Jebat – Untuk Pejuang-Pejuang Keadilan

Bukan aku tidak menjiwai perihal mu
terjerat di bawah telunjuk-telunjuk palsu
Bukan aku tidak mendampingi gagasan mu
tenggelam-timbul dalam kepulan asap ….menikam mata
berputar ligat dalam pancutan racun ….persis basah,
membakar diri
jasad rapuh…. terbelah dari hentakan padu
darah merecik ….mengalir, mendakap bumi ibunda

Aku bertanya pada alam
Di mana letaknya maruah diri
ghaib ditelan kuasa kuku besi
Di mana letaknya cakrawala sangsi
yang menetapkan aku adalah dia dan dia ….aku
hingga aku dicengkam ganas
kerana inginkan secebis demokrasi

Aku bertanya pada diri
Di mana letaknya kemurnian hati
yang musnah dari getiran insan
bergeseran menegak ilmu kehancuran
kian menggugat maruah peribadi

Sebenarnya … kau telah mati
sebelum berani menunaikan janji

Aku melihat gagasan tangan memegang
sepanduk-sepanduk bakti
Aku juga melihat gagasan tangan mengganas
memusnahkan insan yang mencari pedoman
mendamaikan perasaan

Wahai raksaksa-raksaksa duniawi
Kalau inilah demokrasi mu
Kalau inilah kebanggaan mu
Kalau inilah pautan mu
Maka ….. aku tidak sudi di perbudakan
ke dalam pancaindera yang sesat
menjeratkan diri dengan ikatan seribu janji

Dengan teguran naluri
Dengan keinsafan hati
Dengan segala kelemahan yang ada pada diri ini
Aku cekalkan diri
menyambut salam ratus-ribuan tangan
yang menuntut keadilan …. menjunjung kebenaran
enggan melutut …sanggup terhampar … menjilat debu
tabah menangkis … semboyan paksa

Maka ku bangkitkan semangat perjuangan abadi
Maka ku seru semangat keadilan
Maka ku sambut tauladan Jebat
ingin menderhaka kepada kezaliman
Maka ku atur langkah-langkah ini
meniti garisan-garisan yang berduri
satu … demi satu…..DEMI SATU

Jihad pasti menjelma dalam seribu rangkaian
Membungkar rahsia ….membakar kegelapan

Maju …….cucu-cicit Jebat …..MAJU !!!

Dr. Mohd-Nasir Hashim
14hb. April 1999

............................................
14 Jun 2001

>>Arkib Sajak @ Puisi<<