Bahaya hipertensi pada buah pinggang

Oleh NAJIBAH HASSAN

DI seluruh dunia, tekanan darah tinggi atau juga dikenali sebagai hipertensi merupakan masalah kesihatan yang serius.

Di Amerika Syarikat umpamanya, 25 peratus orang dewasa di negara itu menghidap hipertensi.

Di Malaysia, kajian Kementerian Kesihatan pada 1996 menunjukkan 30 peratus penduduk yang berusia 30 tahun menghidap hipertensi.

Ketua Jabatan dan Pakar Perunding Nefrologi Hospital Kuala Lumpur (HKL), Datuk Dr. Zaki Morad berkata, tiga faktor yang menyebabkan hipertensi berbahaya ialah kerana penyakit ini menyerang dalam diam dan ia merosakkan organ-organ kritikal dalam badan seperti jantung, buah pinggang dan otak.

``Hampir sebahagian besar penyakit jantung diakibatkan sepenuh atau sebahagiannya oleh hipertensi,'' kata beliau.

Menurut Dr. Zaki, hipertensi yang tidak terkawal dan berlarutan bertahun-tahun turut merosakkan fungsi buah pinggang.

Pada masa yang sama penyakit buah pinggang juga boleh mengakibatkan berlaku hipertensi.

Namun, jika dilihat secara keseluruhan, penyakit buah pinggang yang menjadi punca hipertensi menyumbangkan kurang daripada 10 peratus daripada bilangan pesakit yang menghidap hipertensi.

Dr. Zaki berkata, bagi setiap sejuta penduduk dianggarkan lebih daripada 100 kes baru kegagalan buah pinggang dilaporkan setiap tahun.

Di kalangan warga tua, nisbah ini lebih tinggi.

``Walaupun banyak program dijalankan, penekanan lebih banyak diberi kepada program kawalan diabetes dan hipertensi kerana ia adalah punca utama kegagalan fungsi buah pinggang,'' katanya.

Buah pinggang yang sihat akan membersihkan darah dengan mengumuhkan bahan-bahan bua- ngan dan air yang berlebihan dari dalam tubuh.

Buah pinggang akan menukarkan bahan-bahan buangan dan air yang berlebihan ini menjadi air kencing.

Bagi memastikan tulang kuat dan darah sentiasa sihat, buah pinggang juga akan menghasilkan hormon tertentu.

Selain itu, ia juga berfungsi mengseimbangkan garam dan bahan-bahan mineral dalam darah.

Apabila kedua-dua buah pinggang tidak lagi berfungsi, tubuh akan menyimpan cecair dan mengakibatkan tekanan darah meningkat.

Pada masa yang sama, bahan-bahan buangan yang terdapat dalam tubuh juga akan meningkat.

Tubuh juga tidak mampu menghasilkan sel-sel darah merah.

Pada peringkat ini, pesakit disahkan sebagai menghidap penyakit buah pinggang pada peringkat akhir (end-stage renal disease - ESRD).

Menurut Dr. Zaki, kegagalan buah pinggang berfungsi disenaraikan sebagai sepuluh punca utama kematian.

Kata beliau, 70 peratus pesakit yang menghidap masalah buah pinggang akan mengalami hipertensi.

``Hipertensi yang serius dan tidak dikawal akan merosakkan buah pinggang.

``Pun begitu, hipertensi yang dikawal dengan baik tidak akan menyebabkan fungsi buah pinggang merosot dengan cepat,'' katanya.

Hipertensi merupakan istilah yang digunakan apabila tekanan darah meningkat lebih tinggi daripada paras biasa.

Tekanan darah yang normal adalah 130/85. Bagaimanapun, pakar-pakar perubatan berpendapat tekanan darah yang optimum ialah 120/80. Ukuran tekanan darah 120mm Hg (tekanan merkuri dalam milimeter) adalah tekanan sistolik atau bermakna tekanan semasa jantung mengepam.

Bacaan 80mm Hg adalah tekanan diastolik atau bermaksud ukuran semasa jantung dalam keadaan rehat.

Tekanan darah merupakan ukuran yang digunakan untuk mengukur sejauh mana jantung bekerja mengepam darah ke seluruh tubuh.

Andainya tekanan sistolik dan diastolik meningkat, jantung juga perlu bekerja lebih keras.

Dalam jangka masa yang lama, keadaan ini boleh mengakibatkan pembuluh darah dan jantung rosak.

Malah, hipertensi juga boleh mengakibatkan penyakit jantung dan strok.

Dr. Zaki memberitahu, kebanyakan pesakit buah pinggang mengalami masalah jantung kerana mereka menghidap hipertensi.

``Hipertensi yang tidak terkawal dan mencatatkan bacaan terlalu tinggi akan merosakkan unit-unit halus yang berfungsi dalam buah pinggang,'' ujarnya.

Sekiranya seseorang menghidap hipertensi dan tidak menghadapi masalah buah pinggang, gejalanya adalah minimum.

Hipertensi boleh berlaku dengan sendiri atau disebabkan oleh penyakit-penyakit lain.

Hipertensi essential atau juga dikenali sebagai hipertensi primer merupakan sejenis hipertensi yang tidak diketahui punca sebenarnya.

Dianggarkan lebih 90 peratus daripada keseluruhan kes hipertensi adalah daripada jenis ini.

Bagaimanapun, jika hipertensi disebabkan oleh penyakit-penyakit fizikal atau ubat-ubatan, keadaan ini lebih dikenali sebagai hipertensi sekunder.

``Dianggarkan antara 5 hingga 10 peratus pesakit yang menghidap hipertensi mengalami hipertensi jenis ini,'' katanya.

Dr. Zaki memberitahu, kajian Kementerian Kesihatan Malaysia pada 1996 mendapati pesakit-pesakit yang mengalami hipertensi yang didiagnos adalah rendah.

Daripada kalangan mereka yang dikenal pasti menghidap hipertensi, jumlah yang menerima rawatan adalah rendah.

Ini kerana selain tidak menunjukkan gejala, kebanyakan pesakit tidak mengetahui mereka menghidap hipertensi.

Apabila pesakit mengetahui bahawa mereka menghidap hipertensi, biasanya mereka telah mendapat komplikasi pada buah pinggang, mata, strok dan jantung.

``Sehubungan itu, sebaik-baiknya kita menjalani pemeriksaan tekanan darah sekurang-kurangnya setahun sekali,'' katanya.

Hipertensi amat mudah dipengaruhi faktor-faktor seperti tekanan sama ada mental, fizikal dan emosi.

Katanya, peratus risiko untuk menghidap hipertensi ini meningkat seiring dengan faktor umur.

Beliau memberitahu, kajian yang dilakukan di kalangan masyarakat di Jepun yang mengambil garam secara berlebihan mendapati peratus rakyat negara itu yang menghidap hipertensi juga adalah tinggi.

Jenis kegagalan buah pinggang

Terdapat dua jenis masalah kegagalan buah pinggang iaitu:

l. Kegagalan buah pinggang jenis akut. Jenis ini melibatkan kegagalan dalam jangka masa sementara dan ia akan pulih semula.
2. Ia biasanya disebabkan oleh trauma, kehilangan darah, cirit-birit, tersilap makan ubat dan sebagainya.
3. Kegagalan buah pinggang jenis kronik. Jenis ini melibatkan kegagalan buah pinggang yang rosak secara kekal.
4. Fungsi buah pinggang akan merosot dari masa ke masa sehinggalah ia tidak dapat menampung keperluan tubuh.
5. Jika keadaan itu berlaku, pesakit perlu bergantung kepada dialisis atau perlu menjalani pemindahan buah pinggang.

Punca

1. Diabetes
2. Hipertensi
3. Radang buah pinggang
4. Penyakit-penyakit batu karang
5. Penyakit-penyakit genetik
6. Jangkitan kuman.

Faktor hipertensi

Beberapa faktor yang dikaitkan dengan hipertensi ialah:

1. Tekanan
2. Berat badan berlebihan
3. Minum minuman keras secara berlebihan
4. Diet yang mengandungi kandungan garam yang tinggi.

Gejala

Dalam tempoh beberapa tahun, hipertensi mungkin tidak menimbulkan sebarang gejala.

Serangan jantung atau strok adalah antara gejala awal yang boleh dikenal pasti menunjukkan seseorang itu menghidap hipertensi.

Sehubungan itu, pemeriksaan tekanan darah adalah penting sekurang-kurangnya setahun sekali.

Bagi hipertensi yang serius, komplikasi yang biasanya dihidapi oleh pesakit ialah:

1. Sakit kepala
2. Degupan jantung yang tidak menentu
3. Mudah berasa letih
4. Sakit dada
5. Hidung berdarah
6. Pendek nafas
7. Pening kepala.

Rawatan

Hipertensi amat mudah dirawat melalui ubat-ubatan, kawalan makanan yang betul dan gaya hidup sihat.

Antara langkah-langkah yang perlu dilakukan bagi mencegah hipertensi ialah:

1. Mengawal berat badan
2. Melakukan senaman antara tiga hingga empat kali seminggu
3. Mengawal tekanan darah
4. Tidak merokok
5. Tidak mengambil garam dalam jumlah yang banyak
6. Melakukan pemeriksaan tekanan darah sekurang-kurangnya setahun sekali


.......................................................
4 Februari 2002




Arkib Sudut Kesihatan