Siri Risalah SULUHAN I
KEPALSUAN HADIS KELEBIHAN TARAWIH
Diterbitkan dan diedar secara percuma oleh:
DARUL QURAN WAS-SUNNAH
Lot 1499, Taman Seri Demit, Jalan Sultanah Zainab 2
Kubang Kerian, 16150 Kota Bharu, Kelantan.
Tel: 09-7645816
Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Penyayang
Puji-pujian bagi Allah Subhanahu wata'ala, selawat dan
salam keatas junjungan kita Nabi Muhammad Sallaahu
'alaihi wasallam serta para sahabatnya.
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini satu hadis
tentang kelebihan tarawikh pada malam-malam ramadhan
telah tersebar dengan meluas sekali. Media-media
elektronik,media-media cetak serta media-media massa
turut sama memainkan peranan mereka menyebarkannya
melalui akhbar-akhbar, dairi-dairi Islam, TV, radio,
risalah-risalah dan lain-lain dengan harapan semoga
mereka mendapat saham dalam usaha menggalakkan umat
Islam supaya rajin beramal ibadat terutamanya dalam
bulan yang diberkati itu. Hadis yang dimaksudkan itu
ialah satu hadis yang agak panjang kononnya
diriwayatkan oleh Sayyidina Ali r.a. yang sebahagian
darinya adalah seperti berikut,
Diriwayatkan oleh Sayyidina Ali bahawa Rasulullah
s.a.w. telah bersabda berkenaan dengan fadhilat
sembahyang tarawih pada bulan Ramadhan antaranya:
· Malam Pertama: Keluar dosa-dosa orang mukmin pada
malam pertama seperti mana dia baru dilahirkan
(mendapat keampunan dari Allah Taala).
· Malam Keempat: Mendapat pahala sebagaimana pahala
orang-orang yang membaca kitab Taurat, Zabur, Injil
dan Al-Quran.
· Malam Keenam: Allah kurniakan pahala kepadanya
pahala malaikat-malaikat yang tawaf di Baitul-Ma`mur
(sebanyak 70 ribu malaikat sekali tawaf), serta setiap
batu-batu dan tanah akan mendoakan supaya Allah
mengampuni dosa-dosa orang yang mengerjakan sembahyang
tarawih pada malam ini.
· Malam Ketujuh: Seolah-olah dia dapat bertemu serta
menolong Nabi Musa A.S. menentang musuh ketatnya
Firaun dan Haman.
· Malam Kelapan: Allah mengurniakan pahala orang
sembahyang tarawih sepertimana yang telah dikurniakan
kepada Nabi Ibrahim A.S.
· Malam kesembilan: Allah kurniakan pahala dan
dinaikkan mutu ibadat hambanya seperti Nabi Muhammad
S.A.W..
· Dan kelebihan-kelebihan seterusnya sehingga sampai
kemalam yang ke-tiga puluh
Namun begitu setelah diajukan pertanyaan kepada
beberapa tokoh agama tanahair tentang kedudukan hadis
ini, dari manakah ianya diambil, semuanya tidak dapat
memberikan penjelasan. Dan setelah diteliti dalam
kitab induk hadis seperti Sunan Sittah dan lain-lain
kitab hadis lagi, ianya tidak ditemui. Begitu juga
dalam kitab-kitab hadis palsu (maudhu`aat) sendiri pun
tidak didapati hadis ini. Ini menunjukkan bahawa hadis
ini merupakan satu hadis yang baru diada-adakan
sehingga ulama-ulama hadis dahulu yang menulis tentang
hadis maudhu` pun tidak mengetahui akan wujudnya hadis
ini. Kita tidak menafikan kelebihan sembahyang tarawih
dan kedudukannya didalam sunnah. Namun begitu kita
tidak mahu umat Islam tertipu dengan berbagai-bagai
janji palsu yang menyebabkan umat Islam mengerjakan
amalan-amalan kebaikan dengan mengharapkan sesuatu
yang sebenarnya tidak akan diperolehinya. Dengan
tersebarnya hadis-hadis palsu seumpama ini juga akan
mencemarkan kesucian hadis Rasulullah s.a.w. yang
dipelihara dengan dengan begitu baik oleh ulama-ulama
kita dahulu.
Rasulullah S.A.W. telah pun memberikan amaran
terhadap orang-orang yang mengadakan pendustaan atas
namanya dengan ancaman yang berat sebagaimana sabdanya
: Barang siapa sengaja mengadakan dusta atas namaku
maka hendaklah dia menyediakan tempatnya dalam neraka.
(Bukhori, Muslim)
Hadis ini diriwayatkan dengan banyak sekali sehingga
sampai keperingkat Mutawatir. Ancaman ini merangkumi
segala jenis pendustaan keatas Nabi S.A.W. sama ada
dengan maksud memberi galakan supaya rajin beramal
ibadat ataupun ancaman supaya menjauhi segala larangan
Allah (targhib dan tarhib).
Mulla Ali Qari dalam Al-Asrarul-Marfu'ah selepas
membawakan lebih dari seratus riwayat hadis tentang
pendustaan atas nama Nabi Muhammad S.A.W. menukilkan
kata-kata Imam Nawawi dalam syarah Muslim. Kata Imam
Nawawi: Haram meriwayatkan sesuatu hadis palsu
(maudhu`) bagi orang yang mengetahui bahawa hadis itu
maudhu` atau dia hanya menyangka hadis ini maudhu`.
Siapa yang menceritakan hadis yang dia tahu atau dia
sangka bahawa ianya maudhu` serta dia tidak
menerangkan keadaannya maka dia termasuk dalam ancaman
ini. Katanya lagi, tidak ada perbezaan dalam
pengharaman pendustaan atas Nabi Muhammad S.A.W. di
antara hadis tentang hukum-hukum dan hadis yang bukan
berkenaan dengan hukum seperti hadis yang mengandungi
dorongan serta galakan beramal ibadat, hadis-hadis
nasihat dan lain-lain. Semuanya haram termasuk dalam
sebesar-besar dosa dan sejelek-jelek perkara dengan
ijmak ulamak Islam… seterusnya dia berkata:
Ulama-ulama telah pun sepakat tentang haram berdusta
atas nama orang-orang biasa. Bagaimana pula dengan
orang yang kata-katanya adalah syariat, kalamnya
adalah wahyu dan berdusta atasnya adalah pendustaan
atas Allah juga. Fiman Allah bermaksud: Tidaklah dia
mengucapkan mengikut kemahuan hawa nafsunya. Apa yang
diucapkan tidak lain melainkan wahyu yang diwahyukan.
(An-Najm: 3-4).
Di dalam hadis tersebut nampaknya ada galakan supaya
umat Islam rajin untuk melakukan amalan terawih dalam
bulan Ramadhan seperti mana kita sering dapati hadis
ancaman terhadap orang yang meninggalkan sembahyang
yang mana sebenarnya hadis itu pun telah di reka atas
nama nabi Muhammad S.A.W. seperti contoh satu hadis
yang sebahagian darinya berbunyi: Jika seseorang itu
meninggalkan sembahyang zohor dosanya adalah seperti
dia berzina dengan ibunya sendiri.Jika dia
meninggalkan sembahyang sembahyang asar dosanya adalah
seperti meruntuhkan kaa'bah..
Adakah tidak cukup dengan janji ganjaran dari Allah
bagi orang yang menghidupkan malam Ramadhan yang
terdapat dalam kitab hadis shahih contohnya hadis yang
bermaksud: Sesiapa yang menghidupkan malam ramadhan
dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran dari
Allah diampunkan dosa-dosanya yang lalu. (Al-Bukhari)
Dan adakah tidak cukup dengan ancaman terhadap orang
yang meninggalkan sembahyang yang terdapat dalam
al-Quran antaranya firman Allah yang bermaksud: Apakah
yang menyebabkan kamu dimasukkan kedalam neraka saqar?
Mereka menjawab: Kami dahulu termasuk orang yang tidak
mengerjakan sembahyang. (Al-Muddatsir)
Sebenarnya bagi mereka yang suka menghidupkan malam
Ramadhan tidak mesti dengan adanya hadis rekaan yang
seperti ini mereka akan bersungguh-sungguh dalam
menghidupkan amalan tarawih ini. Dan orang yang malas
bersembahyang bawalah hadis yang bagaimana teruk
sekalipun siksaannya namun mereka tetap tidak mahu
mengerjakannya.
Diantara ciri-ciri hadis maudhu` (rekaan) dari segi
zahirnya selain dari meneliti sanad perawinya ialah
1. Kelebihan yang disebutkan menyamai atau mengatasi
kelebihan yang terdapat pada para sahabat nabi kita
Muhammad S.A.W. atau orang yang berjuang bersama
dengan nabi-nabi yang lain apatah lagi untuk menyamai
atau mengatasi kedudukan nabi-nabi kerana umat yang
datang kemudian walaupun setinggi-tinggi wali
sekalipun tidak akan dapat mengatasi atau menyamai
kedudukan sekecil-kecil sahabat apatah lagi untuk
menyamai kedudukan seorang nabi.
2. Kelebihan yang terdapat didalamnya tidak sepadan
dengan amalan yang dilakukan dimana ia menyalahi apa
yang terdapat dalam syariat sebagaimana tersebut
dalam Al-Qur'an dan hadis-hadis shohih.
3. Kandungannya serta ertinya rapuh, tidak menyerupai
kalam Nabi Muhammad s.a.w. dan lafaznya tidak sesuai
keluar dari mulut Nabi sepertimana yang terdapat dalam
hadis-hadis shohih.
4. Didalam setengah risalah yang terdapat hadis ini,
ianya dimulai dengan "Ya Ali" sedangkan ulama-ulama
hadis telah mengatakan bahawa hadis-hadis yang dimulai
dengan kata-kata ini hanya dua atau tiga sahaja yang
shohih.Yang lainnya adalah palsu.
Oleh itu umat Islam sekalian terutamanya pihak-pihak
berkenaan seperti institusi-institusi agama
diperingkat negeri dan pusat sepatutnya prihatin
terhadap perkara seperti ini demi menjaga kesucian
hadis Rasul yang menjadi pegangan kedua Ahlus Sunnah
Wal Jamaah.Umat Islam janganlah mudah tertipu dengan
diayah-diayah palsu yang dikaitkan dengan Rasulullah
sedangkan ianya tidak ada hubungan langsung dengan
Rasulullah s.a.w. Janganlah sampai masyarakat kita
melakukan sesuatu amalan dengan harapan akan mendapat
pahala sedangkan sebaliknya dosa besar pula yang
diperolehi dengan menyebarkan dan seterusnya beramal
dengan hadis-hadis palsu seperti ini.
SELAMAT BERPUASA DAN BERIBADAT MENGIKUT SUNNAH
RASULULLAH S.A.W.
Assalamualaikum Saudara/i Wan dan para netters
sekalian,
Saya juga sering tertanya-tanya tentang taraf hadith
ini yang digunakan dengan meluasnya tapi tidak pernah
dinyatakan siapakah perawinya atau tarafnya.
Minggu lepas saya telah berpeluang bertanya perkara
ini kepada panel forum perdana yang telah diadakan di
TNB HQ. Soalan saya telah dijawab oleh Dr. Marsyitah
(UIA).
Jawapannya begini: Hadith ini telah disampaikan
daripada Rasulullah kepada Sayidina Ali dan tiada
sahabat lain yang mendengarnya. It is what is called
as Hadith Muqrat. Walaupun ia bukan hadith sahih, ia
diterimapakai atas peribadi Sayidina Ali yang mulia
dan kerana ia tiada kena mengena dengan persoalan
aqidah.
Itu sahaja jawapannya. Mungkin netters lain boleh
memberi penjelasan lebih lanjut. Tapi pokok pangkal
ibadat kita ialah untuk menzahirkan ubuddiah dan cinta
kepada Allah serta untuk mendapat keredhaanNya. That
reason is more important than 'mendapat pahala
seumpama orang yang membaca kitabTAurat Injil, Zabur,
dan Quran' atau "dibuka peluang baginya berdoa
sebanyak 24 kali yang akan dimakbulkan oleh Allah.'
Wallahu a'lam.