka ini bukan sahaja terdiri daripada suri rumahtangga tetapi juga muslimat berkerjaya. Oleh kerana muslimat kini semakin serius dengan kerja- kerja jemaah dan mereka memandang kerja-kerja jemaah sebagai satu amanah dan bukan lagi sebagai satu kerja sampingan, maka sedikit sebanyak tumpuan terhadap tugas asas muslimat terhadap rumahtangga dan keluarga seolah-seolah terjejas akibat penglibatan mereka dengan jema'ah. Benarkah begitu ? Hanya muslimat .boleh menjawab persoalan ini.

Nas Al-Quran sudah jelas tentang penglibatan muslimat didalam kerja- kerja amar makruf nahi mungkar ini seperti yang difirmankan Allah s.w.t di dalam surah Al- Taubah, ayat 71:

"Dan mukmin dan mukminat, sesetengahnya menjadi penolong bagi sesetengahnya yang lain, mereka menyuruh berbuat kebaikan dan melarang dari berbuat kejahatan, mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta ta'at kepada Allah dan Rasul Nya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah"

Kalau dahulu keterlibatan muslimat terhad pada masa-masa pilihanraya terutamanya tetapi kini muslimat terpanggil untuk melakukan gerak kerja secara konsisten dan tersusun. Kemenangan hanya akan tercapai sekiranya kerja-kerja jemaah dapat dirancang dengan rapi dan dapat dilaksanakan dengan licin.

Kewajipan kita melaksanakan kerja-kerja jemaah juga dijelaskan oleh firmanuLLah ayat 104: surah Ali Imran

"Dan hendaklah ada sekumpulan daripada kamu satu umat yang menyeru kepada kebaikan, menyuruh melakukan makruf dan melarang manusia daripada melakukan mungkar, dan mereka itulah orang-orang yang berjaya."

Kepentingan keterlibatan muslimat tidak boleh dinafikan lagi memandangkan hampir separuh daripada rakyat Malaysia adalah wanita dan lebih 50% pengundi adalah juga wanita. Wanita, umumnya, berbanding dengan orang lelaki tidak begitu berminat dengan politik. Dari segi pendidikan, pembacaan dan pendedahan kepada isu-isu semasa pula dikatakan kurang daripada kaum lelaki.

Sumber maklumat wanita terutamanya suri rumah tangga adalah radio dan television. PAS, sebagai sebuah parti pembangkang tidak mempunyai peluang langsung untuk menerangkan kepada pendengar atau penonton mengenai perjuangan parti melalui kedua media ini. Jadi PAS terpaksa mencari jalan untuk mendampingi kaum wanita di dalam masyarakat melalui muslimat PAS sendiri. Kita semua tahu kerja mempengaruhi pemikiran orang lain bukanlah suatu kerja yang mudah. Ia memerlukan bukan sahaja masa untuk mendampingi masyarakat tetapi kita juga memerlukan juga berbagai kemahiran untuk melaksanakan tugas tersebut.

Jadi, orang-orang PAS mesti sentiasa dekat dengan masyarakat dengan berbagai aktiviti untuk mendidik dan memberi khidmat kepada masyarakat. Kita tidak boleh lagi keluar semasa musim pilihanraya kerana ketika itu kita sudah terlambat. Asakan dan dakyah musuh setiap hari melalui media perdana akan dipercayai masyarakat terutamanya wanita dan tanggapan negatif mereka terhadap PAS akan menjadi begitu tebal dan menjadi amat susah untuk dineutralkan apa lagi untuk mempengaruhi mereka menerima hujjah- hujjah kita.

Dengan masa hanya 24 jam sehari dan kita hanya mempunyai sepasang kaki dan tangan dan sebiji otak, dan senarai tugas yang tidak pernah berakhir , tentunya muslimat menghadapi dilema.

Dilema

Dilema ialah satu bentuk ketidaktenteraman atau kecelaruan di dalam diri kita yang dialami oleh apabila menghadapi dengan suasana yang bercanggah (biasanya satu keadaan yang ditanggapai sebagai satu masalah) yang menuntut seseorang itu membuat pilihan dan keputusan.

Akibat dilema ini seseorang itu merasakan apa pun yang dibuatnya serba tidak kena, bak kata perpatah - ditelan mati emak dan diluah mati bapa. Bagi seorang isteri, keluarnya daripada rumah mestilah dengan restu suami. Bila suami/keluarga seolah-olah tidak merestui, maka timbul rasa yang mungkin pemergiannya tidak diredhai dan mungkin berdosa pula. Kita tidak mahu menjadi para dai'e yang hebat tetapi isteri yang tidak solehah.

Dilema timbul apabila sungutan mula timbul daripada keluarga terutamanya sang suami. Pihak suami sering bersungut. Sebahagian daripada sungutan ialah

1. Kerja rumah yang tidak beres.

2. Layanan kepada suami/ahli keluarga terkurang.

3. Penjagaan dan pendidikan anak-anak terabai.

4. Bila balik daripada aktiviti muslimat keletihan.

5. Prestasi penjagaan rumahtangga merosot.

6. Menyusahkan pihak keluarga /suami untuk menghantar diri ke program

7. Sering tiada dirumah

8. Pandai melawan/menyanggah cakap suami

9. Bantuan dan sokongan (pekerjaan) kepada suami berkurang

10. Masalah kewangan

Kenapa sungutan-sungutan ini timbul? Adakah jalan penyelesaiannya?

Penyelesaian

Dimana punca masalah?

Terdapat 3 pihak yang terlibat didalam "percintaan tiga segi " ini

1. Empunya diri- muslimat
2. Keluarga/Suami
3. Jemaah

Saya samakan hubungan ketiga-tiga entiti ini sebagai cinta tiga segi. Bayangkan, muslimat yang sayangkan jema'ah dan perjuangan dan juga sayangkan suami dan keluarga - kedua-dua penting baginya. Kadangkala terpaksa membuat pilihan diantara keduanya. Suami pula sayangkan isteri tetapi pada masa yang sama mahu memberi sumbangan kepada jema'ah melalui tenaga dan masa isterinya, terpaksa membuat pengorbanan. Jema'ah pula memerlukan tenaga muslimat tetapi harus berhati-hati takut penglibatan muslimat menimbulkan masalah di dalam rumahtangganya.

MUSLIMAT

Dilema muslimat bertambah dengan peringkat penglibatan. Yang memegang jawatan menghadapi lebih banyak masalah kerana aktif atau tidak cawangan/kawasan bergantung kepada aktiviti yang diatur oleh jawatankuasa.

Muslimat yang tidak dapat menangani masalah biasanya akan gugur dengan sendirinya daripada program-program PAS dan kalau dia seorang ahli jawatankuasa akan sering tidak menghadirkan diri pada mesyuarat- mesyuarat. Berbagai alasan yang diberikan. Kebanyakan sebab yang diutarakan sepatutnya dapat diatasi samada secara persendirian atau secara jema'ah.

Biasanya masalah yang timbul adalah akibat daripada kelemahan muslimat sendiri samada:-

· gagal membuat perancangan yang rapi/pengurusan lemah
· tidak bijak mengurus masa,
· terlalu bergantung kepada orang lain untuk menghantar /tidak berdikari
· gagal membuat keutamaan (tugas rumah atau jema'ah)
· tidak melatih keluarga membantu tugas rumah
· tidak mendelegasi tugas (dirumah dan jemaah)
· tidak menyediakan minda keluarga (suami dan anak-anak)
· gagal memahami konsep wala' dan thiqah
· tidak memberi kefahaman tentang perjuangan kepada anak-anak

Penyelesaian

· Pengurusan masa yang berkesan
· Takwim program diberitahu awal kepada keluarga -persediaan mental
· Membuat persediaan yang sepatutnya -masak, sediakan pakaian dll
· Membuat keutamaan kepada senarai tugas. Dahulukan yang mana patut. Tangguhkan yang mana boleh sekiranya masa suntuk.
· Melatih keluarga untuk berdikari termasuk suami (sekali sekala buat "latihan kecemasan")
· Mendelegasi kerja-kerja yang kita tidak perlu buat sendiri.
· Tepati janji dengan keluarga.
· Boleh memandu -kalau ada kereta/motor. Berdikari dimana boleh. Tidak menyusahkan anggota keluarga jika mereka keberatan.

Jemaah (Cawangan/Kawasan/Negeri/Pusat)

Sering muslimat/para suami merungut yang aktiviti yang akan diadakan diberi notis yang singkat, orang yang sama juga yang terlibat, susunkerja muslimat tidak teratur, mesyuarat terlau panjang dll. Sungutan ini ada betulnay dan kita mengaanggap ini sebagai maklumbalas yang positif.

Penyelesaian

Untuk membantu dan memudahkan para muslimat untuk menyumbang dengan secara berkesan dan cekap (efektif dan efisien), jemaah (jawatankuasa) :-

1. mesti merancang aktviti-aktiviti dan mengeluarkan takwim tahunan atau bulanan. Ini akan memudahkan muslimat yang terlibat membuat perancangan dan persiapan mereka dengan keluarga. Janganlah kita beranggapan yang oleh kerana muslimat kita ramai yang terdiri daripada suri rumahtangga, maka kita mengambil mudah.

2. mendelegasi tugas kepada seramai yang mungkin supaya tidak menjadi beban kepada segelintir sahaja.

3. Memahirkan diri didalam pengurusan organisasi -mengendalikan mesyuarat dengan berkesan, fokus kepada perbincangan, lebih objektif dsbnya.

4. Menggunakan tenaga jema'ah secara kreatif. Kemampuan muslimat di dalam jema'ah tidak sama. Sumbangan setiap seorang berbeza.

5. Memantapkan ukhuwah dan mempraktikkan konsep takaful/tolong menolong

6. Berdikari di dalam menjalankan program.

7. Memberi penghargaan/mengambil berat tentang suami/keluarga yang mengiringi isteri mereka untuk kerja-kerja jema'ah.

Keluarga dan Suami

Kita dapat bahagikan keluarga/suami kepada beberapa kumpulan:

1. Suami yang bukan sahaja mengizinkan penglibatan isterinya tetapi turut menggalakkan, membantu dan sentiasa mengingati isterinya tentang program yang sepatutnya dihadiri isteri.

2. Suami yang memahami perjuangan dan memberi keizinan tetapi adakalanya menunjukkan sikap kurang sabar dan merungut apabila terpaksa membuat pengorbanan yang lebih.

3. Suami yang memberi izin tetapi mengenakan berbagai syarat terhadap isteri. Asalkan syarat-syarat tersebut dapat dipenuhi, dia tidak menghalang.

4. Suami yang turut aktif dalam jema'ah dan merasakan yang isterinya tidak perlu melibatkan diri kerana beliau sendiri sudah sibuk dengan jema'ah.

Penyelesaian

Tiada penyelesaian mutlak!

Walaupun secara teorinya, adalah mudah untuk kita katakan yang para suami yang kurang memahami perjuangan dan pengorbanan mesti diberi kefahaman, namun tidak semudah itu kerana biasanya suami ada egonya, jarang dapat menerima teguran dan tarbiyah daripada isteri ( tetapi kalau dari Tok Guru Nik Aziz mungkin dia dengar cakap.)

Secara proaktifnya:

1. kita boleh mencadangkan yang bakal-bakal suami biarlah daripada sesama jema'ah. Itu pun belum terjamin yang suami daripada kalangan jema'ah akan memberi sokongan padu pada muslimat.

2. Meletakkan syarat /mengadakan MOU (memorandum kesafahaman) dengan bakal suami untuk tidak menghalang kerja-kerja jema'ah

Kesimpulannya

Diantara keluarga dan jema'ah, kedua-duanya dekat dihati para muslimat yang ingin bersama di dalam perjuangan ini. Untuk setiap perjuangan pasti ada pengorbanan .Apa yang diharapkan muslimat mampu menggalas kedua-dua tanggungjawab dengan sebaik mungkin. Tetapi jika salah satu yang harus dikorbankan, biarlah kita bersama perjuangan Islam hingga keakhir hayat walau pun mahal harganya.

Dr Siti Mariah Mahmud
AJK DMPP
Untuk
SEMINAR WANITA ISLAM ERA 2000
13 Rabiulawal 1421/16 Jun 2000 - Kolej Darul Ulum. Pokok Sena Kedah.




.........................................................................
29 Disember 2001



:::: Arkib Muslimat ::::