PUASA MENDIDIK JIWA

Berpuasa di bulan Ramadhan adalah salah satu daripada kewajipan yang telah ditetapkan oleh Allah SWT ke atas hamba-hambaNya yang beriman. Ianya merupakan suatu ibadat yang disyariatkan dan mempunyai kelebihannya yang tersendiri.

Puasa mendidik jiwa kita supaya lebih bersabar, pemurah, insaf, kasih, kasihan belas dan sebagainya. Puasa juga dapat menghakis sifat-sifat buruk seperti sombong, rakus, keras hati, tamak, bakhil, keluh kesah dan sebagainya.

Apabila tiba sahaja bulan Ramadhan, ramai yang berlumba-lumba untuk berbuat kebajikan yang berlipat ganda ganjarannya dan meningkatkan amal ibadat seperti solat tarawih, bertadarrus serta bersedekah kepada fakir miskin dan anak-anak yatim.

Tetapi alangkah ruginya orang-orang yang masih menghabiskan hari-harinya dengan melakukan dosa dan memandang sepi akan tugasnya kerana mereka ini tidak akan mendapat keampunan. Ramadhan merupakan bulan kerahiman Allah SWT, tetapi jika bulan ini dihabiskan di dalam kancah maksiat dan kelalaian, maka bagaimanakah dia boleh mengharapkan dosa- dosanya diampunkan?

Dalam hal ini Rasulullah saw bersabda yang bermaksud “Apabila tiba malam pertama bulan Ramadhan maka menyerulah Malaikat dengan katanya : Wahai orang yang berkehendakkan kebajikan marilah dan tampillah untuk mengerjakan kebaikan. Wahai orang yang sukakan kejahatan, hentikanlah. Ketahuilah bahawa Allah melepaskan ramai orang daripada api neraka (pada bulan ini) sedangkan mereka memang berhak masuk neraka” (Riwayat Abu Hurairah). Sebagai seorang Muslim, hendaklah kita berusaha bersungguh-sungguh merebut peluang keemasan yang dikurniakan Allah ini untuk melakukan seberapa banyak amalan kebajikan dengan penuh keikhlasan demi mendapat keredhaan Allah SWT dan Rasul-Nya.

Bagi mereka yang bekerja di pejabat, mereka masih dapat menghabiskan masa dalam bulan Ramadhan antara Fajar sehinggalah ke masa bagi memulakan tugas dengan membaca beberapa lembaran dari al-Quran. Begitu juga mereka yang terlibat baik dalam bidang perniagaan ataupun pertanian, tiada satu pun yang menghalang mereka daripada beribadat.

Adalah lebih baik jika mereka dapat menumpukan masa yang lebih banyak untuk beribadat dalam bulan Ramadhan. Dengan demikian barulah dapat kita merasakan kenikmatannya, mengecap kemanisan dan mendapat kelebihannya serta memperolehi apa yang dijanjikan oleh Allah S.W.T. itu.

- Penerbitan JAKIM

::: Arkib Ar-Ramadhan