PUASA MEMBENTUK SIFAT SABAR

Mengikut sejarah, antara kesan-kesan yang diperolehi oleh orang-orang yang berpuasa ialah kekuatan dalam sifat sabar, iradah (kemahuan) dan keazaman. Ibadat puasa adalah pengawal daripada sifat-sifat buruk yang lahir daripada batin dan juga daripada penyeksaan api neraka.

Rasulullah saw pernah bersabda yang bermaksud;

“Ibadat puasa itu adalah pengawal atau pelindung”. Allah berfirman di Surah al-Baqarah : 183 yang bermaksud;

“Wahai orang-orang yang beriman, telah difardhukan ke atas kamu ibadat puasa (Ramadhan) seperti mana juga telah difardhukan ke atas umat-umat sebelum kamu, mudah-mudahan kamu bertaqwa”. Menurut bahasa Arab ‘Taqwa’ berasal daripada perkataan iaitu pelindung.

Di samping itu ibadat puasa itu juga mendidik manusia supaya bersifat sabar, yang dengan sifat sabarlah kebiasaannya seseorang itu dapat membentuk peribadi yang bermutu tinggi dan mampu membentuk sebagai pemimpin yang terkenal yang membawa dirinya ke peringkat yang dimuliakan, dihormati serta dikasihi.

Sifat sabar adalah seiring dengan sifat Tawakal, sebab orang yang bertawakal mestilah sabar dalam menghadapi tanggungjawabnya dan meneruskan perjuangannya, juga tenang dalam menjalankan urusannya hingga sampai kepada matlamatnya. Dalam hubungan ini Allah SWT menyuruh Rasulullah saw supaya bersabar, seperti firmannya dalam Surah al-Ahqaf yang bermaksud

“Maka bersabarlah engkau (wahai Muhammad) seperti mana juga mereka yang kuat keazaman daripada golongan para pesuruh Allah SWT dan janganlah engkau terburu-buru.”

Setiap manusia perlu kepada sifat mulia ini, khasnya di dalam memperjuangkan kebenaran, meninggikan syiar Islam, menyebar ajaran-ajaran akidah yang benar dan suci serta membenteras kejahatan dan keburukan, sekadar kuasa yang ada padanya.

Amalan mulia seperti ini amat memerlukan kekuatan iradah dan keazaman yang kukuh yang boleh didapati melalui amalan puasa. Dalam hal ini Allah berfirman dalam al-quran bermaksud

“Dan tidaklah sama perbuatan yang jahat, tolaklah kejahatan yang ditujukan kepadamu dengan cara yang lebih baik, apabila engkau berlaku sedemikian, maka orang yang menaruh permusuhan terhadapmu dengan serta merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat yang karib (baik hati), dan sifat yang terpuji ini tidak dapat diterima dan diamalkan melainkan oleh orang-orang yang bersikap sabar, dan juga tidak dapat diterima dan diamalkan melainkan oleh orang-orang yang mempunyai kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat.”

Sifat sabar yang kuat sahajalah yang dapat menentang segala cabaran yang akhirnya orang yang bersifat sabar sahaja akan berjaya. Sabda Rasulullah saw bermaksud;

“Yang berjihad ialah yang menahan dirinya dari dipengaruhi dari kepercayaan dan perbuatan jahat, dengan berpegang teguh dengan agama, dan yang berhijrah (berpindah kepada kebaikan), mereka ialah yang menentang (meninggalkan) segala yang buruk.

Demikianlah antara hikmat-hikmat yang diperolehi oleh orang yang berpuasa dengan sabar, jujur dan ikhlas kerana Allah.

- Penerbitan JAKIM

::: Arkib Ar-Ramadhan