Kelebihan dan Ganjaran di Bulan Ramadhan

Kelebihan Solat SunatTarawih dalam bulan Ramadan

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: "Saya telah mendengar sabda Rasulullah s.a.w. mengenai Ramadan: Sesiapa yang mendirikan sembahyang (Tarawih) dalam bulan itu dengan penuh keimanan dan mengharapkan keredhaan Allah, akan diampunkan segala dosa yang dilakukannya sebelum itu."

Kelebihan Lailatulqadar dan galakan untuk mencarinya

Diriwayatkan daripada Saidatina Aisyah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: "Carilah Lailatulqadar pada sepuluh hari yang terakir di bulan Ramadan."

Ganjaran untuk amalan yang dilakukan pada malam Lailatulqadar

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a. katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda: "Sesiapa yang mendirikan sembahyang pada malam Lailatulqadar dengan penuh keimanan dan mengharapkan keredhaan Allah, maka akan diampunkan segala dosa yang dilakukannya sebelum itu."

Beriktikaf pada sepuluh hari terakhir Ramadan

Diriwayatkan daripada Saidatina Aisyah r.a katanya: "Rasulullah s.a.w biasanya beriktikaf pada sepuluh hari yang terakhir dalam bulan Ramadan."

Menambahkan amal ibadah pada sepuluh hari terakhir Ramadan

Diriwayatkan daripada Saidatina Aisyah r.a katanya: "Rasulullah s.a.w bermujahadah pada sepuluh hari yang terakhir bulan Ramadan tidak seperti bulan-bulan lain."

Makan dan minum kerana terlupa tidak membatalkan puasa

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: "Rasulullah s.a.w bersabda: Sesiapa yang terlupa sedangkan dia berpuasa, lalu dia makan atau minum, hendaklah dia terus menyempurnakan puasanya kerana dia telah diberi makan dan minum oleh Allah."

Tidak Batal Puasa Orang Yang Bangkit Dari Tidur Di Waktu Pagi Dalam Keadaan Berjunub

Diriwayatkan daripada Aisyah dan Ummu Salamah r.a, kedua-duanya berkata:"Nabi s.a.w bangkit dari tidur dalam keadaan berjunub bukan dari mimpi kemudian meneruskan puasa."

Janganlah berpuasa sehari dua sebelum Ramadan

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: "Rasulullah s.a.w telah bersabda: Janganlah kamu berpuasa sehari atau dua hari sebelum tiba bulan Ramadan melainkan orang yang biasa berpuasa dengan puasa yang tertentu maka bolehlah dia berpuasa."

::: Arkib Ar-Ramadhan