Buah kurma atau dalam bahasa Arab menggelarnya tamar tergolong dalam
keluarga phoenix. Sekumpulan jenis palm seperti kelapa sawit sementara
buahnya bertangkai seperti buah pinang. Kurma mengandungi khasiat
pemakanan yang tinggi seperti kismis dan aprikot kering. Antaranya kurma
kaya dengan protein, serat, gula, vitamin A dan C serta zat mineral atau
galian seperti besi, kalsium, sodium dan potasium.
Selain kebiasaan, umat Islam digalakkan berbuka dengan kurma
bersandarkan sabda Rasulullah s.a.w. yang lain maksudnya: "Rumah yang
tiada kurma seperti rumah yang tidak mempunyai makanan". Kurma diangkat
tinggi oleh Rasulullah kerana mempunyai nilai kandungan makanan yang
tinggi.
Kandungan protein di dalam kurma lebih kurang 1.8 hingga 2.0 peratus,
serat 2.0 hingga 4.0 peratus manakala kandungan gulanya 50 hingga 57
peratus glukosa. Ini menunjukkan kandungan gula didalamnya telah ditukar
secara semulajadi. Bermakna apabila kita memakan kurma, tenaga yang
diserap tubuh adalah serta-merta. Sebaliknya gula di dalam kebanyakan
buah-buahan dikenali sebagai fraktosa dan gula tebu atau gula pasir yang
biasa mengandungi sukrosa tidak boleh menyerap terus dalam tubuh. Ia
terpaksa dipecahkan dahulu oleh enzim sebelum bertukar menjadi glukosa
lalu diserap tubuh sebagai tenaga.
Disunatkan berbuka dengan kurma kerana orang yang berpuasa tidak makan
selama 12 jam. Kurma menyumbang tenaga serta-merta kepada si pemakan dan
ini memudahkan seseorang beribadat dan menunaikan sembahyang maghrib
atau tarawih. Apabila tubuh berasa segar dan bertenaga ia menghalang
kita makan berlebihan atau mengikut nafsu. Kadangkala waktu berbuka kita
makan terlalu banyak, tetapi masih letih dan tidak bertenaga. Sebabnya
makanan yang diambil kebanyakan mengandungi karbohidrat, tanpa tenaga
serta-merta menjadi penyebab selesai makan, mata pun mengantuk.
Kita makan kurma tanpa buang kulitnya yang mengandungi serat. Amat baik
untuk mencegah barah usus besar kerana ia melawaskan. Sementara
kandungan vitamin A dan C amat tinggi pada peringkat khalal atau rotab
dan menurun sedikit pada peringkat tamar. Selain itu ia mengandungi zat
galian dan yang paling banyak dikenali sebagai potasium. Potasium
diperlukan oleh tubuh untuk sistem saraf kerana kurma adalah excellant
source atau sumber mujarab. Memang dalam susu, yogurt dan makanan laut
juga mengandungi potasium tetapi jumlahnya sedikit.
Pengambilan potasium yang berlebihan tidak mengumpul toksid di dalam
tubuh atau memudaratkan. Sebaliknya ia merangsang selera makan bagi
yang berpenyakit serta bagus untuk golongan yang mengalami sembelit,
lemah otot, sengal-sengal badan, letih, lesu, mengalami tekanan serta
menguatkan ingatan. Ramai beranggapan hanya kismis yang baik untuk
menguatkan ingatan, sebenarnya kurma juga setanding. Mungkin atas alasan
pihak-pihak tertentu atau negara pengeluar anggur telah menjalankan
kempen makan kismis dan mempopularkan khasiatnya.
Kurma diakui sebagai buah berkhasiat dan sebagaimana Firma Allah s.w.t.
dalam surah al-Mukminah ayat 19, "Kemudian Kami tumbuhkan kerananya
kebun kurma dan anggur untuk kamu. Di sana kamu peroleh
buah-buahan yang banyak, dan sebahagiaannya kamu makan."
Diriwayat oleh Aishah r.a. yang menjelaskan, kurma mengandungi ubat.
"Jika sesiapa yang selalu makan kurma akan dihindari daripada terkena
racun yang dimakan."
Dikisahkan sewaktu Mariam melahirkan Nabi Isa a.s. di bawah pohon kurma.
Telah datang malaikat Jibrail menyuruh Mariam menggegar pohon kurma
lantas dimakannya. Dengan izin Allah, ia memudahkan kelahiran Nabi Isa
a.s.
Dalam bidang perubatan dengan ketiadaan kolesterol, lemak dan gula di
dalam kurma, ia amat baik untuk meredakan tekanan darah tinggi.
Dalam perubatan homeopati, biji kurma dikisar halus atau dijadikan
serbuk seperti teh. Direndam dan diminum bagi menyembuhkan pelbagai
jenis penyakit.
Begitu juga dalam rawatan kaedah sufism, menjadikan kurma salah satu
penawar penyakit.
Melalui petua tertentu, kurma dimakan bersama badam dan madu untuk
menyembuhkan penyakit. Kurma dikatakan menambah tenaga seksual atau
batin.
Jus buah kurma mungkin baru di negara ini, sebaliknya di negara
pengeluar selain dimakan segar, kering atau salai, kurma dibuang biji
dan diganti dengan kacang tanah, badam atau gajus bagi mengenakkannya.
Kurma juga dibuat jem, sirap atau bahan tambahan dalam aiskrim.
Kita seharusnya memakan buah kurma bukan hanya dalam bulan puasa sahaja.
Kurma baik dijadikan pembasuh mulut selepas makan atau menggantikannya
makanan ringan yang rata-rata mengandungi karbohidrat, garam, lemak dan
gula berlebihan yang boleh membawa pelbagai jenis penyakit.
# Tak payah tunggu bulan ramadhan baru nak makan buah kurma - wm