Melayu Takkan Lupa

Belum pernah tercatat dalam sejarah
suatu bangsa dihina dicemari demikian hebat
mulia peribadinya dilumuri najis jijik busuk
seluruh institusi kerajaannya dicengkam
pemikiran bangsa diperbudak diperbodohkan
diasak dengan kata-kata dan imaginasi lucah

belum pernah dalam sejarah
pemimpin sendiri lumuri najis di muka bangsa
pemimpin sendiri menelanjangi maruah bangsa
yang warak dijijak yang sundal disanjung
belum pernah dalam sejarah, kecuali
sejarah Melayu akhir abad 20

mereka fitnah dia mereka pukul dia mereka
fitnah dia mereka kurung dia mereka fitnah
dia mereka bohongi rakyat - mereka fikir
Melayu yang dimaterialistikkan jiwanya
akan terima fitnah mereka dan melupakan
peribadi mulia yang dizalimi itu - kerana
mereka fikir Melayu mudah lupa

dan dia itu pun mengharapkan
Melayu lupakan dosanya
kerana ingat dia Melayu itu mudah lupa
dan dia pun terus menghina Melayu
menghina datuk nenek Melayu dengan berkata
"dulu bangsanya haprak - dulu bangsanya hina
- tiada daulat, tiada maruah, tiada bebas"

apa begitu sekalikah hinanya bangsa Melayu?
apa baru beberapa tahun ini sajakah
Melayu menjadi bangsa yang berdaulat?

dan dia masih mengharapkan Melayu lupa
kebiadabannya menghina Rasul menghina Islam
menzalimi Anwar menyanjung sundal memper-
bodoh bangsa dan cuba memperhamba dan
menjadikan Melayu khadam dia

Wahai Melayuku
Apakah Melayu akan melupakan
orang jahat yang memfitnah Anwar?
Apakah Melayu akan melupakan
Attartukis yang memfitnah PAS?
Apakah Melayu mudah lupa?
Apakah Melayu akan melupakan Anwar?

Melayu takkan lupa
pembangkit kesedaran ummat itu
penjulang keadilan yang merelakan
dirinya dikurung bertahun itu
Melayu takkan lupa!

(Disiarkan pertama kali dalam akhbar CABARAN, keluaran 1 Julai 2001, selepas dibacakan di majlis pelancaran 55 sajak reformasi Dinsman, Macam Orang Gila, oleh Presiden PAS, Ustaz Fadzil Mohd Noor, pada 26 Julai 2001).

............................................
17 Ogos 2001

>>Arkib Sajak @ Puisi<<