Orang Yang Tiada Maruah

Orang yang tidak bermaruah
sifat malunya musnah
Dia akan membuat apa sahaja
untuk hidup jalan mudah
Mengampu, menjilat, menghina diri
perbuatan yang lumrah
Menghina orang, mentohmah, memfitnah
mengadu domba perkara biasa

Orang yang hilang malu
membuat kerja yang memalukan
sudah tidak terasa malu
Padahal orang ramai merasa jijik
dan menjijikkan
Dia boleh ulang-alik
turun naik menemui orang
yang hendak dilobi
Untuk tujuan kepentingan peribadi
yang belum pasti menguntungkan

Ada kalanya orang yang dilobi
dan diampu amat benci
Tapi dia juga ada kepentingan peribadi
kebenciannya disembunyikan
Apabila dia tidak ada kepentingan peribadi
Si pengampu ditendangnya
Di waktu itu orang yang hilang maruah itu
terumbang-ambing
Macam sampah kehanyutan.

Ada orang walaupun terpelajar
tidak pandai hidup sendiri
Paling pandai dia boleh hidup makan gaji
dengan kerajaan
Apabila jawatan terlucut
dia hidup tercengang-cengang
Macam orang tersesat di tengah padang pasir
kehilangan haluan

Orang yang tidak bermaruah itu
tidak senang dengan orang yang hidup senang
Makin orang senang
jiwa mereka makin tidak tenang
dan suka meradang-radang
Apabila seseorang muka muram
hilang seri, macam kera sumbang
Sambil berfikir bagaimana
hendak menjahanamkan orang yang dia radang

Begitulah kehidupan orang
yang kehilangan maruah
malunya sudah tiada
Dia buat apa sahaja terutama
mengampu-ampu orang yang diharapnya
Orang ramai telah menghina
serta meluat dengan sikapnya
Namun yang punya diri
tidak terasa apa-apa
macam orang yang mati badannya.

Abuya




............................................
28 Januari 2002

>>Arkib Sajak @ Puisi<<