Sorry, your browser doesn't support Java(tm).


Marilah kembali kepada Hukum Allah

SETELAH hampir dua bulan kita menunaikan ibadat puasa Ramadhan yang diwajibkan, yang menjadi salah satu daripada rukun Islam, marilah kita membuat perhitungan, mengira diri sendiri, sebelum dibicarakan di hadapan Allah supaya kita melakukan semua perkara dalam kehidupan dunia ini dengan betul dan tepat seperti yang ditetapkan oleh pencipta alam, supaya dunia ini dengan segala kehidupannya melalui nikmat kurnia Allah dilaksanakan dan diletak dengan betul menjadi jambatan kebahagiaan sehingga ke akhirat.

Sebenarnya puasa mengajar kita mensyukuri nikmat dan meletakkannya mengikut keutamaan yang ditetapkan oleh Allah Yang Maha Mengetahui apa yang paling baik bagi manusia.

Kurnia Allah yang paling berharga ialah nikmat roh dan akal dengan petunjuk Iman dan Islam. Melalui akal, Allah membezakan manusia dengan binatang dan makhluk-makluk yang lain, seterusnya nikmat pancaindera dapat merasa, mendengar dan melihat serta nikmat anggota yang ada pada jasad dan yang terpenting ialah nikmat diutuskan rasul dan diwahyukan kitab yang terkandung di dalamnya petunjuk dan pengajaran dalam semua perkara.

Bulan Ramadhan yang telah berlalu mengajar kita supaya mengutamakan nikmat roh dengan meletakkan kepatuhan kepada perintah Allah sehingga melahirkan sifat taqwa yang menjadi tujuan puasa, lebih penting daripada segala nikmat yang lain, termasuklah nikmat makan minum yang menjadi rukun hidup di dunia yang diperintah wajib meninggalkannya sementara waktu di waktu siang hari di bulan Ramadhan dan diberi peluang pula boleh makan dan minum sebaik sahaja kita berhari raya. Masalahnya, apakah bulan Ramadhan yang penuh kelebihan dan amalan itu meninggalkan kesan iman dan Islam yang teguh dan sifat taqwa yang meningkat ke dalam diri kita?

Jawapan dan natijahnya terpulang kepada sejauh manakah pengaruh faham kebendaan dunia yang menjadi penyakit manusia hari ini dapat mempengaruhi diri masing-masing. Kerana dunia hari ini termasuk dunia Islam dipengaruhi oleh faham kebendaan sehingga berlakunya perkara yang pernah diberi amaran oleh Allah S.W.T. bermaksud:

"Sesungguhnya orang-orang yang tidak mengharapkan pertemuan dengan Kami (pada hari akhirat untuk menerima balasan) dan mereka redha dengan kehidupan di dunia serta merasa senang dengannya dan orang-orang yang lalai daripada ayat-ayat Kami. Mereka itu ditempatkan di dalam neraka dengan sebab apa yang mereka usahakan." (Surah Yunus: 7-8).

Rasulullah s.a.w. juga memberi amaran dengan sabdanya dari hadis riwayat Ahmad yang bermaksud: "Simpulan-simpulan (pegangan) kepada agama Islam itu akan terburai satu demi satu. Maka setiap kali terburai, manusia akan berpegang dengan yang berikutnya dan yang pertama terburai ialah hukum (termasuk yang berkait dengan pemerintahan dan perundangan) dan yang akhirnya ialah sembahyang."

Allah S.W.T. mendedahkan penyelewengan ahli kitab (Yahudi dan Nasrani) di zaman dahulu dari agama mereka walaupun mereka masih mengaku menganut agama dan berpegang dengan kitab Allah kerana kepentingan dunia yang mengatasi ajaran agama.

Tetapi mereka beriman dengan sebahagian kitab dan mereka kufur dengan sebahagian yang lain. Firman Allah yang bermaksud: "Adakah kamu beriman dengan sebahagian daripada kitab dan kamu kufur dengan sebahagian yang lain. Maka tiada balasan bagi sesiapa yang melakukan demikian itu, melainkan kehinaan dalam kehidupan dunia dan di akhirat nanti mereka akan ditolak ke dalam neraka.

"Mereka itu ialah orang-orang yang membeli (mengutamakan) kehidupan dunia dengan (meninggalkan perintah-perintah Allah yang membawa kebahagiaan hidup) di akhirat, maka tidak diringankan azab siksa mereka (pada hari kiamat) dan mereka tidak diberi pertolongan". (Surah al-Baqarah: 85-86)

Penyakit ini juga melanda umat Islam sekarang, apabila sebahagian besar di kalangan umat Islam percayakan hukum-hukum Islam yang berkait dengan ibadat dan masalah peribadi yang tertentu sahaja dan mereka tidak percaya kepada hukum Islam walaupun daripada Quran, Hadith dan Ijma’ para ulama’ dalam perkara pemerintahan dan pentadbiran, ekonomi, hubungan antara bangsa dan lain-lain.

Sebahagian daripada undang-undang keluarga seperti nikah cerai mereka percaya, tetapi hukum Islam walaupun al-Quran dan Hadith sekiranya berkaitan dengan hukum jenayah seperti hudud, Qisas dan Ta’zir, mereka tidak percaya sehingga mengadakan berbagai helah dan tipu daya. Dalam perkara harta pula, mereka menerima sebahagian daripada hukum muamalat, jual beli, pesaka, wakaf, gadaian dan lain-lain, tetapi dalam perkara diharamkan riba mereka tidak menerima, engkar dan menunjukkan tidak yakin.

Dadah diharam dan dinajiskan, tetapi arak dan judi tidak semuanya haram, dan berbagai-bagai perkara yang lain. Golongan ahli kitab di zaman dahulu juga menyeleweng dari agama mereka dengan meminda hukum Allah S.W.T. dengan menggunakan akal fikiran semata-mata kerana kepentingan duniawi. Perkara ini dinyatakan oleh firman Allah yang bermaksud:

"Maka celaka dan nerakalah bagi orang-orang yang menulis Kitab Taurat dengan tangan mereka, kemudian mereka berkata: "Ini ialah dari sisi Allah" supaya mereka dapat membeli (keuntungan dunia) dengan harga yang murah. Maka celaka dan nerakalah dari apa yang ditulis oleh tangan-tangan mereka. Celaka dan nerakalah untuk mereka dari apa yang mereka usahakan itu". (Surah Al-Baqarah: 79)

Di zaman mutakhir ini terdapat juga di kalangan orang-orang yang mengaku Islam menggubal undang-undang atau mencadangkan undang-undang yang dinamakan undang-undang Islam atau pentadbiran agama Islam untuk mengganti undang-undang Allah dengan undang-undang ciptaan manusia kerana mencari keredhaan pemimpin-pemimpin negara untuk mendapat pangkat, harta dan berbagai-bagai kemudahan hidup, atau kerana tidak yakin kepada hukum Allah yang telah dinaskan sehingga ada juga yang menganggapnya sudah lapuk ditelan zaman, dan tidak sesuai lagi di zaman sekarang.

Di antara penyelewengan ahli kitab juga ialah adanya ulama’ jahat yang menyembunyikan hukum Allah kerana mencari habuan hidup dunia haram dari orang-orang atasan. Perkara ini dinyatakan oleh Allah dengan firman-Nya yang bermaksud:

"Kamu terikut-ikut dengan cara orang yang menganut agama yang terdahulu daripada kamu, sejengkal demi sejengkal dan sehasta demi sehasta, sehinggalah mereka masuk ke dalam lubang pun kamu mengikut juga". (Surah al-Baqarah: 174)

Amat benar sekali, kerana apa yang diberi amaran oleh Rasulullah s.a.w. benar-benar berlaku. Umat Islam kini bukan sahaja mabuk oleh fahaman kebendaan sehingga tidak mengira halal dan haram tetapi juga mabuk akhlak yang boleh menjatuhkan maruah diri, umat dan negara. Ini kerana segala-galanya, akan terhakis apabila umat Islam meninggalkan perintah agama dan meninggalkan kewajipan mempertahankan agama serta mendaulatkannya supaya menjadi mulia.

Begitu juga apabila hukum jihad yang menjadi ‘sinam’ (apa yang menjadi kehebatan) seperti yang disifatkan oleh Rasulullah s.a.w. sudah dianggap tidak baik oleh umat Islam lalu mereka diratah oleh musuh satu demi satu laksana memakan makanan yang dihidangkan di hadapan mereka, walaupun jumlah umat Islam sekarang melebihi satu bilion.

Sepatutnya mereka sedar dan insaf bahawa kebendaan yang dikejar oleh mereka juga hilang, walaupun perut bumi yang dipijak oleh mereka dikurnia oleh Allah rezeki yang melimpah ruah, sehingga yang dikejar tidak dapat dan yang dikendung berciciran. Mereka terus menerus bergantung hidup kepada umat lain yang mahu dijadikan contoh itu. Akhirnya matlamat akhirat dilupakan dan matlamat dunia tidak diberkati. ‘Nauzubillahi min zaalik’

Muslimin dan muslimat yang dirahmati Allah!

Tidak lagi perut yang dikosongkan di bulan Ramadhan itu masih menjadi raja, maka nafsu kebendaan yang menguasai perut akan terus membawa penyakit ahli kitab terhadap agama mereka, maka begitulah juga sikap umat Islam terhadap agama mereka, beriman dengan sebahagian al-Quran dan kufur dengan sebahagian yang lain, menjual agama dengan kepentingan kebendaan dunia, serta meninggalkan jihad dan memandangnya suatu perkara yang remeh. Terpulanglah kepada diri masing-masing untuk memberi keputusan yang adil terhadap diri sendiri. Keputusan menurut undang-undang Allah yang maha benar lagi adil, bukan menurut selera diri semata-mata.

Firman Allah yang bermaksud:

"Maka di kalangan manusia ada orang yang berkata: "Wahai Tuhan kami, kurniakanlah kepada kami di dunia ini, maka tiadalah bahagiannya di hari akhirat, sebahagian daripada mereka pula ada orang yang berkata: "Wahai tuhan kami, kurniakanlah kepada kami di dunia ini baik dan di hari akhirat juga baik dan peliharakanlah kami dari azab neraka. Mereka itulah orang-orang yang dikurniakan untuk mereka bahagian daripada apa-apa yang telah mereka usahakan dan Allah itu amat segera perhitungannya". (Surah Al-Baqarah: 200-202)



Jumlah Pelawat :
Counter
Mulai 1 Februari 2001


Arkib Tazkirah